
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
10/02/2025 | Ustaz Razemi Kassim | — |
Perkara yang Dibenarkan Ketika Berpuasa Sunat atau Ramadan
1. Menyiram Air ke Tubuh atau Menyelam
Ketika berpuasa, seseorang dibenarkan untuk menyiram air ke tubuh bagi menyejukkan badan atau menyelam di dalam air. Hal ini berdasarkan sebuah hadis daripada sahabat yang melihat Rasulullah SAW melakukan perkara tersebut:
"Sesungguhnya aku pernah melihat Rasulullah SAW menuang air ke atas kepalanya ketika berpuasa." — HR. Ahmad, sanad yang Shahih)
Sekiranya air mandi masuk ke dalam rongga tanpa disengajakan, maka puasanya tetap sah dan tidak terbatal.
2. Memakai Celak dan Memasukkan Air ke Dalam Mata
Memakai celak atau memasukkan air ke dalam mata ketika berpuasa tidak membatalkan puasa. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Anas bin Malik r.a.:
"Beliau bercelak ketika berpuasa."— (HR. Abu Daud, no. 2378)
Oleh itu, memakai celak, titis mata, atau ubat mata tidak membatalkan puasa kerana ia bukan sesuatu yang masuk ke dalam rongga melalui mulut atau hidung.
3. Berciuman dengan Pasangan
Seseorang yang mampu mengawal nafsunya dibenarkan mencium isterinya ketika berpuasa. Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa:
"Rasulullah SAW mencium isterinya ketika berpuasa dan baginda mampu mengawal syahwatnya." — (HR. Bukhari, no. 1927; Muslim, no. 1106)
Namun, jika perbuatan tersebut boleh membawa kepada syahwat yang lebih besar, maka hukumnya menjadi makruh. Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW setelah dia mencium isterinya ketika berpuasa, lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya:
"Bagaimana jika kamu berkumur-kumur ketika berpuasa?"Umar menjawab: "Tidak ada apa-apa." Maka Rasulullah SAW menjelaskan bahawa hukum mencium isteri juga tidak membatalkan puasa. — (HR. Abu Daud, no. 2385)
Mazhab Syafi‘i dan Hanafi menyatakan bahawa mencium isteri adalah makruh jika ia membangkitkan nafsu. Begitu juga dengan perbuatan memeluk dan menyentuh isteri yang boleh membawa kepada syahwat.
4. Suntikan
Suntikan yang bertujuan untuk memasukkan zat makanan, ubat, atau untuk tujuan lain ke dalam urat atau kulit dibolehkan ketika berpuasa, selagi ia bukan berbentuk makanan atau minuman yang masuk melalui mulut.
5. Berbekam
Berbekam ketika berpuasa juga dibolehkan kerana Nabi SAW sendiri pernah berbekam dalam keadaan berpuasa. Seorang sahabat bertanya kepada Anas bin Malik r.a.:
"Adakah makruh jika berbekam?"Anas menjawab: "Tidak, kecuali jika ia menyebabkan lemah tenaga."— (HR. Bukhari, no. 1940)
Namun, jika seseorang menjadi lemah kerana berbekam, maka hukumnya menjadi makruh kerana boleh mengganggu ibadah puasanya.
6. Berkumur-kumur dan Memasukkan Air ke Hidung
Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dibenarkan ketika berpuasa, tetapi tidak boleh dilakukan secara berlebihan. Rasulullah SAW bersabda:
"Jika kamu membersihkan rongga hidung, janganlah sampai berlebihan (hingga ke dalam)."— (HR. Tirmidzi, no. 788)
Ulama menyatakan bahawa hukumnya makruh jika seseorang meletakkan ubat ke dalam hidung kerana ia boleh sampai ke rongga dalam.
7. Menelan Sesuatu yang Tidak Dapat Dielakkan
Menelan air liur, debu, sisa makanan yang tertinggal di gigi, atau lendir selesema tidak membatalkan puasa kerana ia merupakan sesuatu yang sukar dielakkan. Namun, menurut mazhab Syafi‘i, mengunyah gula-gula getah adalah makruh. Jika gula-gula itu hancur dan masuk ke dalam tekak, maka puasanya terbatal.
8. Makan, Minum, dan Berjimak Sebelum Terbit Fajar
Orang yang berpuasa dibolehkan untuk makan, minum, dan berjimak sehingga terbit fajar. Jika seseorang masih dalam keadaan berjimak ketika waktu fajar hampir masuk, dia perlu segera menghentikannya sebelum waktu subuh bagi memastikan puasanya sah.






Catat Ulasan