
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
22/10/2025 | Ustaz Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham | — |
Kisah Yusya’ bin Nun
Nama penuh beliau ialah Yusya’ bin Nun bin Afrathim bin Yusuf bin Yaakob bin Ishak bin Ibrahim a.s. Para ulama bersepakat bahawa beliau merupakan seorang nabi, sebagaimana turut disebut dalam kitab Taurat. Dalam kalangan kaum Samirah, terdapat pandangan yang menolak kenabian selepas Nabi Musa a.s, namun pandangan ini ditolak oleh jumhur ulama berdasarkan dalil yang sahih.
Yusya’ ialah penerus perjuangan Nabi Musa a.s, memimpin Bani Israel untuk meneruskan risalah tauhid dan menegakkan hukum Allah selepas kewafatan Nabi Musa dan Nabi Harun. Dalam Al-Quran, kisah beliau disebut secara tidak langsung dalam peristiwa Nabi Musa bertemu dengan Nabi Khidhr, seperti dalam Surah al-Kahfi ayat 60 dan 62, di mana beliau digambarkan sebagai “murid Nabi Musa”. Berdasarkan riwayat daripada Ubay bin Ka‘ab, Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa murid yang dimaksudkan itu ialah Yusya’ bin Nun.
Kenabiannya diakui oleh Ahlul Kitab, dan beliau dikenali sebagai tokoh hebat di mana di bawah pimpinan baginda, Bani Israel akhirnya berjaya memasuki Tanah Suci yang dijanjikan setelah sekian lama tersesat di padang pasir.
Namun, lokasi sebenar makam baginda tidak dapat dipastikan dengan jelas; ada riwayat yang menyebut beliau dimakamkan di Jordan, manakala sebahagian lagi menyatakan di Istanbul.
Kisah Yusya’ bin Nun juga berkait rapat dengan kisah Nabi Khidhr a.s, seorang hamba Allah yang memiliki ilmu dan hikmah luar biasa. Para ulama berbeza pendapat mengenai status dan kewujudan Nabi Khidhr. Sebahagian berpendapat beliau masih hidup hingga kini. Ada pendapat menyatakan baginda telah meminum air kehidupan (ma’ul hayat). Walau bagaimanapun, kebanyakan ulama menolak pendapat ini kerana riwayat-riwayatnya lemah dan tidak sahih.
Pendapat yang lebih kuat, sebagaimana ditegaskan oleh Imam Bukhari, Ibrahim al-Harbi, dan Ibnul Jauzi, menyatakan bahawa Nabi Khidhr telah wafat. Ibnul Jauzi dalam kitabnya ‘Ujalatul Muntazir fi Halatil Khidhr’ menegaskan bahawa semua hadis yang menyebut Khidhr masih hidup adalah palsu. Dalil yang menguatkan pendapat ini ialah firman Allah dalam Surah al-Anbiya’ ayat 34 yang bermaksud bahawa tidak ada manusia yang diberikan kehidupan abadi sebelum Nabi Muhammad SAW. Maka, Nabi Khidhr juga tidak terkecuali daripada hukum kematian.
Sebelum berpisah dengan Nabi Musa, Nabi Khidhr meninggalkan beberapa wasiat yang sangat berharga. Antaranya, beliau berpesan agar menjadi orang yang memberi manfaat dan bukan mendatangkan mudarat, supaya sentiasa berwajah ceria dan tidak menjadi pemarah, serta tidak keluar berjalan pada waktu malam tanpa keperluan. Khidhr juga mengingatkan bahawa manusia disiksa di dunia seiring dengan sejauh mana mereka bergantung kepada dunia ini.
Nabi Ilyas
Namun, seruannya ditolak oleh kaumnya yang degil dan angkuh. Meskipun begitu, Nabi Ilyas tetap teguh mempertahankan tauhid dan terus berdakwah tanpa berputus asa. Sebagai balasan atas keteguhan imannya, Allah mengangkat kedudukan Nabi Ilyas sebagai hamba yang beriman, serta mengabadikan namanya dengan salam sejahtera dalam al-Quran.












Catat Ulasan