
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
10/05/2025 | Ustaz Kamal Asahari | — |
Kita berdoa mudah-mudahan, agar dipermudahkan segala urusan. Supaya kita dapat yang terbaik, insya-Allah. Dan kita berdoa juga, agar esok hari kita diberikan yang terbaik.
Dan begitulah seterusnya, sehinggalah kita pergi ke alam barzakh—yakni kubur. Dan itulah tempat yang menjadi persinggahan bagi alam Barzakh. Yang benar-benar akan menyebabkan penyesalan.
Nabi bersabda, semua orang yang mati akan menyesal. Sama ada mereka banyak beramal atau sedikit beramal, dan juga perkara-perkara yang lain. Semuanya akan menyebabkan penyesalan.
Nabi bersabda, orang yang masuk ke dalam kubur akan menyesal. Orang yang solat sendiri akan menyesal kerana tidak solat berjemaah, orang yang berbuat baik menyesal kerana tidak berbuat banyak kebaikan, orang yang sedekah sedikit akan menyesal kerana tidak bersedekah dengan banyak
Itulah bentuk kesalahan dan penyesalan yang akan dialami oleh setiap, bahkan kebanyakan, orang yang telah mati.
Namun penyesalan yang berlaku di dalam kubur ini merupakan satu bentuk penyesalan yang tidak mungkin dapat diulang semula atau ditebus kembali.
Maka, mudah-mudahan kita ambil kesempatan hari ini untuk memaksimumkan kemampuan kita. Agar kita dapat peluang dan pahala atas kesempatan yang ada ini. Supaya apabila kita duduk dalam kubur nanti, kita tidak akan menyesal.
Adab Memasuki Rumah Orang
Kita kini sedang berada dalam perbahasan panjang, pada ayat ke-27 daripada 64 ayat yang sedang kita pelajari. Ayat ini berbunyi: “Janganlah kamu masuk ke mana-mana rumah yang bukan rumah kamu sebelum kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Itu adalah lebih baik bagi kamu agar kamu mengambil pengajaran.”
Perbahasan ayat ini telah mengambil masa berbulan-bulan kerana perinciannya yang sangat penting. Ia menyentuh soal adab, sopan santun, dan tatasusila seorang Muslim, khususnya dalam konteks memasuki rumah orang lain. Sebahagian daripada kita kadangkala merasakan perkara seperti ini terlalu remeh untuk dibincangkan. Namun hakikatnya, ia bukan perkara kecil. Bahkan, Allah memulakan ayat ini dengan panggilan kepada orang-orang yang beriman, sebagaimana juga pada ayat-ayat berkaitan solat, puasa dan hukum-hukum besar lain.
Kalau kita rasa perkara ini remeh, kita harus ingat bahawa Allah mengajar adab ini kepada orang beriman agar mereka mengikut cara yang betul. Jika kita tidak ikut, Allah tidak rugi apa-apa. Yang rugi adalah kita sendiri—sama ada kita buat atau tidak buat, kita yang menanggung akibatnya.
Ayat ini mengajar kita supaya sebelum masuk ke rumah orang lain, kita perlu meminta izin dan memberi salam. Hukum ini dipanggil isti’zan. Dalam Islam, minta izin sebelum masuk ke rumah orang bukanlah satu pilihan, tetapi satu kewajipan yang mesti dilakukan dengan penuh adab.
Adab Memberi Salam dan Minta Izin
Dalam hukum Islam, kita disarankan memberi salam sebanyak tiga kali ketika ingin memasuki rumah orang. Memberi salam hukumnya sunnah, tetapi menjawab salam adalah wajib. Jadi, apabila kita berada di rumah orang dan seseorang memberi salam, maka kita wajib menjawabnya.
Namun, memberi salam ketika hendak masuk rumah adalah wajib, bukan sekadar sunnah. Kadangkala kita keliru antara situasi wajib dan sunnah. Contohnya, ketika berjalan dan bertembung dengan seseorang, memberi salam adalah sunnah, tetapi apabila ingin memasuki rumah, ia menjadi wajib. Begitu juga ketika kita ingin memasuki kediaman atau premis yang dimiliki seseorang.
Sekiranya diberi izin untuk masuk, maka kita masuklah dengan adab yang sopan. Jika tidak diberi izin, maka pulanglah dengan cara yang baik tanpa menzahirkan rasa kecewa. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW menyebut bahawa jika seseorang meminta izin sebanyak tiga kali dan tidak dibenarkan masuk, maka hendaklah dia pulang.
Kadangkala, tuan rumah tidak menjawab salam atau tidak memberikan izin untuk masuk. Mungkin kerana ada urusan penting, rumah tidak bersedia, atau sebab-sebab lain yang kita tidak tahu. Jangan kita rasa marah atau kecil hati. Itu adalah hak tuan rumah. Bahkan, jika mereka tidak membuka pintu sekalipun, kita tidak boleh berprasangka buruk.
Hak Tuan Rumah dan Keselesaan Penghuni
Apabila seseorang datang ke rumah kita dan meminta izin, dia bukan sekadar mahu masuk—tetapi adabnya adalah memastikan penghuni rumah selesa dengan kehadirannya. Di sinilah perbezaan antara isti’zan dan isti’nas. Isti’zan bermaksud meminta izin untuk masuk, manakala isti’nas bermaksud memastikan tuan rumah selesa menerima kedatangan kita.
Sebagai contoh: rumah itu mungkin rumah kita, tetapi jika penghuni di dalam tidak bersedia—mungkin rumah tidak kemas, anak-anak berlari ke sana sini, atau sedang berlaku sesuatu yang tidak sesuai—maka kita wajib menghormati keselesaan mereka. Kita tidak boleh menganggap kerana rumah itu milik kita, kita boleh masuk sesuka hati. Kita juga tidak boleh menyalahkan tuan rumah sekiranya dia menegur anak-anak kita yang membuat bising atau merosakkan harta benda mereka.
Sebahagian kita bersikap tidak adil: apabila anak kita ditegur, kita menyalahkan tuan rumah. Kita lupa bahawa anak-anak perlu dididik, dan hak tuan rumah perlu dihormati. Bukan semua orang selesa dengan suasana riuh atau tidak teratur. Maka, jika kita tidak minta izin, tidak beri salam, dan terus masuk, kita telah melanggar adab Islam yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Dalil dan Hadis Berkaitan Adab Masuk Rumah
Dalam sebuah hadis, seorang sahabat menceritakan bahawa dia pernah mendatangi Rasulullah SAW dan terus masuk ke dalam rumah Baginda. Lalu Rasulullah bersabda, “Keluar dahulu, dan beri salam serta minta izin.” Maka sahabat itu pun keluar dan mengucapkan: Assalamualaikum, bolehkah aku masuk? Maka Rasulullah pun mengizinkannya masuk. (Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud dan At-Tirmidzi, yang menilai hadis ini sebagai hasan)
Hadis ini sangat jelas menunjukkan bahawa masuk ke rumah orang lain tanpa salam dan tanpa izin adalah satu kesalahan. Zahir ayat 27 juga menjelaskan bahawa sebelum masuk ke rumah seseorang, mesti minta izin dan beri salam tiga kali. Jika tidak dijawab selepas tiga kali, maka hendaklah kita pulang.
Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa mengikut susunan ayat, dimulakan dengan meminta izin dahulu, kemudian memberi salam. Tetapi kebanyakan ulama bersepakat bahawa kedua-dua perbuatan ini—minta izin dan beri salam—mesti dilakukan. Sama ada salam dahulu atau izin dahulu, ia tetap perlu dilakukan dengan adab dan penuh rasa hormat.
Perbezaan Zaman dan Kaedah Minta Izin
Hari ini, cara kita meminta izin mungkin berbeza. Kita boleh guna mesej WhatsApp, telefon atau aplikasi lain. Tetapi adabnya tetap sama: jangan masuk sebelum diizinkan.
Jangan Berdiri Menghadap Terus ke Pintu
Satu lagi adab penting yang sering dilupakan ialah: jangan berdiri betul-betul di hadapan pintu apabila meminta izin. Rasulullah SAW mengajar agar berdiri di sebelah kiri atau kanan pintu, supaya tidak terus mengintai ke dalam rumah.
Tujuan adab ini ialah untuk menjaga aurat dan maruah penghuni rumah. Mungkin mereka belum bersedia, mungkin keadaan rumah belum elok, atau mungkin ada urusan peribadi. Maka berdiri di sisi pintu adalah adab yang sangat mulia. Kalau tuan rumah tidak izinkan masuk, tidak perlu kecil hati. Mungkin ada sebab yang tidak boleh diberitahu.
Larangan Mengintai dan Mencuri Pandang ke Dalam Rumah
Islam sangat menekankan soal menjaga kehormatan dan maruah orang lain. Salah satu larangan besar dalam syariat adalah mengintai atau mencuri pandang ke dalam rumah orang lain tanpa izin. Ini bukan sahaja perbuatan yang tidak beradab, tetapi juga berdosa besar.
Nabi SAW bersabda, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA;
“Sesiapa yang mengintai ke dalam rumah orang lain tanpa izin, maka halal bagi penghuni rumah itu untuk mencucuk matanya.”— HR. Muslim no.4013
Hadis ini menunjukkan betapa seriusnya larangan ini. Ia bukan sekadar teguran ringan, tetapi satu ancaman keras terhadap sesiapa yang cuba menceroboh privasi orang lain. Dalam konteks hari ini, perbuatan ini termasuk juga mengintai melalui CCTV, merakam gambar dari luar rumah, atau menggunakan teknologi untuk melihat hal-hal peribadi orang tanpa keizinan.
Hikmah Larangan Ini
Allah SWT mensyariatkan hukum meminta izin bukan semata-mata untuk menjaga peraturan, tetapi untuk melindungi pandangan mata dan kehormatan penghuni rumah. Sekiranya seseorang itu boleh masuk atau mengintai sesuka hati, maka terdedahlah aurat, maruah, dan aib orang lain.
Kalau mengintai dibenarkan, maka hukum-hukum seperti memberi salam, meminta izin, dan menutup aurat tidak lagi relevan. Tetapi Islam menjaga semuanya secara serentak: mata, telinga, hati dan lisan.
Justeru, jangan sesekali kita bersangka buruk jika seseorang tidak mengizinkan kita masuk ke rumahnya, atau tidak membuka pintu selepas salam diberikan tiga kali. Itu hak mereka. Bahkan, kita diajar untuk pulang dengan tenang, tanpa mengomel atau menyimpan rasa dalam hati.
Memperkenalkan Diri – Sunnah Nabi SAW
Apabila kita memberi salam di pintu rumah seseorang, kita juga perlu memperkenalkan diri. Ini adalah sunnah yang sering dilupakan. Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA. Beliau menceritakan bahawa pada suatu hari, beliau datang menemui Rasulullah SAW dan mengetuk pintu rumah Baginda. Rasulullah SAW, dengan penuh kelembutan, bertanya dari dalam:
"Siapa di luar?"
Jabir RA menjawab:
"Aku."
Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW pun bersabda:
"Aku? Aku itu siapa?"
(HR.Bukhari no. 6250)
Jawapan Rasulullah itu bukanlah teguran yang keras, tetapi satu bentuk pendidikan halus yang penuh hikmah. Hadis ini menunjukkan bahawa jawapan seperti “Aku” tidak jelas dan tidak patut digunakan. Bila ditanya, sebutlah nama dengan jelas, contohnya: “Saya Abdullah bin Umar, bolehkah saya masuk?”
Adab ini penting supaya tuan rumah tahu siapa yang datang. Kadangkala, suara pun tidak dikenali. Maka, adab ini menjadikan komunikasi lebih jelas dan beradab.
Kesan Melanggar Adab Ini dalam Kehidupan
Apabila ajaran ini tidak diamalkan, maka kesan buruknya akan menimpa masyarakat. Hilanglah rasa hormat, tergugatlah rasa percaya, dan pecahlah hubungan silaturrahim. Apabila kita mula anggap hukum-hukum ini sebagai remeh, kita mula hilang barakah dalam kehidupan.
Kadangkala kita tertanya-tanya, “Kenapa aku dah biasa bangun malam, tiba-tiba hari ini tak terjaga?” Mungkin itu teguran daripada Allah. Mungkin ada dosa-dosa yang kita anggap kecil, tetapi memberi kesan besar. Mungkin kita pernah masuk rumah orang tanpa izin, pernah biarkan anak-anak berbuat bising dan mengganggu orang lain, atau tidak pernah memperkenalkan diri dengan betul.
Hukum Allah itu halus, tetapi mendalam kesannya. Kadang-kadang kita rasa semuanya baik-baik sahaja, tetapi sebenarnya kita sedang menanggung akibat dari kecuaian kecil yang berulang-ulang.
















Catat Ulasan