Kuliah Mahghrib 26 April 2025, Dr. Haji Abdullah Ismail

Tarikh Penceramah Tajuk
27/04/2025 Dr. Haji Abdullah Ismail

Nota Kuliah

Segala puji bagi Allah S.W.T. yang mengurniakan kepada umat manusia segala nikmat-Nya. Alhamdulillah, mereka bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana kita masih diberikan peluang untuk bersama-sama berkumpul pada malam ini.


Mudah-mudahan dengan keberadaan kita di rumah Allah ini, kita mendapat rahmat dan keberkatan. Kita duduk di masjid dengan berniat i‘tikaf, dalam harapan untuk menjadi manusia yang lebih baik. 

  

  

Siapakah Kita Selepas Ramadan

 

Kita telah melalui bulan Ramadan, bulan perjuangan dan latihan. Kini, kita telah berada di hujung bulan Syawal. Maka, kita perlu bermuhasabah dan membuat 'post-mortem' terhadap diri sendiri — adakah amalan sepanjang Ramadan memberi kesan kepada diri selepasnya?.


Jika sepanjang Ramadan kita benar-benar berusaha beribadah, insya-Allah hasilnya akan dapat dirasai. Apabila melangkah ke alam barzakh nanti, suasana yang dialami di sana akan menjadi kayu ukur sebenar sama ada amal diterima atau tidak.


Jika selepas kematian nanti  kita merasai nikmat dan ketenangan melebihi segala kesenangan dunia, itu tanda amal kita diterima Allah S.W.T. Namun, jika kesengsaraan yang kita dapati, itu tanda amal tidak diterima, walaupun amalan di dunia kelihatan banyak.


Kita disarankan untuk merenung sedikit sebanyak untuk diri kita. Bukan untuk menilai orang lain, tetapi diri sendiri. Apakah selepas Ramadan ini kita merasakan peningkatan? Apakah mereka istiqamah dalam amalan?


Kalau hendak diukur dengan indikator, memang sukar. Namun, analoginya seperti anak-anak yang gigih belajar tiga hingga lima tahun lalu dengan penuh disiplin dan kesungguhan. Mereka fokus, mematuhi peraturan dan strategi pembelajaran. Hasilnya, dalam peperiksaan seperti SPM, ada yang mendapat keputusan cemerlang — 10A, 9A, atau 6A.


Begitu juga dengan amal selepas Ramadan. Ramadan bukan titik akhir. Seperti anak-anak yang selepas SPM meneruskan perjuangan ke peringkat lebih tinggi — Diploma, Ijazah, bahkan terus ke luar negara — umat Islam juga perlu teruskan perjalanan amalan selepas Ramadan.


Kita mesti berusaha untuk meneruskan amal-amal soleh selepas Ramadan ini.


Segala amalan mestilah dilakukan dengan ikhlas dan sebaik mungkin, kerana untuk mendapat rahmat Allah yang sebenar, perlu menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.


Kadangkala manusia terleka. Mereka mungkin tidak sedar bahawa kata-kata atau perbuatan mereka menyebabkan orang lain menghukum mereka. Manusia perlu berhati-hati kerana hukuman manusia kadang-kadang boleh melambatkan perjalanan amal menuju kepada Allah.


Hari ini, jika dilihat di media sosial — Facebook, internet — banyak cacian dan makian yang ditulis. Jangan terpengaruh. Jangan menjadi orang yang menghukum tanpa sebab.


Sebab itu, dua perkara utama perlu dijaga:

— Hubungan dengan Allah.
— Hubungan dengan manusia.


Kisah Lelaki Penghuni Syurga

Pada suatu hari, Rasulullah SAW memberitahu para sahabat bahawa seorang lelaki dari kalangan mereka adalah penghuni syurga. Lelaki itu dari kaum Ansar, dan dia muncul selama tiga hari berturut-turut selepas sabda Rasulullah.


Ingin mengetahui rahsia amalannya, seorang sahabat telah meminta izin untuk bermalam di rumah lelaki itu. Sepanjang tiga hari, beliau mendapati lelaki tersebut tidak melakukan amalan luar biasa — tidak berpuasa sunat pada siang hari dan tidak mendirikan solat malam. Namun, setiap kali terbangun, lelaki itu berzikir mengingati Allah hingga Subuh.


Apabila ditanya tentang amalannya, lelaki itu menjelaskan bahawa setiap malam sebelum tidur, dia memastikan hatinya bersih daripada rasa dengki atau iri hati terhadap sesama Muslim. 


Alhamdulillah, kita ada ada platform seperti masjid untuk beribadah bersama-sama, saling mengasihi, saling memaafkan, dan saling membantu. Yang kuat membantu yang lemah. Inilah jalan untuk memudahkan perjalanan menuju keredaan Allah.

Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa mereka semua dan memasukkan mereka dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.


Selepas berlalunya Ramadan, umat Islam diajak bermuhasabah:

— Adakah amalan diterima Allah?
— Adakah mereka berusaha meneruskan amal selepas Ramadan?


Kerana manusia tidak tahu amalan mana yang diterima. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Ibarat mengerjakan haji, seseorang tidak tahu sama ada hajinya mabrur atau tidak, melainkan pada ketenangan jiwa selepasnya.


Begitu juga Ramadan. Ada indikator yang menunjukkan sama ada amalan diterima; Jika selepas Ramadan personaliti semakin baik, maka besar kemungkinan amal diterima. Namun, jika selepas Ramadan kita kembali kepada sikap lama, maka bimbang amal tidak diterima.


Salah satu tanda amalan diterima ialah: Mampu meneruskan ibadah yang dilakukan dalam Ramadan, seperti solat, puasa, sedekah, membaca Al-Quran, dan sebagainya.


Sebagai contoh, jika sepanjang Ramadan menjaga solat berjemaah, maka selepas Ramadan terus istiqamah, begitu juga jika sepanjang Ramadan banyak membaca Al-Quran, selepas Ramadan terus membacanya walaupun sedikit.


Puasa Sunat Syawal: Allah menyediakan peluang untuk terus merasai nikmat puasa melalui puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Ini sebagai kesinambungan daripada Ramadan, sebagai tanda kasih kepada amalan puasa.


Walaupun berat kerana suasana Syawal penuh dengan jemputan makan-makan, mereka diajak mencuba menyelesaikan enam hari tersebut. Ia bukan sahaja ganjarannya besar, malah melatih untuk terus hidup dalam suasana taqwa.


Bacaan Al-Quran: Dalam Ramadan, banyak membaca Al-Quran. Perlu diteruskan selepas Ramadan. Allah telah menurunkan Al-Quran di bulan Ramadan — syahrul Quran — dan membacanya adalah satu ibadah yang besar. Setiap huruf yang dibaca mendapat 10 pahala, sebagaimana sabda Rasulullah SAW;


"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh. Aku tidak mengatakan bahawa 'Alif Lam Mim' itu satu huruf, tetapi 'Alif' satu huruf, 'Lam' satu huruf, dan 'Mim' satu huruf."— HR. Tirmidzi no.2910

 

Jika sepanjang Ramadan lalu kita telah mengkhatamkan Al-Quran, cuba bayangkan berapa ratus ribu huruf (340,740 huruf) yang telah dibaca, dan berapa banyak pahala yang terkumpul.


Jadi, jangan berhenti membaca Al-Quran. Teruskan membacanya di bulan-bulan lain, walaupun sedikit setiap hari.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama