Kuliah Maghrib 11 Februari 2025, Ustaz Mohd Asri Awang

Tarikh Penceramah Tajuk
11/02/2025 Ustaz Mohd Asri Awang

Nota Kuliah

Setiap perkara yang kita lakukan seharusnya menjadi amalan yang baik dan bukan sekadar harapan kosong.  

Mudah-mudahan, segala apa yang telah kita lakukan diterima oleh Allah SWT. Semoga kita dapat melaksanakan segala yang telah dituntut oleh Nabi SAW. Cukup dan berpadalah dengan apa yang telah ditunjukkan serta diajarkan oleh Baginda. Ibadat, amalan sunat dan sebagainya sudah lengkap seperti yang diajar oleh Nabi SAW, maka kita tidak perlu menambah atau mengada-adakan sesuatu yang baharu.  

Dalam ibadat ini, terutama di akhir zaman, semakin banyak kelonggaran yang diberikan, sehingga kita sering mempermudahkan perkara yang tidak sepatutnya. Banyak amalan, terutamanya dalam bentuk zikir dan ibadat lain, yang tidak pernah dilakukan pada zaman Nabi SAW kini semakin bertambah. Jika kita perhatikan, para sahabat dan isteri-isteri Nabi pun tidak melakukannya.  

Di akhir zaman ini, pelbagai perkara baharu ditambah sehingga menyeronokkan dan memberikan kepuasan dalam ibadat serta zikir. Namun, mudah-mudahan kita sentiasa memohon perlindungan kepada Allah, kerana kita hanya ingin melakukan amalan yang berpandukan kepada ajaran dan perbuatan Nabi SAW.  

Kita perlu memahami bahawa dalam setiap perkara yang kita lakukan, harus ada panduan dan asasnya.  Jangan pula kita bertindak tanpa ilmu dan rujukan yang jelas. Dalam konteks sesuatu perbincangan. Kita perlu berhati-hati dalam menilai dan menerima sesuatu maklumat agar tidak tersasar daripada kebenaran.  


BULAN SYAABAN

Bulan Syaaban adalah bulan yang mulia. Ia terletak di antara satu bulan haram dan satu bulan yang agung. Nampak, kan? Bulan Rejab dan bulan Ramadan. Bulan Rejab dengan Ramadan, dan di tengah-tengahnya terdapat bulan Syaaban, yang diapit oleh dua bulan yang mulia.


Maka, mana mungkin bulan yang berada di tengah-tengah antara dua bulan yang mulia menjadi tidak mulia? Tidak, bulan Syaaban juga adalah bulan yang mulia. Bahkan, dalam tiga bulan tersebut, bulan yang paling mulia adalah bulan Ramadan. Bulan Rejab pula adalah bulan haram, maka ia juga bulan yang agung. Oleh kerana itu, sudah semestinya bulan Syaaban lebih mulia lagi dan mempunyai banyak kelebihan.


Sebagaimana kita menceritakan tentang kelebihan bulan Rejab, bulan Syaaban juga mempunyai keistimewaannya sendiri. Contohnya, terdapat satu hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW sering berpuasa pada bulan ini. Para sahabat meriwayatkan, "Aku melihat Rasulullah SAW banyak berpuasa, lebih daripada bulan-bulan yang lain." Itu adalah pada bulan Syaaban.


Al-Imam Al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa riwayat yang lebih tepat adalah yang diriwayatkan oleh An-Nasa’i dan Abu Dawud serta disahihkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid. Dia berkata:

Aisyah r.a. berkata:

"Saya bertanya kepada Rasulullah SAW, 'Wahai Rasulullah, saya tidak melihat tuan sering berpuasa dalam satu bulan sebagaimana tuan berpuasa pada bulan Syaaban.' Maka Baginda SAW bersabda: 'Bulan itu adalah bulan yang sering dilalaikan oleh manusia antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan diangkatnya amalan kepada Allah, maka aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.’" (HR. An-Nasa'i no.2537, Ahmad no.21753 & Abu Daud no.2436)


Bulan Syaaban ini, Nabi SAW banyak berpuasa. Bahkan, Nabi SAW juga sering berpuasa pada hari-hari tertentu, seperti 13, 14, dan 15 haribulan setiap bulan.


Puasa di Pertengahan Syaaban

Terdapat pendapat mengatakan bahawa adalah makruh berpuasa pada pertengahan Syaaban. Namun ia sebenarnya untuk orang-orang yang tidak pernah berpuasa. Namun bagi mereka yang selalu mengamalkan puasa sunat walaupun sehari sebulan maka ia terlepas dari larangan tersebut.

Orang yang memang biasa berpuasa, walaupun tidak kerap—contohnya, kadang-kadang dalam seminggu dia berpuasa sendiri, kadang-kadang dia mengambil hari Khamis untuk berpuasa, atau dalam seminggu tiada langsung puasa—tetap dibolehkan untuk meneruskan puasanya.


Begitu juga jika pada minggu berikutnya dia berpuasa dengan lebih kerap. Jika dalam sebulan dia berpuasa dua atau tiga hari sahaja, maka dia dikecualikan daripada hukum makruh tersebut.


Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Daripada Abu Musa Al-Ash'ari r.a., beliau berkata tentang kelebihan malam Nisfu Sya'ban. Adakah ia memiliki kelebihan atau tidak? Sudah tentu ada.


Nabi SAW bersabda bahawa sesungguhnya Allah Ta'ala melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban. Maka, Dia mengampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan orang-orang yang bermusuhan. Oleh itu, kita tidak sepatutnya tergolong dalam kalangan mereka yang bermusuhan dan saling membenci.



Membaca Yasin Tiga Kali

Kita perlu memahami bahawa membaca Yasin pada malam Nisfu Syaaban sebanyak tiga kali bukan satu kewajipan. Sebaliknya, jika mahu mendapatkan kelebihan malam Jumaat, bacalah Surah Al-Kahfi kerana ia disyariatkan oleh Nabi SAW. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, seorang ulama terkenal, menyatakan bahawa tidak ada riwayat sahih daripada Nabi SAW yang mewajibkan amalan tertentu pada malam Nisfu Sya'ban. Oleh itu, kita harus berhati-hati agar tidak menganggap sesuatu yang tidak disyariatkan sebagai satu kewajipan dalam agama.


Walaupun kita merasa rugi tidak membaca Yasin tiga kali pada malam Nisfu Sya'ban, hakikatnya tidak ada nas yang mewajibkannya. Sebaliknya, lebih baik jika kita memperbanyakkan solat malam, membaca Al-Quran, berzikir, bertahajud, dan berdoa. Ini lebih menepati sunnah Nabi SAW.


Allah lebih memandang kepada amalan yang bertepatan dengan sunnah. Solat tahajud adalah ibadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. 


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama