
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
17/08/2025 | Ustaz Dr. Hasbullah Mohamad | — |
BUNUH DIRI
Bunuh diri dalam bahasa Arab disebut qatl al-nafs, iaitu tindakan seseorang yang dengan sengaja menghilangkan nyawa sendiri. Pelbagai cara digunakan untuk tujuan ini seperti menggantung diri, meminum racun, menikam diri, terjun bangunan ataupun membakar diri. Semua bentuk perbuatan tersebut bertentangan dengan prinsip keimanan dan takdir.
Adakah Bunuh Diri Syirik?
Menurut Imam al-Zahabi, bunuh diri tergolong dalam dosa besar yang amat berat. Dari sudut hukum, ia tidaklah menyebabkan seseorang itu menjadi kafir, namun pelakunya tetap dikategorikan sebagai golongan fasiq. Walau bagaimanapun, bunuh diri membawa kepada syirik sekiranya seseorang melakukannya dengan menolak takdir Allah atau tidak redha terhadap ketentuan-Nya.
Bunuh diri mencerminkan kekecewaan terhadap rahmat Allah serta putus asa daripada rahmat-Nya. Ia juga dianggap sebagai penyakit akidah yang merosakkan keimanan serta merugikan pelaku di dunia dan akhirat.
Ancaman dan Dosa Bunuh Diri
Islam dengan tegas melarang perbuatan bunuh diri. Allah melarang hamba-Nya membinasakan diri sendiri kerana tindakan tersebut merupakan tanda putus asa terhadap rahmat-Nya.
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sesiapa yang membunuh diri dengan alat tertentu, maka dia akan terus diseksa dengan alat itu di dalam neraka. Misalnya, jika seseorang menggantung diri, dia akan terus-menerus mengalami azab dengan cara itu di neraka. Begitu juga yang menikam atau meracun diri, mereka akan menerima azab berulang-ulang dengan cara yang sama.
Berdasarkan hadis lain, sesiapa yang membunuh diri dengan terjun dari tempat tinggi, maka dia akan jatuh berulang kali di dalam neraka Jahannam selama-lamanya. Rasulullah SAW juga bersabda bahawa Allah telah mengharamkan syurga bagi sesiapa yang mempercepatkan kematiannya sendiri.
Senario Semasa Bunuh Diri
Menurut statistik WHO, hampir 800,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat bunuh diri. Di Malaysia pula, kes bunuh diri menunjukkan peningkatan, lebih-lebih lagi ketika berlakunya pandemik dan krisis ekonomi. Antara faktor yang mendorongnya ialah:
- Tekanan kewangan dan hutang.
- Masalah rumah tangga dan hubungan.
- Gangguan mental seperti kemurungan dan skizofrenia.
- Pengaruh media sosial yang menormalisasikan perbuatan bunuh diri.
- Ketiadaan sokongan rohani dan emosi.
Pendekatan Islam
Islam menggariskan beberapa pendekatan bagi mengelakkan perbuatan bunuh diri. Antaranya ialah memperkukuh akidah dan keimanan dengan memahami konsep takdir serta bersangka baik terhadap ujian Allah. Sokongan emosi dan sosial daripada keluarga serta masyarakat juga amat penting.
Rawatan psikologi dan terapi rohani perlu digalakkan bagi membantu mereka yang mengalami tekanan, selagi rawatan tersebut tidak bercanggah dengan syariat. Pendidikan akhlak dan nilai kehidupan yang menekankan kesabaran, redha dan harapan kepada rahmat Allah perlu diperkasakan. Selain itu, umat Islam digalakkan memperbanyakkan doa serta istighfar, kerana ia menjadi benteng bagi mereka yang hampir-hampir ingin melakukan perbuatan terlarang itu.
Kesimpulannya, bunuh diri bukanlah perkara ringan dalam Islam. Ia adalah cerminan kepada krisis keimanan dan tanda putus asa yang sangat berbahaya. Perbuatan ini membawa kerugian besar, bukan sahaja di dunia, bahkan juga di akhirat.
Bunuh diri adalah dosa besar yang bertentangan dengan prinsip keimanan dan takdir, walaupun tidak sampai mengkafirkan pelakunya |
Bunuh diri boleh menjadi syirik jika dilakukan dengan menolak takdir Allah atau tidak redha terhadap ketentuan-Nya |
Pelaku bunuh diri akan diazab di neraka dengan cara yang sama seperti metode bunuh diri yang digunakannya |
Allah mengharamkan syurga bagi orang yang membunuh dirinya sendiri |
Faktor utama bunuh diri termasuk masalah kewangan, rumah tangga, gangguan mental, dan kurangnya sokongan sosial |
Pencegahan bunuh diri memerlukan pendekatan holistik: pengukuhan akidah, sokongan sosial, rawatan psikologi, dan terapi rohani |






Catat Ulasan