Kuliah Subuh 12 Julai 2025, Ustaz Mohd Firdaus Mohd Azmy

Tarikh Penceramah Tajuk
12/07/2025 Ustaz Mohd Firdaus Mohd Azmy

Nota Kuliah



Surah Al-Ghāshiyah


Surah Al-Ghāshiyah merupakan surah ke-88 dalam al-Quran, termasuk dalam juzuk ke-30, dan terkandung pada muka surat 592. Ia terdiri daripada 26 ayat, tergolong dalam kategori Makkiyyah, mengandungi 92 perkataan dan 381 huruf.


Menurut riwayat daripada Nu‘man bin Basyir RA, Nabi Muhammad SAW sering membaca Surah Al-Ghāshiyah pada hari Jumaat, di samping Surah Al-Jumu‘ah

(HR. Abu Daud no. 1122)
. Ini sebagai satu pengulangan berkala agar umat Islam sentiasa mengingati peringatan penting yang terkandung dalam surah tersebut.


Ayat pertama bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu berita tentang hari pembalasan?” Bentuk pertanyaan dalam al-Quran ini bukanlah untuk menimbulkan keraguan atau menzahirkan ketidaktahuan, sebaliknya untuk menarik perhatian. Seperti seorang ibu bertanya kepada anaknya “SPM bila?” bukan kerana tidak tahu, tetapi untuk menyedarkan. Demikian juga gaya bahasa al-Quran yang bersifat memberi kesan mendalam.


Hari kiamat adalah peristiwa yang sangat besar. Dalam Surah An-Nāzi‘āt disebut sebagai ṭāmmah al-kubrā (bencana besar), manakala dalam Surah ‘Abasa, ia digambarkan dengan ṣākhkhah (suara yang amat keras). Pada hari itu, manusia akan melarikan diri daripada orang yang paling rapat sekalipun—saudara kandung, ibu bapa, isteri dan anak-anak—kerana masing-masing hanya memikirkan keselamatan diri sendiri. Peristiwa itu disebut dalam Surah ‘Abasa ayat 34–36.


Hari kiamat juga dikenali dengan nama lain seperti Al-Qāri‘ah, Al-Wāqi‘ah, dan As-Sā‘ah. Banyaknya nama ini menggambarkan betapa penting dan hebatnya peristiwa tersebut, yang sepatutnya menjadikan manusia lebih insaf dan berhati-hati. Membaca surah tentang kiamat tanpa memahami makna dan pengajaran hanyalah bacaan kosong yang tidak memberi kesan kepada hati.


Ayat kedua surah ini menyebut: “Banyak wajah pada hari itu tunduk, hina.” Perkataan khashi‘ah merujuk kepada golongan yang diliputi kehinaan. Dalam Surah Al-Mu’minūn, khashi‘ūn merujuk kepada golongan yang khusyuk dalam solat. Namun di akhirat, khashi‘ah merujuk kepada wajah-wajah golongan yang diazab kerana tidak beriman dan tidak mengamalkan petunjuk Allah SWT.


Dalam Surah Al-Qiyāmah, disebut bahawa wajah golongan kafir akan muram, sedangkan orang beriman akan berseri-seri. Bilal bin Rabah RA, walaupun berkulit gelap di dunia, wajahnya bersinar di akhirat.

Nabi Muhammad SAW pernah mendengar tapak kaki Bilal di syurga (HR. Al-Bukhari no. 1149; Muslim no. 2458)
.


Surah ‘Abasa juga menggambarkan perbezaan ini: wajah orang beriman akan bersinar dan ceria, manakala wajah orang kafir diliputi debu dan kegelapan. Dalam Surah Āli-‘Imrān ayat 106-107 pula, disebut bahawa wajah orang yang kufur akan menjadi hitam, manakala wajah orang beriman berseri-seri.


Musaylimah al-Kadhdhab ialah contoh nabi palsu yang muncul selepas kewafatan Rasulullah SAW. Terdapat juga tokoh lain seperti Aswad al-‘Ansi, Tulayhah bin Khuwailid dan Sajjah binti Al-Harith. Nabi SAW tidak pernah mengiktiraf mereka. Bahkan, ketika Musaylimah meminta pengiktirafan kenabian secara bersama, Nabi menolaknya dan menyatakan bahawa sebatang pelepah tamar pun tidak akan diberikan kepadanya.


Sabit bin Qais RA merupakan seorang sahabat yang memiliki suara lantang. Apabila turun ayat yang melarang meninggikan suara seperti dalam Surah Al-Hujurāt ayat 2–3, beliau menyangka ayat itu ditujukan kepadanya, lalu mengasingkan diri kerana bimbang tergolong dalam golongan yang celaka. Nabi kemudian mencarinya dan menenangkannya. Kisah ini menunjukkan bagaimana orang bertakwa amat terkesan dengan firman Allah, walaupun nama mereka tidak disebut secara langsung.


Apabila membaca al-Quran, manusia sering terlepas pandang bahawa ayat-ayat tersebut ditujukan kepada semua, bukan sekadar kepada Abu Lahab atau Firaun. Jika kita melihat perangai yang menyerupai Abu Lahab wujud dalam masyarakat atau dalam diri sendiri, maka ayat itu wajar dijadikan teguran peribadi.


Ayat ketiga Surah Al-Ghāshiyah menyebut: “Bekerja keras lagi kepayahan.” Ungkapan ini membawa maksud dua kumpulan manusia. Pertama, mereka yang berpenat lelah di dunia, namun amalannya tidak diterima kerana tidak mengikuti petunjuk syarak. Kedua, mereka yang berpenat-lelah di akhirat, tetapi dihina dengan azab.


Ulama tafsir menjelaskan bahawa ayat ini merujuk kepada mereka yang beramal tanpa ilmu dan petunjuk Nabi SAW. Contohnya, zikir selepas solat yang sepatutnya 33 kali, tetapi ditukar menjadi 43 kali dengan alasan menambah kebaikan. Sedangkan Nabi bersabda:

“Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan agama ini sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia tertolak.” (HR. Muslim no. 1718)


Pernah pada suatu ketika, tiga orang sahabat ingin memperhebatkan ibadah. Seorang ingin berpuasa sepanjang masa, seorang tidak mahu tidur malam, dan seorang lagi tidak mahu berkahwin. Apabila Nabi mengetahui, Baginda bersabda:

“Aku berpuasa dan aku berbuka, aku tidur dan aku solat malam, dan aku juga berkahwin. Maka sesiapa yang berpaling daripada sunnahku, bukanlah daripada golonganku.” (HR. Al-Bukhari no. 5063; Muslim no. 1401)


Dalam Surah Al-Furqān ayat 23 disebut: “Dan Kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan ia debu yang berterbangan.” Ini menggambarkan amal yang tidak berpandukan sunnah, tidak diterima oleh Allah SWT.


Dalam Surah Al-Isrā’ ayat 97 pula dinyatakan: “Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk. Dan sesiapa yang disesatkan oleh-Nya, tidak akan ada pelindung bagi mereka selain-Nya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat dengan muka mereka menyeret ke neraka.”


Ulama menyebut bahawa orang kafir akan diseret di akhirat dalam keadaan wajah menyentuh bumi. Keadaan ini melambangkan kehinaan yang amat dahsyat. Mereka akan diseret dalam keadaan buta, bisu, dan pekak, tanpa mampu mempertahankan diri.


Dalam satu hadis, Nabi SAW menyebut:

“Api dunia ini hanyalah satu bahagian daripada 70 bahagian api neraka.” (HR. Al-Bukhari no. 3265; Muslim no. 2843)


Bayangkan jika api dunia sahaja sudah cukup panas untuk membakar kulit, apatah lagi api neraka yang 69 kali lebih panas daripadanya. Api akhirat bukan sahaja membakar tubuh, tetapi juga meremukkan hati dan perasaan. Azabnya bersifat menyeluruh—jasmani, rohani dan emosi.


Ayat ke-21 menyebut: “Dan disediakan untuk mereka alat-alat besi.” Dalam tafsir disebut bahawa alat-alat ini digunakan untuk menyeksa penghuni neraka. Jika di dunia manusia dihukum dengan rotan atau kayu, di akhirat digunakan besi panas, sebagaimana disebut juga dalam Surah Al-Hajj ayat 21.



Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama