Kuliah Maghrib Khas 9 Mei 2025, Ustaz Suhaimi Saad

Tarikh Penceramah Tajuk
09/05/2025 Ustaz Suhaimi Saad

Nota Kuliah

Syukur ke atas Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kerana taufik dan hidayah daripada Allah SWT, kita dapat bersama pada malam ini. 

Kalau kita melihat secara asasnya, ia bermula terus dari zaman Rasulullah SAW hingga berakhirnya khilafah pada tahun 1924.

Ia bermula daripada Nabi SAW sebagai seorang Rasul selama 23 tahun. Kemudian selepas kewafatan Nabi SAW, disambung oleh Khulafah ar-Rasyidin: Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman dan Sayyidina Ali. Kemudian apabila tamatnya Khulafah ar-Rasyidin, ia disambung oleh kerajaan.


Bani Umayyah yang dipelopori oleh Muawiyah bin Abu Sufyan dan diteruskan oleh anaknya. Ia berlangsung selama 97 tahun. Kemudian bila tamatnya Bani Umayyah, ia disambung oleh Bani Abbasiyah. Dalam masa yang sama di Andalus, Sepanyol, kerajaan Bani Umayyah juga wujud.


Kerajaan Bani Umayyah yang asal telah tamat. Namun kesinambungannya berpindah ke Andalus, Sepanyol. Manakala di Baghdad, Bani Abbasiyah berkuasa.


Kemudian datang satu fasa merujuk kepada tempoh 3 tahun di mana umat Islam dibunuh secara kejam dan zalim. Ketika Mongol menghancurkan Baghdad, mereka membunuh umat Islam dan memusnahkan kitab-kitab yang ditulis oleh ulama’ di Baitul Hikmah. Banyaknya kitab di Baitul Hikmah itu sampai mereka menjadikan kitab-kitab itu jambatan untuk menyeberang Sungai Furat. Para ulama’ menulis bahawa air sungai itu bertukar menjadi hitam dan merah — hitam kerana dakwat kitab, merah kerana darah umat Islam yang dibunuh oleh Mongol selama 3 tahun.


Kemudian muncul kerajaan Bani Uthmaniyyah. Bermula pada tahun 1517, apabila Sultan Salim — cucu kepada Sultan Muhammad Al-Fatih — mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah yang baharu. Ketika itu, beliau berpendapat bahawa khalifah Abbasiyah yang berada di Kaherah tidak lagi layak memegang jawatan tersebut kerana gagal mempertahankan umat Islam.


Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis. Namun tiada sebarang tindakan ketenteraan daripada khalifah ketika itu. Malah, sebelum itu lagi, pada tahun 1492, berlaku pembunuhan besar-besaran terhadap umat Islam di Andalus. Namun khalifah juga tidak bertindak.


Inilah yang menyebabkan Sultan Salim pada tahun 1517 mengisytiharkan bahawa khalifah yang ada ketika itu tidak lagi layak memimpin umat Islam, lalu beliau mengambil alih peranan tersebut.


Kerajaan Uthmaniyyah kekal memegang jawatan khalifah selama lebih kurang 400 tahun. Jika diambil kira sejak mula mereka memerintah sebagai kerajaan (sebelum diisytihar sebagai khalifah), tempoh kekuasaan mereka menjangkau lebih 600 tahun.


Akhirnya, kerajaan Uthmaniyyah tumbang pada tahun 1924 — dibubarkan oleh Mustafa Kamal Ataturk.


Ramai orang apabila menyebut kejatuhan khilafah Uthmaniyyah, hanya menyalahkan Ataturk. Memang benar Ataturk sangat zalim dan kejam, tetapi kita juga perlu ingat bahawa kerosakan dan kemewahan yang berleluasa di dalam istana, serta rasuah dan pembaziran oleh khalifah sebelumnya, turut menyumbang kepada kejatuhan ini.


Sebagai contoh, di Turki ada sebuah istana di Selat Bosphorus, ada Istana Dolmabahçe. Istana itu dibina pada tahun 1894 dengan kos yang sangat besar — sebanyak 35 tan emas dibelanjakan semata-mata untuk menandingi istana-istana di Eropah.


Akibat pembaziran itu, ekonomi Turki merosot teruk dan akhirnya diisytihar muflis. Mereka dikenali sebagai “The Sick Man of Europe” — negara sakit Eropah.


Kelemahan ini telah memberi laluan mudah kepada Mustafa Kamal Ataturk untuk menamatkan sistem khilafah.


Inilah garis kasar sejarah tamadun Islam sehingga tahun 1924. Apabila kita melihat sejarah ini secara tersusun, kita akan dapati ia sangat menarik. Maka hari kita akan melihat secara asas tentang apa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW.


Kita belajar sirah Nabi, tetapi sirah itu sering terpisah seperti kepingan-kepingan puzzle. Kita ada puzzle Isra’ Mikraj, kita ada puzzle Maulidur Rasul, kita ada puzzle Hijrah, kita ada puzzle penurunan wahyu. Tetapi puzzle-puzzle ini tidak dicantumkan secara tersusun, menyebabkan kita tidak nampak satu gambaran lengkap tentang kehidupan Rasulullah SAW dari lahir hingga wafat.


Kenapa kita perlu memahami keseluruhan hidup Nabi? Kerana Nabi sangat menyayangi kita.

Dalam hadis riwayat al-Bukhari disebut bahawa setiap Nabi ada satu doa mustajab. Semua Nabi telah menggunakan doa itu sewaktu hidup di dunia, tetapi Rasulullah SAW menyimpan doanya sebagai syafaat untuk umatnya di hari kiamat. Ini bukti kasih sayang Nabi kepada kita.

“Setiap Nabi memiliki satu doa mustajab yang dimakbulkan. Maka setiap Nabi telah pun menggunakan doanya di dunia, dan aku simpan doaku sebagai syafaat buat umatku di hari kiamat.”—(HR. Bukhari)

Rasulullah pernah menyebut kepada para sahabat bahawa Jibril datang dan memberitahu bahawa cucunya, Sayyidina Husain, akan dibunuh di Karbala.


Terdapat beberapa hadis tentang pembunuhan Sayyidina Husain, antaranya Jibril menunjukkan tanah Karbala kepada Nabi. Malah Nabi SAW pernah bersabda; 

"Sejahat-jahat manusia ialah dua orang: orang yang membunuh unta (milik) Nabi Sālih, dan orang yang membunuh al-Husain bin ‘Ali." HR. Ahmad no. 17173


Namun begitu, Nabi tidak menggunakan doa mustajab itu untuk menyelamatkan Husain. Padahal Nabi boleh gunakan untuk menyelamatkan anaknya, Sayyidina Ali, atau cucunya. Tetapi Nabi simpan doa itu untuk umatnya, ia adalah bukti kasih yang sangat besar.

Kita belajar sirah Rasulullah SAW dan perlu memahami bahawa kehidupan Baginda terbahagi kepada tiga fasa besar yang boleh kita simpulkan sebagai: 40 – 13 – 10.


40 tahun: Sebelum kenabian – era kemanusiaan Nabi Muhammad SAW.
13 tahun: Dakwah di Mekah selepas dilantik sebagai Rasul.
10 tahun: Pemerintahan di Madinah sebagai pemimpin Islam.


Fasa Pertama: 40 Tahun Sebelum Kenabian

Fasa ini bermula dari kelahiran Nabi hingga umur 40 tahun, sebelum Baginda dilantik sebagai Rasul. Ini fasa kehidupan biasa sebagai seorang insan:

  • Nabi menjadi anak yatim sejak kecil, ayah meninggal sebelum Nabi lahir, ibu meninggal ketika Nabi berumur 6 tahun, dan datuk pula wafat ketika Nabi berumur 8 tahun.

  • Hidup bersama Abu Talib, bapa saudara yang memeliharanya hingga dewasa.

  • Nabi berniaga, menggembala kambing, dan terlibat dalam masyarakat.

  • Baginda dikenali sebagai Al-Amin dan sangat dihormati kerana akhlaknya.

  • Memulakan keluarga, mendapat anak-anak dan membina rumahtangga.

  • Menjelang usia 40 tahun, Nabi mulai gelisah dengan kerosakan akhlak masyarakat Jahiliyyah dan sering beruzlah di Gua Hira’.

Fasa ini menunjukkan bagaimana Allah mentarbiyah Nabi dengan pelbagai ujian sejak kecil, kehilangan keluarga, tekanan masyarakat, dan kehidupan sederhana.


Bila orang menuduh Nabi meniru Al-Quran daripada ayahnya, tak boleh, sebab ayahnya sudah wafat. Nak tuduh daripada ibunya, ibunya juga meninggal ketika Nabi masih kecil. Nak tuduh daripada datuk atau Abu Talib, pun tak masuk akal kerana Abu Talib tidak masuk Islam hingga akhir hayatnya.

Fasa Kedua: 13 Tahun di Mekah

Bermula dengan turunnya wahyu pertama. Orang pertama beriman ialah Khadijah, isteri Nabi.

  • Nabi memulakan dakwah secara bersendirian.

  • Kemudian bersama Khadijah, anak-anak dan para sahabat.

  • Dakwah secara rahsia selama beberapa tahun, kemudian secara terbuka.

  • Fasa ini penuh cabaran — dihina, diseksa, diboikot.

  • Ramai sahabat diseksa dan dibunuh, termasuk Sumayyah dan Yasir.

  • Ada yang berhijrah ke Habsyah, dan Nabi sendiri ke Taif untuk mencari tempat hijrah.


Nabi pergi ke Taif bukan untuk ziarah, tetapi sebenarnya ingin berhijrah. Namun penduduk Taif menolak dan menghalau Nabi dengan kejam. Kalau Taif terima Nabi ketika itu, Masjid Nabawi mungkin didirikan di sana. Tetapi kerana Madinah yang menyambut, kota itu mendapat keberkatan.


Fasa ini juga mengajar tentang pengurusan emosi dan ketabahan jiwa. Nabi tidak pernah mengangkat senjata untuk memulakan peperangan, semua peperangan berlaku sebagai tindak balas mempertahankan diri.


Fasa Ketiga: 10 Tahun di Madinah

Setelah berhijrah ke Madinah, bermulalah fasa membina negara dan peradaban.

  • Nabi menjadi pemimpin negara Islam pertama.

  • Berlaku 27 peperangan, tetapi tiada satu pun yang dimulakan oleh Nabi.

  • Semuanya adalah reaksi mempertahankan Islam dan umatnya.

  • Nabi mengutamakan perdamaian, contohnya dalam Perjanjian Hudaibiyyah.

  • Sahabat marah dengan syarat-syarat perjanjian, tetapi akhirnya membawa kepada pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah).


Inilah yang kita pelajari; hasil daripada kesabaran, datanglah kemenangan. Walaupun ada 27 peperangan, Islam bukan agama peperangan, tetapi agama kedamaian yang hanya mempertahankan diri.


Ujian Peribadi Nabi SAW – Kehilangan Anak, Isteri, dan Cucu

Kita mungkin pernah mengalami kesedihan apabila kehilangan anak, pasangan, atau ahli keluarga tersayang. Ketahuilah bahawa semua ujian itu pernah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW, malah lebih berat daripada yang kita alami.


Kehilangan Anak

Rasulullah SAW diuji dengan kehilangan tiga orang anak lelaki sewaktu mereka masih kecil:

  • Qasim – wafat pada usia kecil.

  • Abdullah (At-Tayyib/At-Tahir) – juga meninggal semasa kecil.

  • Ibrahim – wafat ketika Nabi sudah menjadi Rasul di Madinah.

Bayangkan, seorang ayah yang melihat anaknya membesar, mula bercakap, mula bergurau, kemudian anak itu pergi meninggal dunia.
Kesedihan itu sangat mendalam dan Nabi merasainya sebanyak tiga kali.


Kehilangan Cucu

Nabi SAW juga mengalami kehilangan cucu. Zainab, anak perempuan Nabi, meninggal dunia dalam keadaan masih muda. Anak-anaknya, termasuk cucu Nabi seperti Umamah binti Abil As, pernah didukung oleh Nabi ketika solat.


Pengalaman kehilangan cucu dan melihat penderitaan mereka sangat menyentuh hati. Namun Nabi tetap tabah kerana Baginda tahu semuanya adalah ujian daripada Allah.


Kehilangan Isteri Tersayang – Khadijah

Lebih berat lagi, Nabi kehilangan isteri yang paling dikasihi Saidatina Khadijah  dalam keadaan yang sangat memerlukan.


Ketika itulah tempoh paling sukar buat Nabi: diserang, difitnah, dihina oleh Quraisy. Khadijahlah tempat Baginda mengadu, tempat mencari kekuatan. Namun Khadijah pergi meninggalkan Nabi ketika ujian memuncak.


Bayangkan, Khadijah adalah isteri yang sentiasa menyokong dakwah Nabi, menjadi orang pertama yang beriman dan mengorbankan seluruh harta demi Islam.


Nabi sangat menghargai Khadijah. Buktinya, pada tahun 8 Hijrah ketika Fathul Makkah, Nabi kembali ke kota kelahirannya sebagai seorang penakluk. Baginda tidak terus ke Kaabah. Sebaliknya, Baginda membina khemah berhampiran makam Khadijah. Nabi duduk di situ dan berbicara dengan Khadijah, seolah-olah berkata:


“Wahai isteriku, di bumi yang pernah menghalau aku ini, aku kini kembali sebagai pemenang. Wahai Khadijah, engkau banyak membantuku. Hari ini, kita telah menang.”

 

Inilah kasih sayang seorang suami kepada isterinya. Inilah kesetiaan yang tiada bandingnya. Bila kita belajar sirah secara tersusun, kita akan rasa betapa dalamnya cinta Nabi kepada ahli keluarganya.


Bila kita mendalami sejarah hijrah dan perjuangan para sahabat, kita akan menyedari betapa besar pengorbanan mereka. Hijrah bukan sekadar berpindah tempat, tetapi meninggalkan tanah kelahiran, harta benda, dan keluarga semata-mata untuk mempertahankan agama.


Hijrah: Pengorbanan yang Luar Biasa

Para sahabat tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka selama enam tahun selepas hijrah. Mereka hanya dapat kembali pada tahun ke-7 selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiyyah.


Bayangkan perasaan mereka yang telah lama meninggalkan kampung halaman — ada yang terpisah dengan ibu, bapa, dan saudara. Mereka sangat rindu untuk pulang.


Namun begitu, Nabi dan para sahabat tidak menyerang, tidak membuat provokasi. Mereka hanya mahu menunaikan ibadah umrah. Walaupun dihalang, Nabi SAW tetap memilih untuk berdamai dan inilah keindahan Islam.


Perjanjian Hudaibiyyah tampak berat sebelah dan ramai sahabat tidak setuju. Tetapi kerana taat kepada Nabi, mereka akur. Hasil kesabaran itu, akhirnya membawa kepada Fathul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) pada tahun ke-8 Hijrah.


Fathul Makkah: Kemenangan Tanpa Pertumpahan Darah

Fathul Makkah adalah kemuncak kemenangan Islam. Nabi SAW masuk ke kota Makkah dengan penuh tawaduk. Tidak berlaku pembalasan dendam walaupun Baginda pernah diusir, dihina, dan diperangi oleh penduduk Quraisy.


Sebaliknya, Nabi memberi keampunan dan menyatakan:

“Pergilah kalian, kamu semua bebas.”

Inilah ajaran Islam  yang mengutamakan kasih sayang dan pengampunan walaupun dalam keadaan berkuasa.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama