
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
07/12/2024 | Ustaz Ahmad Hairy Haderi | Kuliah Ganti |
Masa Itu Berharga: Pengisian Bermakna untuk Dunia dan Akhirat
Masa adalah anugerah yang tidak ternilai. Banyak istilah dan peribahasa menggambarkan kepentingan masa, seperti "masa itu emas," kerana sifatnya yang tidak boleh diulang atau dibeli semula. Walaupun harta benda boleh dicari semula, masa yang berlalu semakin mengurangkan peluang hidup manusia. Oleh itu, adalah penting untuk memanfaatkan setiap detik dengan aktiviti yang memberi faedah kepada diri sendiri dan orang lain.
Pengisian Masa di Rumah Allah
Bagi mereka yang berada di masjid, masa seharusnya dimanfaatkan untuk tujuan ibadah. Berniat iktikaf di rumah Allah mendatangkan pahala berpanjangan. Manfaatkan pancaindera kita, contohnya mata yang digunakan untuk membaca al-Quran, dan telinga untuk mendengar ceramah agama. Ingatlah, masa yang berlalu tidak boleh diganti, dan tiada wang yang mampu membayar nilai sebenar masa.
Rintangan Menuju Kebaikan Menurut Imam Ghazali
Imam Ghazali dalam kitabnya menyenaraikan beberapa rintangan (aqabah) yang perlu dilalui oleh manusia untuk mencapai kebaikan, iaitu:
- Ilmu – Memahami agama adalah asas untuk melakukan kebaikan dengan betul.
- Taubat – Memperbaiki diri dan kembali kepada Allah sebelum terlambat.
- Aqabah al-Awâridh – Menundukkan keinginan yang melanggar batas agama.
Syaitan sering menjadi penghalang manusia daripada mencapai kebaikan, termasuk melambatkan taubat. Bagi mereka yang sudah berusia atau bersara, janganlah bertangguh untuk bertaubat kerana ajal tidak mengenal waktu.
Cara Melawan Bisikan Syaitan
- Fokus kepada Kualiti Amalan, hadirkan dalam hati bahawa amalan yang sedikit tetapi dilakukan dengan sempurna adalah lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi dalam keadaan kelam-kabut. Contohnya, berzikir dengan cermat dan menyebutnya dengan jelas adalah lebih baik walaupun hanya 33 kali, berbanding berzikir 100 kali tetapi dalam keadaan kelam-kabut dengan sebutan yang tidak jelas.
- Contoh lain ialah membaca al-Quran setiap hari, walaupun hanya satu maqra', lebih baik daripada membaca tiga juzuk tetapi hanya sekali sebulan.
- Berwaspada dengan Rasa Tergopoh-gopoh, syaitan sering menghasut manusia untuk melakukan sesuatu secara terburu-buru, yang akhirnya mengurangkan keberkatan dalam amalan.
- Syaitan akan suruh manusia melakukan ibadat dengan cara baik, tidak gopoh gapah, TETAPI syaitan akan selitkan niat di dalam hati agar ibadah itu hanya untuk mendapat perhatian manusia. Syaitan juga akan membawa manusia ke dalam perbuatan riak. Maka kita harus berhati-hati dengan tipu daya ini. Imam Al-Ghazali menyarankan kita untuk 'menjawab' tipu daya ini dengan mengatakan bahawa bagi diri kita yang penting hanyalah penilaian Allah, tiada manfaat jika beramal kerana manusia.
- Syaitan akan cuba bisikkan pujian kepada orang yang beramal, dan membuatkan orang itu merasa sempurna dalam ibadahnya. Manusia yang tergoda akan merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Maka, niatkanlah bahawa semua keagungan dan kesempurnaan itu adalah milik Allah.
Contoh terbaik ialah Saidina Khalid Al-Walid, seorang panglima perang yang hebat. Namun ketika dipecat oleh Saidina Umar, beliau tidak berdendam malah mengamanahkan Saidina Umar untuk menguruskan hartanya apabila beliau meninggal kelak. Sebenarnya, tindakan Saidina Umar itu adalah untuk mengelakkan orang-orang Islam pada ketika itu menjadi terlalu taksub kepada Saidina Khalid Al-Walid, dan dibimbangi membawa kesyirikan kerana beliau tidak pernah kalah ketika mempimpin peperangan.
Tindakan Saidina Umar memecat Saidina Khalid bukan kerana kebencian atau kelemahan kepimpinan beliau. Sebaliknya, keputusan itu diambil untuk mengelakkan iman umat Islam pada masa itu daripada rosak. Hal ini kerana ramai yang menganggap bahawa kemenangan demi kemenangan yang dicapai oleh tentera Islam adalah semata-mata kerana kehebatan Saidina Khalid, sedangkan hakikatnya semua kemenangan itu datangnya dari Allah SWT.









Catat Ulasan