Kuliah Subuh 29 Jun 2025, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
29/06/2025 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah

Surah Maryam, ayat 85 hingga 87, berdasarkan tafsiran Imam Ibn Kathir rahimahullah.


يَوْمَ نَحْشُرُ ٱلْمُتَّقِينَ إِلَى ٱلرَّحْمَـٰنِ وَفْدًۭا ﴿٨٥﴾ وَنَسُوقُ ٱلْمُجْرِمِينَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ وِرْدًۭا ﴿٨٦﴾ لَا يَمْلِكُونَ ٱلشَّفَـٰعَةَ إِلَّا مَنِ ٱتَّخَذَ عِندَ ٱلرَّحْمَـٰنِ عَهْدًۭا ﴿٨٧﴾


Ingatlah, pada hari ketika dikumpulkan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sebagai perutusan yang terhormat. Manakala orang-orang yang derhaka dihalau ke neraka Jahannam dalam keadaan dahaga. Mereka tidak dapat memberi syafaat kecuali orang-orang yang telah mengadakan perjanjian dengan Tuhan Yang Maha Pemurah.


Ayat ini menunjukkan keadaan orang-orang yang beriman dan sebaliknya, mereka yang tidak beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. "Yaum" atau "hari" di sini merujuk kepada hari kiamat. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyatakan bahawa pada hari tersebut, orang-orang yang bertakwa akan dikumpulkan.


Dalam Bahasa Arab, perkataan "Nahsyur" berasal daripada kata dasar yang sama dengan "Mahsyar", yang membawa maksud tempat dihimpunkan. Contoh seperti "Masjid" berasal daripada kata dasar "sajada" (sujud), dan "Majlis" dari "jalasa" (duduk). Bahasa Arab mempunyai kaitan yang menarik antara kata dasar dan pembentukan tempat.


Apabila memahami al-Quran, akan terasa lebih seronok dan bermakna. Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi difahami. Usaha memahami ayat-ayat al-Quran merupakan bukti tanggungjawab sebagai hamba di hadapan Allah. Tujuan menghadiri majlis ilmu adalah untuk memahamkan isi kandungan al-Quran, walaupun sekadar ayat-ayat yang mudah dan sering dibaca.


Warak membawa untung besar kerana orang yang faham akan merasai kenikmatan dalam ibadah. Di masjid-masjid yang imamnya memiliki suara yang merdu dan faham isi bacaan, jemaah akan tersentuh hingga menitiskan air mata. Namun, sekiranya tidak memahami, sukar untuk terkesan.


Perkataan "nahsyur" menunjukkan tindakan menghimpun. Maka "Mahsyar" ialah tempat pertama manusia berkumpul selepas dibangkitkan. "Al-muttaqin" merujuk kepada orang-orang yang bertakwa, yang dikumpulkan kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sebagai perutusan yang terhormat.


Dalam konteks ini, orang yang beriman dan bertakwa disebut secara bersama kerana kedua-dua sifat itu saling berkait. Di Mahsyar nanti, mereka datang dalam keadaan disambut dengan penuh penghormatan oleh Allah dan para makhluk, khususnya para malaikat.


Manusia secara fitrah menginginkan penghormatan. Dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW, banyak disebut tentang ganjaran dan keistimewaan yang diberikan kepada orang-orang yang beriman. Salah satunya ialah kemuliaan dan penghormatan di akhirat.


Namun, generasi sahabat yang dididik oleh Nabi SAW tidak mengejar kemuliaan di dunia. Mereka tidak memerlukan pengiktirafan manusia. Jika diterima, mereka bersyukur; jika tidak, mereka tidak peduli, kerana mereka mencari kemuliaan hakiki di akhirat.


Pada hari ini, manusia berlumba-lumba mencari kemuliaan dunia. Tetapi itu bukanlah tujuan utama kehidupan. Dalam sambutan hijrah, banyak pengajaran yang dapat diambil. Hijrah mengajar tentang generasi yang hidup semata-mata untuk mencari reda Allah. Mereka rela meninggalkan kemewahan demi agama.


Contohnya Suhaib ar-Rumi. Datang ke Mekah dalam keadaan miskin dan kemudian menjadi kaya hasil perniagaan. Ketika hendak berhijrah ke Madinah, beliau membawa hartanya tetapi dihalang oleh orang Quraisy. Mereka berkata: "Datang ke Mekah dalam keadaan miskin, kini mahu pergi membawa kekayaan?" Lalu beliau berkata, "Jika harta ini diberi kepada kamu semua, izinkan aku berhijrah." Mereka setuju, dan beliau pergi ke Madinah dalam keadaan miskin. Nabi SAW menyebut bahawa Suhaib telah memperoleh keuntungan.


Generasi ini hebat kerana mereka berlumba-lumba merebut kemuliaan di akhirat. Mereka adalah golongan yang ikhlas. Ulama mentafsirkan ikhlas sebagai beramal hanya kerana Allah. Mereka tidak mengharapkan pujian manusia, tidak kisah dicela atau dipuji, kerana yang diharap hanyalah pujian daripada Allah.


Pada zaman yang penuh fitnah ini, manusia sangat mengharapkan pujian, suka dipandang tinggi, suka dikenali. Inilah riak. Riak ialah keinginan agar amalan dilihat dan diketahui orang lain. Ia berasal daripada keinginan untuk didengar dan dipuji.


Maka doa agar Allah selamatkan daripada sifat-sifat ini sangat penting.


Pada zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab RA, sebuah angkatan tentera Islam dihantar untuk menawan sebuah kota yang dilindungi kubu kuat. Kubu tersebut dikelilingi oleh pari besar seperti sungai, dipasang pula pagar besi yang menjadikan serangan hampir mustahil. Walaupun biasanya kemenangan dicapai dengan mudah pada zaman itu, kota ini bertahan hampir enam bulan.


Dalam usaha yang berpanjangan, seorang tentera Islam pada suatu malam menyelam dan menemukan lubang kecil yang membolehkannya menyelinap masuk. Beliau berjaya membuka pintu tembok dari dalam, lalu tentera Islam melancarkan serangan dan memperoleh kemenangan. Apabila berita itu disampaikan kepada Sayidina Umar, beliau berasa hairan mengapa tentera mengambil masa yang lama. Panglima menjelaskan kekuatan kubu tersebut dan menceritakan peranan tentera yang menyelinap masuk. Sayidina Umar ingin berjumpa dengannya, tetapi panglima tidak mengetahui siapa gerangannya. Setelah diumumkan kepada seluruh tentera, seorang tentera mengangkat tangan dan berkata, "Bukan aku, tetapi kawanku." Apabila ditanya mengapa tidak mahu dikenali, tentera itu menyatakan jika pujian menjadi tujuan, lebih baik dirahsiakan agar pahala tidak berkurang. Sayidina Umar tersentuh hingga menitis air mata, lalu berkata kepada Sayidina Ali, “Bagaimana Allah mengurniakan kepadaku rakyat dan tentera yang sebaik ini?” Sayidina Ali menjawab, “Kerana engkau baik, maka Allah memberi kepadamu rakyat yang baik.”


Bayangkan jika perkara ini berlaku pada zaman kini. Tidak perlu orang lain bercerita, sudah tentu diri sendiri akan menceritakan. Bahkan, mungkin sudah mendapat sijil penghargaan, pingat, pangkat dan sebagainya. Bukanlah bermaksud semua itu salah, tetapi inilah beza dengan generasi terdahulu. Mereka hidup tanpa mengharapkan pujian. Mereka membaca ayat-ayat Allah seperti yang disebut tadi, dan mereka benar-benar mengharapkan penghargaan serta penghormatan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Itulah kemuliaan yang paling besar.


Kisah-kisah di zaman Rasulullah SAW perlu diulang sebagai didikan untuk jiwa. Meskipun cerita yang sama diulang, penyakit hati yang wujud itu tetap sama. Semua manusia menginginkan penghormatan. Yang dihormati berasa bahagia, manakala yang tidak dihormati berasa derita, sedih, dan kecewa. Itulah masalah yang ada. Maka perlu sentiasa berdoa agar Allah membantu dan menyelamatkan daripada penyakit-penyakit hati.


Kadang-kadang cerita-cerita seperti ini nampak seperti perkara biasa. Tetapi bagi yang tahu, ia menjadi ubat hati ketika menghadapi ujian. Maka carilah reda Allah dalam kehidupan, itulah perkara utama.


Para sahabat bahkan sampai satu tahap apabila Allah memberikan nikmat, mereka berasa sedih. Mengapa? Mereka bimbang nikmat itu adalah istidraj—ujian yang Allah berikan bukan sebagai rahmat tetapi sebagai balasan di dunia, lalu tiada bahagian di akhirat kelak. Bukanlah salah untuk mendapat nikmat atau menceritakan nikmat, tetapi hati perlu dijaga.


Sebagai contoh, apabila seseorang dinaikkan pangkat atau menerima penghormatan tertentu, rasa bangga mudah menyelinap dalam hati. Namun, apa jua nikmat yang diperoleh, hati perlu sentiasa dijaga agar tidak terlalai dengan pujian atau kemegahan dunia.


Begitu juga apabila menerima harta pusaka yang besar daripada ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Rasa sedih boleh muncul, bukan kerana kehilangan semata-mata, tetapi kerana bimbang tidak mampu mengurus amanah tersebut dengan sebaiknya. Perasaan itu mencerminkan jiwa yang takut kepada Allah dan sedar akan tanggungjawab akhirat.


Para sahabat hidup tanpa mengejar kemasyhuran. Mereka membiarkan orang lain berbicara, tidak berebut jawatan, tidak mengejar kuasa. Zaman sekarang, semua ingin bercakap. Para sahabat biarkan orang lain bercakap dahulu. Apabila menyentuh soal jawatan, mereka beri sahaja kepada yang mahu. Mereka tidak mengejar.


Ini zaman ujian. Doakan agar Allah menyelamatkan semua. Mengapa begitu? Kerana iman. Iman para sahabat sangat kuat. Mereka benar-benar mengharapkan ganjaran di hari akhirat. Maka mohonlah agar Allah mengampuni dosa dan menempatkan dalam kalangan orang-orang yang bertakwa.


Zaman ini menyaksikan ramai yang terlalu asyik berbicara soal politik, hingga hidupnya dipenuhi dengan kebencian terhadap tokoh-tokoh yang silih berganti. Hari ini disanjung, esok dicerca. Yang dahulu disokong kini ditentang, seolah-olah tiada ketetapan dalam pendirian.


Begitulah realiti dunia — kedudukan dan pangkat sering menjadi tumpuan. Ada yang dahulunya mempertahankan seseorang dengan penuh semangat, kini berada di tampuk kuasa dan menjadi perhatian. Bukan soal mencela, tetapi hakikatnya manusia cenderung mengejar pengiktirafan, dan sering timbul rasa tidak senang apabila melihat orang lain lebih berjaya.


Namun yang lebih penting ialah kembali kepada perbincangan tentang orang-orang bertakwa yang diangkat dan dimuliakan oleh Allah. Mereka merasakan ketenangan dalam ibadah, seronok dalam berzikir dan berwirid. Duduk di masjid terasa aman dan bahagia kerana adanya ganjaran pahala.


Nabi SAW menyebut dalam hadis: sesiapa yang duduk di rumah Allah, di majlis ilmu, namanya akan disebut oleh Allah kepada para malaikat. Bayangkan, bukan malaikat menyebut nama, tetapi Allah sendiri. Nama disebut di sisi-Nya, kerana berada dalam majlis ilmu. Itu kemuliaan yang besar dan hanya dirasai oleh orang-orang yang beriman.


Sebagai contoh, apabila seorang pemimpin atau tokoh besar hadir ke sesuatu majlis, kehadiran orang ramai serta-merta bertambah. Daripada hanya segelintir, menjadi puluhan atau ratusan, semata-mata kerana kehadiran seorang yang dihormati. Apabila disapa pula dengan ucapan mesra, walaupun secara ringkas, hati berasa bangga — meskipun itu hanyalah sapaan seorang insan biasa.

Bagaimana pula jika yang menyebut nama adalah Allah sendiri?


Setelah disebut kemuliaan orang-orang yang beriman, Allah menyambung dengan menyebut:


وَنَسُوقُ الْمُجْرِمِينَ إِلَىٰ جَهَنَّمَ وِرْدًا


Kami akan menghalau orang-orang yang derhaka ke neraka Jahannam dalam keadaan dahaga.


Perkataan mujrim dalam Bahasa Arab merujuk kepada orang yang derhaka atau kafir. Mereka akan dihalau ke neraka dalam keadaan hina. Sebaliknya, orang yang beriman disambut dengan penuh kemuliaan.


Mereka tidak akan mendapat syafaat, kecuali yang telah membuat perjanjian dengan Allah. Syafaat hanya akan diberikan kepada mereka yang diizinkan oleh Allah. Di dunia, manusia boleh saling membantu, sama ada baik atau tidak. Namun, di akhirat, tiada siapa dapat membantu melainkan dengan keizinan Allah. Maka mohonlah agar termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat nikmat syafaat ini dan diselamatkan daripada api neraka.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama