Kuliah Maghrib 28 November 2024, Ustaz Arselan Salleh

Tarikh Penceramah Tajuk
28/11/2024 Ustaz Arselan Hakim Mohd Salleh

Nota Kuliah

 JIRAN

Hadis: 

Keampunan Allah Melalui Penyaksian Orang Lain

Rasulullah SAW bersabda, diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.: "Apabila seorang Muslim meninggal dunia, dan empat orang jiran terdekat dari kalangan ahli rumahnya bersaksi bahawa mereka tidak mengetahui melainkan kebaikannya, maka Allah berfirman: 'Aku menerima persaksian kalian terhadapnya, dan Aku mengampuninya atas apa yang tidak kalian ketahui.'" (STATUS)

Satu hadis lagi menyebutkan bahawa hak jiran itu meliputi hingga 40 buah rumah, merangkumi jiran di kanan, kiri, hadapan, dan belakang kita. (HR. Abu Daud)¹

Oleh itu, kita wajib menjaga hubungan baik dengan jiran, tidak kira jiran dekat mahupun yang jauh. Ini juga ditegaskan dalam surah An-Nisa, ayat 36, yang berbunyi:

"Dan sembahlah Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat, jiran yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil, dan hamba sahayamu..."


Hadis:  

Rasulullah SAW bersabda; 

"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya".— HR. Bukhari no.6018, Muslim no.47

Antara ciri orang yang beriman adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jiran. Jika seseorang itu tidak memiliki sifat ini, maka keimanannya masih belum sempurna.


Hadis:  

Rasulullah SAW bersabda;

"Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah orang yang paling baik terhadap temannya, dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah orang yang paling baik terhadap jirannya".— HR.Tirmizi, no. 1944

Kita perlu memperbaiki diri agar menjadi jiran yang baik kepada orang lain. Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Allah memuliakan mereka yang menjaga hubungan baik dengan jiran. Masalah atau perselisihan dengan jiran di dunia ini tidak akan berakhir di dunia sahaja, tetapi akan dibawa ke akhirat kelak, di mana setiap perbuatan kita akan dihitung.


Hadis:

Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak akan masuk syurga orang yang jirannya tidak merasa aman daripada kejahatannya".— HR. Bukhari, no.6016, Muslim no. 46

Antara gangguan yang sering dihadapi oleh masyarakat kejiranan pada hari ini termasuklah gangguan bunyi seperti radio yang bising, karaoke, bunyi motorsikal yang kuat, dan sebagainya


Hadis:

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW tentang seorang wanita; "Wahai Rasulullah, ada seorang wanita yang rajin solat, puasa, dan bersedekah, tetapi dia menyakiti jirannya dengan lidahnya". Baginda SAW menjawab; "Dia di neraka." — HR. Ahmad, no. 9675 (hasan)

Hadis ini memberi pengajaran bahawa ibadah (solat, sedekah, puasa) yang banyak tidak akan bermanfaat jika seseorang menyakiti orang lain, terutama jiran, dengan perkataannya (lidah). Malah dalam sebuah hadis lain Nabi menyangka bahawa jiran boleh mewarisi harta kerana penekanan yang diberikan oleh malaikat Jibril.

"Jibril terus-menerus berpesan kepadaku tentang jiran, sehingga aku menyangka bahawa jiran akan mewarisi harta".— HR.Bukhari no. 6014, Muslim no. 2625

Kita juga digalakkan mengajak jiran untuk melakukan amal kebaikan, contohnya mengajak jiran untuk hadir solat berjemaah di masjid. 

Diceritakan seorang lelaki Malaysia berbangsa India yang memeluk Islam ketika berada di London, walaupun dia dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, yang majoriti penduduknya beragama Islam. Apabila ditanya mengapa dia memeluk Islam di London dan bukan di Malaysia, lelaki itu menjawab, Sewaktu di Malaysia, walaupun dia dikelilingi oleh rakan-rakan yang beragama Islam, mereka tidak pernah mengajaknya untuk memeluk Islam, malah tidak pernah bercerita tentang agama ini kepadanya. Namun, apabila tiba di London, dia melihat kebaikan yang dilakukan oleh seorang lelaki berbangsa Arab. Lelaki Arab itu menceritakan tentang Islam, dan kerana itu dia tertarik dan akhirnya membuat keputusan untuk memeluk Islam.

Antara orang yang paling utama untuk diajak kepada kebaikan ialah jiran-jiran, selain ahli keluarga terdekat.  Islam mengajarkan agar kita tidak bersikap mementingkan diri sendiri, sebaliknya berbuat baik kepada orang lain. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah An-Nisa, ayat 36, yang menyeru umat Islam agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, jiran yang dekat, jiran yang jauh, dan mereka yang memerlukan.  


Hadis:

Rasulullah SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Zar R.A berkenaan dengan jiran seraya bersabda; 

"Wahai Abu Zar, jika kamu masak, maka perbanyakkanlah kuah dan beringatlah untuk jiran-jiran kamu dengan memberinya".— HR.Muslim no.2625

Abu Zar mengikuti saranan Nabi SAW dan beliau memberikan kuah kepada jiran-jirannya. Jiran-jiran Abu Zar sangat gembira dengan pemberian tersebut kerana mereka tahu bahawa Abu Zar merupakan seorang yang susah. Sebagai tanda penghargaan, mereka berpakat untuk membalas kebaikan Abu Zar, dan tidak lama kemudian, Abu Zar menerima begitu banyak balasan makanan dari jiran-jirannya.


BERSABAR ATAS KEMATIAN ORANG YANG DIKASIHI


Hadis: 

Rasulullah SAW bersabda;

"Sesungguhnya Allah berfirman: Tidak ada balasan di sisi-Ku bagi seorang hamba-Ku yang beriman apabila Aku mencabut nyawa orang yang dia kasih dalam kalangan penduduk dunia, kemudian dia mengharapkan keredhaan-Ku melaluinya, melainkan syurga."— HR.Muslim no.923, Bukhari no.1306

Antara orang yang paling dikasihi oleh seseorang di dunia ini ialah anak, pasangan (suami atau isteri), serta ibu dan bapa. Namun, apabila ditimpa musibah kehilangan mereka, Islam mengajarkan kita untuk bersabar dan mengucapkan istirja'; "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un".

Sabar yang sebenar ialah ketika seseorang menerima berita musibah itu buat pertama kalinya. Ia adalah tanda keimanan yang teguh dan keyakinan kepada ketentuan Allah.

Terdapat sebuah hadis daripada Abu Sinan beliau berkata: "Aku telah menguburkan anakku Sinan, sedangkan Abu Talhah al-Khawlani duduk di tepi kubur. Ketika aku ingin pergi, dia memegang tanganku dan berkata: 'Mahukah aku menyampaikan khabar gembira kepada kamu, wahai Abu Sinan?' Aku berkata: 'Sudah tentu.' Dia berkata: 'Al-Dahhak bin Abdur-Rahman bin 'Arzab telah menceritakan kepadaku, daripada Abu Musa al-Asy'ari: "Bahawa Rasulullah SAW bersabda: 'Apabila seorang anak hamba (Allah) meninggal dunia, Allah berfirman kepada malaikat: "Kamu sudah mengambil nyawa anak hamba-Ku." Mereka menjawab: "Ya." Maka Allah berfirman lagi: "Kamu telah mengambil buah hati hamba-Ku." Mereka menjawab: "Ya." Allah berfirman lagi: "Apakah yang hamba-Ku katakan?" Mereka menjawab: "Dia memuji Engkau dan mengucapkan istirja'. Maka Allah berfirman: "Binalah sebuah rumah di dalam syurga untuk hamba-Ku, dan namakannya 'rumah pujian'.³

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa mengucapkan istirja' (إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ) adalah sunnah apabila seseorang menghadapi musibah, seperti kematian, atau kejadian musibah yang menimpa seseorang manusia, tidak hanya kematian, tetapi meliputi hal-hal lain yang menyakitkan atau sesuatu tidak menyenangkan. 


Hadis Ummu Salamah 

Ummu Salamah R.A berkata bahawa dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda;

"Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah lalu ia membaca apa yang telah diperintahkan oleh Allah, “Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji’uun allahumma`jurnii fii mushiibati wa akhlif lii khairan minhaa (إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ للهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا).’ melainkan Allah menukar baginya dengan yang lebih baik".— HR.Muslim no.918

Ummu Salamah mematuhi saranan Rasulullah SAW untuk bersabar dan berdoa ketika menghadapi musibah, seperti yang diajarkan dalam hadis. Keajaiban berlaku apabila Allah menggantikan suaminya yang telah meninggal (Abu Salamah), dengan jodoh yang lebih baik, iaitu Rasulullah SAW sendiri, yang kemudian datang meminangnya.

Selain itu, apabila berlaku satu kematian, sebagai muslim kita mestilah mengambil peluang untuk menyolati jenazah kerana ganjaran yang diberikan sangat besar iaitu pahala sebesar gunung Uhud, sebagaimana sabda Nabi SAW; 

"Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirath. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirath, dan satu qirath itu ganjaramnya sebesar bukit Uhud".— HR.Muslim no.946


Talian hayat manusia semasa meninggal dunia

1) Solat Jenazah. Terdapat dua hadis yang meyebut tentangnya iaitu;

Rasulullah SAW bersabda; 

"Tidak ada seorang Muslim pun yang meninggal dunia, kemudian empat puluh orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun mendirikan solat jenazah untuknya, kecuali Allah akan mengampuni dosa-dosanya".— HR.Muslim, no. 949 dan 

"Tidak ada seorang Muslim pun yang meninggal dunia, lalu solat jenazah untuknya seratus orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, melainkan Allah akan mengampuni dosa-dosanya".— HR. Muslim, no. 948


2) Melalui 1/3 Harta

Wasiatkan 1/3 kepada selain ahli waris

_______________________________________

Nota

¹ Status: Sangat Lemah, sebagaimana dinukilkan oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj

² Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali

³ Hadith riwayat Imam al-Tirmizi. Status: Hadis hasan gharib. Sumber: Kitab Jami' al-Tirmidzi: 10, hadis 1021


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama