
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
15/07/2025 | Ustaz Mohd Asri Awang | — |
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah mencurahkan kasih sayang kepada seluruh hamba-Nya. Mudah-mudahan menjadi hamba Allah yang bertakwa, sentiasa memperbaiki amal dan memperkemaskan ibadah kepada Allah Ta'ala.
DARURAH/DARURAT
Darurat ini, sampai ke tahap mana?. Darurat bermaksud kebimbangan atau ketakutan terhadap kemusnahan jiwa yang berpunca daripada keyakinan atau sangkaan seseorang. Darurat ini merujuk kepada keadaan apabila seseorang bimbang dan takut jiwanya musnah. Maka dalam keadaan sedemikian, akan timbul hukum darurat.
Pertama, apabila seseorang menghadapi situasi kritikal seperti kelaparan, para ulama sepakat menyatakan bahawa individu tersebut wajib memakan sesuatu yang asalnya haram. Hukum menjadi wajib dengan syarat darurat, iaitu keperluan yang sangat mendesak. Jika tidak dilakukan, boleh membawa kepada kematian, contohnya tiada makanan halal atau tiada air langsung, dan tubuh sangat dahaga hingga menyebabkan tubuh lemah dan boleh membawa maut. Maka, ulama sepakat bahawa dalam keadaan itu, hukumnya wajib untuk makan.
Namun, banyak mana? Sekadar yang perlu untuk menyelamatkan diri daripada kebinasaan, bukan untuk kenyang. Maka wajib seseorang itu memakan benda yang asalnya diharamkan hanya sekadar cukup untuk menghilangkan kelaparan, atau menjamin kelangsungan hidup. Jika minum air (contoh: arak), memadai dengan sedikit sahaja untuk menghilangkan haus. Jika selepas itu dahaga semula, dibolehkan lagi mengambil yang haram itu, sekadar keperluan yang mendesak.
Dari sudut hukum makan atau minum, dalam keadaan itu ia menjadi harus dan bahkan diwajibkan, menurut kesepakatan ulama. Namun, hanya sekadar yang cukup untuk mengekalkan kehidupan.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 173, bahawa mereka yang ditimpa keadaan darurat dan terpaksa, tanpa melampaui batas dan tanpa sengaja melakukannya, maka tiada dosa ke atasnya.
Maksudnya, tidak berdosa bagi seseorang yang memakan makanan yang asalnya haram dalam keadaan darurat, kerana Allah lebih mengutamakan penyelamatan jiwa. Maka timbul persoalan tentang orang sakit yang enggan makan ubat hingga membawa maut.
Jika dikaitkan, apakah penyakit itu termasuk dalam kategori darurat, dan adakah wajib baginya makan ubat? Adakah sama dengan keadaan tiada makanan dan minuman?
Allah SWT menyebut: "Dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." Maka, para ulama menyatakan berdasarkan ayat ini, seseorang yang terpaksa berada dalam keadaan darurat wajib memakan bangkai atau daging babi yang asalnya haram, atau wajib meminum arak kerana kehausan, tetapi hanya sekadar yang cukup, bukan untuk menikmati.
Orang yang enggan makan atau minum hingga mati dalam keadaan darurat, maka para ulama menyatakan dia telah melakukan maksiat dan derhaka kepada Allah. Jika seseorang itu dalam keadaan darurat, tiada makanan lain selain bangkai binatang haram, maka wajib dia memakannya. Jika dia enggan makan, dia dikira berdosa kerana mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa seseorang yang dalam keadaan darurat dan enggan mengambil makanan yang diharuskan atas sebab darurat, dia berdosa kerana membiarkan dirinya binasa, sedangkan Islam telah mengharuskan makanan itu.
Dalam hal ini, hukum dalam al-Quran menunjukkan bahawa seseorang itu boleh terus hidup dengan apa yang telah dihalalkan oleh Allah Ta'ala dalam keadaan darurat. Maka, wajib dia menggunakannya.
Islam adalah agama yang mudah. Hukum yang asal boleh berubah sementara waktu mengikut keperluan manusia. Sekiranya makanan itu dapat menyelamatkan nyawanya, maka wajib dia mengambilnya. Keengganan ini tidak boleh disamakan dengan keengganan pesakit untuk makan ubat.
Contohnya, orang sakit yang enggan makan ubat hingga mati. Adakah dia dianggap mencampakkan diri ke dalam kebinasaan? Jawapannya, tidak. Memakan ubat tidak wajib ke atas pesakit kerana ubat tidak diyakini dapat menyembuhkan. Ada yang makan ubat banyak pun tidak sembuh, ada yang tidak makan ubat pun sembuh. Maka ubat tidak menjamin kesembuhan.
Jika pesakit itu tidak makan ubat kerana sudah mencuba pelbagai jenis, maka tidak berdosa. Jika pesakit itu ditidurkan oleh pihak hospital sebagai rawatan terakhir, hukum tidak makan ubat tidak termasuk dalam maksiat. Menidurkan pesakit adalah salah satu rawatan, dengan keizinan keluarga.
Jika pesakit ditidurkan, itu salah satu bentuk pengubatan, dan tidak wajib ke atas pesakit untuk menolak. Tidak makan ubat juga bukan suatu dosa kerana tiada jaminan bahawa ubat itu akan menyembuhkan.
Diceritakan bahawa, Abdullah bin Huzafah Al-Hasami yang ditawan oleh musuh Islam, dikurung dalam bilik, dan dihidangkan dengan arak serta daging babi selama tiga hari. Dia tidak makan dan tidak minum. Musuh menyangka dia akan mati. Bila ditanya, Abdullah menjawab bahawa Allah telah menghalalkan daging babi untuknya dalam keadaan darurat, tetapi dia enggan makan kerana tidak mahu musuh mempermainkan agama Islam.
Abdullah sanggup mati demi mempertahankan maruah agama Islam. Dalam keadaan tersebut, dia tahu hukum dan tahu makanan itu dihalalkan dalam keadaan darurat, namun dia menolaknya demi mempertahankan maruah agama.
Perkara ini termasuk dalam isu darurat. Ulama juga berselisih dalam hal orang sakit yang tidak mampu bangun untuk solat. Maka, dalam hal ini, ulama berbeza pandangan tentang hukum solat orang yang sakit. Solat tidak boleh ditinggalkan kecuali bagi orang nyanyuk. Orang yang nyanyuk tidak wajib solat kerana telah hilang akal. Maka, tidak wajib solat ke atasnya.
Mereka yang berada dalam keadaan darurat, pergerakannya terbatas. Maksudnya, ia berada dalam keadaan yang sukar—terpaksa, sakit, dan tidak mampu mengurus diri sepenuhnya. Dalam hal ini, para ulama berselisih pendapat berkaitan sebahagian orang sakit, bukan sekadar isu kemampuan duduk atau baring, tetapi melibatkan soal keharusan menggabungkan (jamak) solat.
Contohnya, seseorang yang terlalu lemah, seperti ibu atau ayah yang sakit sehingga tidak mampu bergerak walaupun sedikit. Kita yang perlu membantu—memandikan, membersihkan najis, malah membantu menguruskan segala-galanya. Dalam keadaan sebegini, ia termasuk dalam kategori orang yang sakit berat.
Ulama dalam keempat-empat mazhab telah mengemukakan pandangan mereka. Mengikut pendapat utama dalam Mazhab Syafie, orang sakit tidak dibenarkan menjamakkan solat. Namun sebahagian ulama dalam Mazhab Syafie, seperti Imam al-Nawawi rahimahullah, menyatakan bahawa orang yang sakit dibolehkan untuk menjamakkan solat.
Maksudnya, jika merujuk kepada pendapat utama Mazhab Syafie, tidak dibolehkan jamak bagi orang sakit. Tetapi terdapat pandangan dalam Mazhab Syafie sendiri yang membenarkannya, sebagaimana pendapat dalam Mazhab Hanbali.
Justeru, siapa yang berada dalam keadaan sakit dan sukar untuk menguruskan solat pada waktunya, maka diharuskan untuk menjamakkan solat. Namun, tidak boleh orang yang baru demam, ataupun yang baru rasa hendak demam, terus menjamakkan solat. Itu tidak tepat.
Contoh yang sah: seseorang yang tidak boleh berjalan ke tandas sendiri, memerlukan bantuan anak, dan hanya mampu duduk beberapa minit sahaja. Keadaan sebegini menunjukkan keperluan untuk menjamakkan solat kerana sukar baginya untuk mengulang pergerakan yang sama pada setiap waktu solat.
Solat harus diuruskan apabila masuk waktunya. Mandi, bersihkan najis, serta bersedia untuk solat dengan penuh kehormatan. Orang tersebut mungkin sihat akalnya tetapi tidak mampu dari segi fizikal. Maka, wajib ke atasnya untuk menunaikan solat. Dengan ilmu yang ada, penjagaan diri, kebersihan, dan pemakaian pad atau pek khas perlu dilakukan agar boleh terus solat pada waktunya secara bersih.
Inilah ilmu yang perlu dipelajari. Pendapat ini disokong oleh mazhab Hanbali, Maliki, dan sebahagian ulama dalam Mazhab Syafie. Maka, hendaklah ditunggu waktu solat dan diuruskan segala keperluan agar solat dapat dilaksanakan.
Jika dia terlalu sukar untuk solat mengikut waktu biasa, maka diharuskan baginya untuk menjamakkan solat. Ini kerana jika dilaksanakan pada setiap waktu, ia akan menyusahkan dirinya dan juga penjaganya.
Namun, jika dia masih mampu untuk solat pada setiap waktu, tidak perlu menjamakkan. Jamak hanya dibenarkan dengan sebab kesukaran yang nyata. Tetapi tetap perlu solat secara lengkap—empat rakaat kekal empat rakaat. Ia boleh dijamak secara taqdim ataupun ta’khir.
Jika seseorang hampir masuk waktu solat, namun najisnya belum selesai dibersihkan, maka diuruskan kebersihan itu dahulu. Kemudian terus tunaikan solat.
Sebahagian ulama membenarkan solat dilakukan dalam tempoh yang dekat, tidak terlalu lama, mungkin sekitar lima minit selepas kebersihan selesai dilakukan. Maka terus dirikan solat.
Contoh lain: isteri yang sakit dan mengalami kesukaran dari segi bersuci, serta berlaku sentuhan antara suami isteri. Ulama berbeza pendapat tentang sentuhan kulit yang membatalkan wuduk. Maka boleh berpegang kepada pendapat yang tidak membatalkan wuduk dengan sebab sentuhan kulit, jika ada keperluan.
Islam adalah agama yang mudah. Namun kemudahan itu tidak boleh disalahgunakan. Jangan terlalu mengambil mudah hingga mengabaikan ketepatan hukum. Pilih pendapat dengan panduan dan kefahaman, bukan semata-mata kerana ingin memudahkan tanpa dalil yang sahih.
Kesimpulannya, jika ada saudara-mara yang sakit, boleh diambil pendapat yang membenarkan jamak solat, tetapi perlu difahami bahawa ia bukan kewajipan. Hanya diambil apabila benar-benar dalam keadaan kesukaran yang nyata.
Mudah-mudahan dalam setiap kesukaran itu, terdapat kemudahan yang Allah janjikan, sebagaimana firman-Nya:
Topik | Isi Ringkas |
---|---|
Definisi Darurat | Keadaan bimbang akan musnahnya jiwa akibat kekangan atau kesempitan yang mendesak. |
Hukum Makan Makanan Haram | Wajib jika tiada pilihan untuk terus hidup; hanya sekadar cukup untuk menyelamatkan nyawa. |
Ubat dan Kesakitan | Makan ubat tidak wajib kerana kesembuhan tidak dijamin. Tidak berdosa jika enggan makan ubat. |
Solat Orang Sakit | Tidak boleh ditinggalkan. Mazhab Syafie tidak benarkan jamak, tetapi ada pendapat mazhab lain dan sebahagian ulama dalam mazhab Syafie sendiri membolehkan. |
Jamak Solat | Bagi orang sakit, dibenarkan untuk jamak solat jika benar-benar sukar untuk solat setiap waktu. Tidak boleh jamak jika hanya demam ringan. |
Sentuhan Suami Isteri | Ulama berbeza pandangan. Boleh guna pendapat yang tidak membatalkan wuduk jika ada keperluan. |
Kaedah Umum | Islam agama mudah. Kemudahan tidak boleh disalah guna. Ambil hukum dengan ilmu dan kefahaman. |
Dalil | Kesukaran diberi kemudahan oleh Allah. Rujuk: Surah Al-Insyirah:6 |














Catat Ulasan