
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
20/07/2025 | Ustaz Hairulazam Abd Rahman | — |
Surah Al-Kahfi 1—5
Surah Al-Kahfi mengandungi 110 ayat dan merupakan salah satu surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan di Mekah. Istilah "Makkiyyah" dan "Madaniyyah" diambil daripada perkataan Mekah dan Madinah. Kebanyakan orang awam memahami bahawa ayat Makkiyyah ialah ayat yang diturunkan di Mekah, manakala ayat Madaniyyah diturunkan di Madinah. Pemahaman ini tidak salah, namun yang lebih tepat ialah: ayat Makkiyyah ialah ayat yang diturunkan sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah, manakala ayat Madaniyyah ialah ayat yang diturunkan selepas hijrah, tanpa mengira tempat turunnya sama ada di Mekah, Madinah atau tempat lain.
Terdapat kelebihan membaca Surah Al-Kahfi, sebagaimana disebut dalam dua hadis. Hadis pertama menyatakan bahawa sesiapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah SWT akan meneranginya dengan cahaya antara dua Jumaat. Maksud cahaya itu ialah petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT dalam kehidupan.
"Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah akan meneranginya dengan cahaya di antara dua Jumaat."— HR. al-Hakim no.3392, HR. al-Darimi no.3407, HR. al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman
Hadis kedua menyatakan bahawa sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat terawal atau sepuluh ayat terakhir Surah Al-Kahfi akan terlindung daripada fitnah Dajjal. Para sahabat dahulu tidak mengetahui bila munculnya Dajjal, namun mereka tetap mengamalkan hafazan ayat-ayat tersebut. Istilah Dajjal juga difahami dalam dua bentuk, iaitu sebagai makhluk sebenar yang akan muncul di akhir zaman, dan sebagai simbolik kepada kejahatan dan penipuan besar. Daripada Abu al-Darda’ r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat pertama daripada Surah al-Kahfi, dia akan terlindung daripada (fitnah) Dajjal.”— HR. Muslim no.809
Oleh itu, kelebihan membaca atau menghafaz Surah Al-Kahfi adalah besar. Digalakkan untuk membaca keseluruhan Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, sama ada pada malam Jumaat atau siangnya. Adapun hafazan sepuluh ayat terawal atau sepuluh ayat terakhir Surah Al-Kahfi boleh diamalkan pada bila-bila masa.
Terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang hanya membaca sepuluh ayat pertama pada hari Jumaat. Sedangkan kelebihan membaca sepuluh ayat tersebut tidak terikat pada hari tertentu. Ia boleh dibaca dan diulang sebagai wirid harian. Manakala membaca keseluruhan surah adalah sunnah khusus pada hari Jumaat, berdasarkan banyak hadis sahih.
Dalam konteks masyarakat setempat, amalan membaca Surah Yasin pada malam Jumaat lebih meluas. Namun dari sudut hadis sahih, kelebihan membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat lebih jelas disebut. Walaupun begitu, tidak salah jika seseorang ingin membaca Surah Yasin sebagai amalan tambahan, tetapi disarankan agar turut membaca Surah Al-Kahfi kerana kelebihannya yang lebih besar. Pada hari Jumaat, digalakkan datang awal ke masjid untuk membaca Surah Al-Kahfi. Ia adalah amalan yang besar ganjarannya.
Kemudian, dibincangkan juga tentang istilah asbabun nuzul, iaitu sebab-sebab turunnya ayat al-Quran. Tidak semua ayat mempunyai sebab turun. Namun, sebahagian ayat dan surah diturunkan kerana peristiwa tertentu. Seorang ulama bernama al-Wahidi telah menulis kitab khusus berkaitan asbabun nuzul, yang menghimpunkan sebab-sebab turun ayat daripada Surah al-Baqarah hingga Surah al-Nas.
Surah Al-Kahfi diturunkan sebagai jawapan kepada persoalan yang diajukan oleh orang-orang Quraisy setelah mereka berunding dengan pendeta Yahudi. Pendeta-pendeta Yahudi menyarankan supaya mereka bertanyakan Nabi Muhammad SAW tiga soalan bagi menguji kerasulannya. Soalan pertama ialah tentang sekumpulan pemuda yang tidur di dalam gua (Ashabul Kahfi), yang kedua tentang roh, dan yang ketiga tentang seorang raja yang mengembara ke Timur dan Barat (Zulqarnain).
Soalan-soalan ini ditujukan kepada Nabi SAW oleh orang-orang Quraisy seperti Uqbah bin Abi Mu‘it dan Al-Nadr bin Al-Harith. Mereka bukan semua jahat, ada juga yang mencari kebenaran. Dalam usaha mereka mencari jawapan, mereka pergi berjumpa dengan pendeta Yahudi untuk mendapat maklumat tambahan berkaitan dengan kisah-kisah para nabi terdahulu.
Setelah menerima soalan-soalan tersebut, mereka pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW dan menyampaikan ketiga-tiganya. Nabi SAW, yang terkenal dengan sifat benar dan amanah, tidak terus menjawab, sebaliknya menyatakan bahawa Baginda akan memberikan jawapan pada keesokan harinya, dengan sangkaan wahyu akan segera turun. Namun, wahyu tidak diturunkan keesokan harinya. Hari berganti hari, dan wahyu masih tidak turun sehingga hari ke-15.
Dalam tempoh itu, Baginda diuji dengan ejekan dan cercaan daripada orang-orang kafir Quraisy kerana tidak dapat memberikan jawapan. Peristiwa ini menjadi satu bentuk tarbiah daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW agar tidak berkata akan melakukan sesuatu tanpa menyebut "insya-Allah". Setelah 15 hari, barulah wahyu diturunkan, iaitu Surah Al-Kahfi, yang mengandungi jawapan kepada ketiga-tiga soalan tersebut.
Surah Al-Kahfi bermula dengan ayat:
"Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya al-Kitab (al-Quran) dan Dia tidak menjadikannya bengkok."
Ayat ini menerangkan bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW tanpa sebarang penyelewengan atau kesilapan. Ia merupakan petunjuk yang lurus. Al-Quran ialah mukjizat yang kekal, tidak berubah dan tidak akan berubah hingga ke hari kiamat. Keajaiban al-Quran ini dapat dilihat dari pelbagai sudut, termasuk aspek linguistik, saintifik, dan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya.
Mudah-mudahan dengan memahami kisah turunnya Surah Al-Kahfi dan keajaiban kandungannya, umat Islam lebih menghargai al-Quran serta istiqamah dalam membaca dan mengamalkannya.
Pengajaran |
---|
1. Jangan berkata akan melakukan sesuatu tanpa menyebut 'insya-Allah'. |
2. Surah Al-Kahfi diturunkan sebagai jawapan wahyu kepada soalan tentang kebenaran kenabian. |
3. Banyak orientalis cuba mencari kesalahan al-Quran tetapi akhirnya mengakui kehebatannya. |
4. Al-Quran ialah kitab yang lurus, tiada penyelewengan, dan mukjizat yang kekal. |
5. Surah Yasin dan Al-Kahfi boleh dibaca pada malam Jumaat, namun Al-Kahfi lebih utama berdasarkan hadis sahih. |
6. Hafazan sepuluh ayat Surah Al-Kahfi melindungi daripada fitnah Dajjal. |
7. Ayat Makkiyyah dan Madaniyyah ditentukan berdasarkan masa hijrah, bukan tempat. |
8. Surah Al-Kahfi sangat sesuai dijadikan wirid mingguan pada hari Jumaat. |
9. Asbabun nuzul membantu memahami latar belakang turunnya ayat. |
10. Antara kelebihan membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat ialah mendapat cahaya antara dua Jumaat. |

























Catat Ulasan