Kuliah Maghrib 22 Julai 2025, Ustaz Ahmad Hakim Samsudin

Tarikh Penceramah Tajuk
22/07/2025 Ustaz Ahmad Hakim Samsudin

Nota Kuliah

Syukur kepada Allah SWT atas malam yang berbahagia ini, kerana Allah SWT telah memilih kita dalam kalangan hamba-Nya untuk datang ke masjid, duduk dalam masjid dengan beriktikaf, serta melakukan amalan-amalan kebaikan. Mudah-mudahan amalan yang kita kerjakan, laksanakan, dan tunaikan ini dinilai baik oleh Allah SWT. Apabila amalan yang dilakukan dinilai baik oleh-Nya, maka amalan tersebut akan mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada kita di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya, ia merupakan satu nikmat yang sangat besar apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan taufik untuk melakukan amalan-amalan kebaikan.


Terdapat sebuah kisah menyatakan bahawa setiap manusia telah ditentukan tempatnya sama ada di syurga atau neraka sejak azali. Namun begitu, ketentuan itu bukan alasan untuk meninggalkan amal kerana setiap orang akan dimudahkan oleh Allah untuk melakukan perbuatan yang sesuai dengan takdirnya. Oleh itu, manusia tetap dituntut untuk beramal dan berusaha, kerana amal itulah yang menjadi sebab kepada kesudahan baik atau buruk seseorang.


Maka dijawab bahawa setiap orang telah ditentukan oleh Allah ke mana tempat akhirnya di akhirat. Sekiranya tempatnya di akhirat kelak ialah syurga, maka di dunia ini Allah akan memudahkannya untuk melakukan amalan-amalan ahli syurga. Kisah ini terdapat dalam terjemahan hadis tersebut.


Maknanya, mudah-mudahan apabila kita terpilih untuk datang ke masjid dan melakukan amalan-amalan baik, ia menjadi tanda bahawa Allah menghendaki kita menjadi ahli syurga-Nya. Maka marilah kita menjaga segala amalan yang dilakukan agar benar-benar dinilai baik oleh Allah SWT. Ini kerana, walaupun secara zahir kita melakukan amalan baik, namun belum tentu ia diterima sebagai amalan yang baik di sisi Allah.


Kita mungkin datang ke masjid yang sama, mengikuti majlis yang sama, dan bersama orang yang sama, namun pahala yang diperoleh berbeza. Pahala itu berbeza berdasarkan keikhlasan masing-masing, niat masing-masing, serta kesusahan yang ditanggung oleh masing-masing. Apatah lagi jika amalan yang dilakukan itu bukan kerana mengharapkan reda Allah SWT, atau tercemar walau sedikit dengan riya’ atau sebab lain. Maka amat diharapkan agar suasana baik yang kita duduki ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk berbuat baik dengan bersungguh-sungguh.


Terdapat dua syarat agar sesuatu amalan itu diterima oleh Allah SWT. Pertama, amalan tersebut mestilah diniatkan kerana Allah. Kedua, amalan tersebut mestilah menepati syarak, tidak bercanggah dengan ajaran agama. Dua syarat inilah yang perlu dipenuhi agar sesuatu amalan diterima oleh Allah SWT.


Nasihat Imam Ghazali dalam Kitab Ayyuhal Walad


1. Amalkan Ilmu, Bukan Sekadar Tahu

"Wahai anakku, jika engkau tidak mengamalkan ilmu, maka ilmu itu tidak akan memberi manfaat kepadamu."


Ilmu mesti diamalkan. Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, seperti orang sakit yang mengetahui ubatnya, namun enggan mengambilnya.


Kita juga akan ditanya tentang ilmu yang kita peroleh. Dalam Surah al-á¹¢aff, Allah berfirman yang bermaksud:


"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?"


Ayat ini memberikan peringatan kepada kita. Jika kita hanya berkata tetapi tidak melakukannya, maka besar kemurkaan Allah terhadap kita.

2. Amal Sedikit dengan Ikhlas Lebih Baik daripada Banyak Amal Tanpa Tujuan

Ilmu dan amal merupakan dua unsur yang tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan seorang insan. Ilmu yang tidak disertai dengan amal adalah gila, manakala amal yang tidak berlandaskan ilmu pula adalah sia-sia.


Manusia terbahagi kepada beberapa golongan dalam memahami dan menguruskan ilmu. Ada yang tahu dan sedar, ada yang tahu tetapi tidak tahu bahawa dia tahu, ada yang tidak tahu dan sedar, dan ada pula yang tidak tahu tetapi berpura-pura tahu.


Dalam kehidupan seharian, manusia berhadapan dengan lebih daripada 200 keputusan yang perlu dibuat. Keputusan ini seharusnya berdasarkan ilmu. Jika tidak, ia akan membawa kepada kerugian.


Keseimbangan antara ilmu dan amal sangat penting. Amal yang dilakukan kerana riak, walaupun banyak, tidak memberi erti. Amalan yang sedikit tetapi ikhlas dan istiqamah lebih utama di sisi Allah.

3. Bersiap Untuk Mati dan Akhirat

Kita perlu bersiap untuk mati dan menghadapi akhirat. Persoalannya, apakah yang telah kita usahakan? Amalan sekarang itulah persiapan kita.


Imam al-Ghazali mengingatkan bahawa kematian boleh datang bila-bila masa. Ramai tahu mati itu pasti, tetapi hidup seolah-olah tidak akan mati.


Adakah ilmu dan amal kita hari ini cukup sebagai bekalan? Atau kita masih leka, menangguhkan taubat, dan berpura-pura tiada masalah?


Hidup ada tujuan. Dunia hanya tempat mencari manfaat untuk akhirat. Dunia tidak boleh masuk ke dalam hati, biarlah ia hanya di tangan agar mudah dilepaskan demi reda Allah.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama