Kuliah Subuh Khas 1 September 2025, Ustaz Kamal Ashari

Tarikh Penceramah Tajuk
01/09/2025 Ustaz Kamal Asahari

Nota Kuliah


Dengan kalimah alhamdulillah, manusia merasakan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah Taala. Namun, sering kali apabila bangun daripada tidur pada waktu pagi, kalimah itu tidak diucapkan. Hal ini menunjukkan betapa lemahnya nilai syukur apabila kalimah yang mudah itu pun tidak terucap, sedangkan keinginan untuk memasuki syurga amat besar.


Apabila dapat menunaikan solat Subuh secara berjemaah, itulah tanda kesyukuran kerana solat merupakan penentu kedudukan segala amal. Nabi SAW menyatakan bahawa amalan pertama yang dihitung di akhirat ialah solat. Maka, solat menentukan baik buruknya amalan lain. Solat tidak sepatutnya hanya sah dari segi syarat dan rukun, tetapi hendaklah dipersembahkan dalam bentuk yang terbaik kepada Allah. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya untuk memperoleh kekhusyukan dalam solat.


Syeikh Abdullah dalam tulisannya tentang khusyuk menegaskan bahawa untuk memperoleh kekhusyukan, manusia perlu menyedari siapa dirinya. Namun, ramai yang masih merasa hebat dengan jawatan dan kedudukan sehingga selepas solat pun masih melakukan perkara yang tidak baik.


Antara kaedah untuk menyempurnakan solat ialah dengan menunaikannya secara berjemaah. Apabila seseorang datang masbuk dan tidak sempat membaca al-Fatihah, maka bacaannya ditanggung oleh imam. Inilah salah satu kelebihan berjemaah yang mendorong hati menjadi tenang dan seronok menunaikan solat bersama. Allah memerintahkan agar manusia memohon pertolongan melalui sabar dan solat. Ramai yang mampu menunaikan solat, namun kesabaran dalam solat itulah yang menjadi ujian sebenar. Kesabaran bukanlah sebarang cubaan, sebaliknya ujian itu datang daripada Allah. Kalimah alhamdulillah amat besar di sisi Allah apabila seseorang benar-benar menyedari hakikat dirinya sebagai hamba. Dalam solat, sesiapa sahaja boleh duduk di saf hadapan, kerana solat meniadakan perbezaan status, pangkat atau kedudukan.


Kalimah alhamdulillah juga amat penting sehingga Allah menetapkannya dalam setiap solat. Setiap bacaan al-Fatihah merupakan dialog dengan Allah. Apabila seseorang meninggalkan solat, bererti dia tidak mahu berbicara dengan Allah. Permulaan bacaan al-Fatihah dengan alhamdulillah menggambarkan siapakah yang sedang dihadapi dan dengan siapa bicara itu ditujukan. Oleh itu, sebelum memulakan bicara dengan Allah, kalimah pujian ini perlu terlebih dahulu diucapkan.


Kalimah ini melahirkan rasa syukur dalam jiwa hamba kepada Allah. Dengan syukur itu, Allah menambahkan lagi nikmat-Nya. Maka, alhamdulillah bukan sekadar ungkapan di bibir, tetapi kalimah agung yang membawa nilai syukur, kekhusyukan, kesedaran, dan kebergantungan kepada Allah Taala.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama