Kuliah Maghrib 11 Mei 2025, Ustaz Mohd Khalil Osman

Tarikh Penceramah Tajuk
11/05/2025 Ustaz Mohd Khalil Osman

Nota Kuliah

Alhamdulillah kita masih lagi dapat melaksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba, melakukan ketaatan kepada-Nya, khususnya untuk menunaikan solat secara berjemaah. Solat itu satu perkara yang sangat susah sebenarnya. Bukan perkara yang apabila selesai solat, kita rasa sudah terlepas sebenarnya. Tapi sebenarnya, solat itu suatu yang sangat berat. Itu satu ibadah yang sangat agung. Ibu segala ibadah adalah solat. Dan bilamana ia merupakan satu ibadah yang sangat hebat, maka sudah pasti iblis dan cucu-cucunya tidak akan biarkan kita dengan mudah melaksanakannya sebaik mungkin.


Pertama, apabila kita ingin melaksanakan sesuatu ibadah, pasti ia akan diganggu sehabis-habis daya oleh syaitan. Sebab itu, apabila kita dapat solat, Alhamdulillah. Maka sebab itulah, apabila muazzin melaungkan azan, kita jawab: La hawla wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azim. Dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan izin dan kuasa Allah. Kalau Allah tidak izinkan kita untuk solat, kita tidak akan dapat solat. Semuanya dengan izin Allah.


Sebab itu, apa pun kebaikan yang kita lakukan, semuanya dengan izin Allah. Maka bersyukurlah kepada Allah. Jangan sesekali, apabila kita dapat melakukan ketaatan, kita merungut, sedangkan itu adalah pilihan Allah. Maka ucapkanlah, “Alhamdulillah.”




Tabarruk (Mengambil Keberkatan)

Tabarruk berasal daripada perkataan barakah yang bermaksud keberkatan. Dalam konteks agama, tabarruk merujuk kepada usaha untuk mendapatkan keberkatan daripada sesuatu yang mulia di sisi Allah SWT, sama ada melalui tempat, masa, individu, atau objek yang pernah bersentuhan dengan orang-orang soleh atau Nabi.

Antara dalil yang menunjukkan keharusan tabarruk ialah kisah Nabi Yusuf AS dalam Surah Yusuf, ayat 93:

"Pergilah kamu dengan membawa baju ini, lalu letakkanlah ke wajah ayahku, nanti dia akan dapat melihat kembali."

Ayat ini menunjukkan bahawa Nabi Yusuf AS memberikan bajunya kepada adik-beradiknya agar diletakkan ke wajah ayahnya, Nabi Ya‘qub AS, yang telah buta akibat terlalu banyak menangis kerana merindui anaknya. Dengan izin Allah, apabila baju itu disentuhkan ke wajah Nabi Ya‘qub, penglihatannya kembali pulih. Ini adalah bentuk tabarruk dengan sesuatu yang mulia – baju seorang Nabi.

Masyarakat dahulu juga mengamalkan perkara seumpama ini secara tidak formal. Contohnya, apabila seorang ayah ingin keluar bekerja atau merantau, dia akan meninggalkan bajunya di rumah untuk dipeluk oleh anak-anak yang merinduinya. Jika anak-anak demam kerana rindu, mereka dipujuk dengan pakaian ayah. Walaupun tidak dinamakan tabarruk, amalan ini membawa unsur keberkatan dan ketenangan rohani.

Begitu juga dalam sejarah Islam, para sahabat mengambil keberkatan daripada peninggalan Rasulullah SAW. Baginda pernah mengagihkan rambutnya kepada para sahabat selepas haji atau umrah. Sahabat menyimpannya sebagai tanda cinta dan keinginan untuk keberkatan. Bahkan dalam riwayat, rambut Rasulullah dikatakan akan terus memanjang.

Para sahabat juga mengambil air wuduk Rasulullah SAW dan mengusapkannya ke wajah dan badan mereka. Malah, ada yang tidak sempat mengambil secara langsung lalu mengusap dari tangan sahabat yang lain, semua ini bentuk tabarruk yang diakui dalam syarak.

Kisah Sayyidina Ali RA juga menguatkan konsep ini. Dalam satu peperangan, topi perangnya hilang. Apabila disarankan supaya menggantikannya sahaja, Sayyidina Ali menolak, kerana bukan topi yang dicarinya, tetapi sehelai rambut Rasulullah SAW yang beliau simpankan dalam topi itu sebagai sumber keberkatan.




Berkat

Keberkatan bermaksud bertambahnya kebaikan dalam sesuatu perkara, dalam ibadah, rezeki, masa, anak-anak, rumah tangga dan sebagainya. Bahasa Arab menyebutnya sebagai ziyādatul khayr. Dalam Islam, sesuatu dianggap berkat apabila kebaikan daripadanya terus bertambah dan memberi manfaat.

Keberkatan boleh berlaku melalui:

Masa – seperti bulan Ramadan, malam al-Qadr, hari Jumaat, waktu antara dua khutbah.

Tempat
– seperti Masjid al-Haram (100,000 kali ganda ganjaran solat), Masjid Nabawi (1,000 kali ganda), Masjid al-Aqsa (500 kali ganda).

Amalan
– seperti membaca al-Quran, solat berjemaah, puasa, zikir dan sedekah.

Individu
– seperti para Nabi, wali Allah, dan orang-orang soleh.

Dalam kehidupan seharian, tanda keberkatan boleh dinilai melalui pertambahan kebaikan dalam diri. Contohnya dalam rumah tangga, seorang suami atau isteri boleh menilai sama ada pasangan membawa keberkatan dengan melihat perubahan diri masing-masing. Jika sebelum berkahwin tidak menjaga solat, selepas berkahwin mula menjaga solat lima waktu, itu tanda berkat. Jika dahulu berpakaian tidak menutup aurat, selepas kahwin berubah kepada pakaian yang sopan, itu juga berkat.


Keberkatan juga boleh dilihat dalam rezeki. Rezeki yang sedikit tetapi mencukupi dan menenangkan hati adalah lebih baik daripada rezeki yang banyak tetapi mendatangkan masalah. Ada orang mempunyai wang banyak tetapi tidak berkat, habis untuk rawatan sakit, kemalangan, kerosakan harta, atau digunakan pada jalan sia-sia. Sebaliknya, ada orang yang mempunyai pendapatan sederhana tetapi kehidupannya tenang, cukup makan, dan sentiasa dapat membantu orang lain, itulah tanda keberkatan.


Oleh itu, dalam kehidupan ini, keutamaan bukanlah pada banyaknya harta atau besar pangkat, tetapi pada keberkatan. Bila berkat, segala urusan menjadi mudah, hidup menjadi tenang, dan ibadah terasa manis. Maka mintalah kepada Allah agar setiap aspek kehidupan diberkati – dunia dan akhirat.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama