Kuliah Subuh 13 Mac 2025, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
13/04/2025 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah

Surah Maryam, Ayat 58 (19:58)



"Mereka itulah orang-orang yang telah diberikan Allah nikmat daripada kalangan nabi-nabi dari keturunan Adam, dan dari orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nuh, dan dari keturunan Ibrahim dan Israel (Yakub), serta dari orang-orang yang Kami beri petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Yang Maha Pemurah, mereka segera sujud serta menangis."


Kita sambung perbincangan dengan melihat pengajaran daripada ayat-ayat Allah SWT yang menceritakan kisah Nabi Musa A.S., Nabi Isa A.S., Nabi Muhammad S.A.W., serta para nabi lain yang diberikan keimanan dan nikmat oleh Allah SWT. Para rasul merupakan asas penting dalam kehidupan beragama, terutamanya dalam rukun iman. Mereka asalnya manusia biasa, tetapi diangkat menjadi utusan bagi menyampaikan ajaran agama kepada umat manusia.


Allah SWT menyebut para rasul sebagai golongan yang diberi nikmat, terutama nikmat iman, Islam dan ibadah. Ini nikmat terbesar yang perlu kita syukuri, melebihi nikmat duniawi. Cabaran kita ialah menjadikan agama sebagai keutamaan, seperti yang dibawa oleh para nabi. 


Setelah Ramadan, kita berdoa agar amalan diterima, seperti para sahabat yang risau jika ibadah mereka tidak diterima. Ibadah memerlukan keikhlasan, bukan untuk pujian manusia, tetapi hanya mengharap redha Allah. Orang yang istiqamah selepas Ramadan menunjukkan tanda amal diterima. Satu amalan kecil yang dilakukan secara berterusan lebih baik daripada banyak amalan yang tidak kekal. Kita juga diajar berdoa agar tergolong dalam golongan yang mendapat nikmat – nabi, siddiqin, syuhada dan solihin – seperti dalam Surah al-Fatihah.


Dunia bukan musuh, selagi tidak menjadi matlamat utama. Kita sering terpedaya dengan kemewahan dan mengagumi kekayaan. Namun, para nabi mengajar kita supaya menjaga hati, agar tidak hanyut dengan dunia. Sufyan al-Thauri, seorang ulama tabi'in. Beliau berjalan tunduk dengan muridnya. Lalu, muridnya terpandang rumah besar dan berkata, "Cantiknya, tuan." Lalu Sufyan berkata, "Kenapa kau pandang rumah itu?" Pandangan itu menyebabkan dua penyakit: pertama, penyakit hati pada diri yang mengagumi dunia. Kedua, penyakit pada tuan rumah yang melihat dirinya dikagumi kerana hartanya.


Para nabi sabar dan patuh, walau diuji dengan berat. Contohnya, Nabi Ayyub A.S. diuji dengan sakit, Nabi Ibrahim A.S. diuji dengan anak. Mereka tetap sabar dan tidak berputus asa. Apabila dibacakan ayat Allah, mereka sujud dan patuh.


Para nabi ialah golongan yang, apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, mereka segera sujud dan patuh. Tanda iman itu ialah patuh pada perintah Allah SWT. Islam adalah agama yang awal-awal lagi mengajar manusia untuk tunduk kepada Allah SWT. Dalam masyarakat kita, ramai yang baik dalam perkara besar – solat, puasa – Alhamdulillah. Tapi yang menjadi cabaran ialah perkara-perkara yang halus, yang kecil dalam politik, masyarakat, dan kepimpinan.


Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. menunjukkan ketaatan mutlak kepada perintah Allah. Ini contoh sebenar sujud dan patuh. Menangis kerana takut kepada Allah adalah sifat para nabi, dan jika tidak mampu, kita diajar berpura-pura menangis sehingga hati menjadi lembut.


Para nabi ini mempunyai sifat-sifat mulia yang menjadi contoh. Jika kita sakit, lihatlah contoh Nabi Ayyub A.S. Jika diuji dengan anak, lihat Nabi Ibrahim A.S., Nabi Yaakob A.S. – mereka diuji dalam tempoh yang panjang. Mereka sabar dan tidak berputus asa. Akhirnya, Allah berikan hidayah kepada mereka.


Dalam hadis disebut, antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat ialah orang yang menangis kerana takut kepada Allah. Kalau kita tak mampu menangis, Imam al-Ghazali kata, "Pura-pura menangis." Bacalah al-Quran sehingga mengalirkan air mata. Itu tanda hati lembut. Menangis kerana dosa, kerana takut kepada Allah, itu sifat para nabi. Bila kita menangis kerana dosa, itulah saat kita mewarisi sedikit sifat Rasulullah SAW.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama