
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
14/05/2025 | Ustaz Syed Mukhtar Syed Yang Jamalulai | — |
Beriman kepada hari akhir merupakan salah satu rukun keimanan yang utama. Perlu difahami bahawa hadis-hadis berkenaan dengan kemunculan al-Mahdi, keluarnya Dajjal, dan turunnya Nabi Isa a.s. tergolong dalam kategori hadis mutawatir — yakni hadis-hadis yang diriwayatkan oleh ramai perawi pada setiap peringkat generasi sehingga tidak mungkin berlaku pendustaan.
Hadis-hadis ini bukan hanya sahih, bahkan mutawatir, kerana banyaknya perawi yang meriwayatkan daripada Nabi SAW dan diteruskan dari generasi ke generasi. Mutawatir adalah tingkatan paling tinggi dalam kedudukan hadis. Ia berbeza dengan hadis ganjil atau pelik yang hanya diketahui oleh golongan tertentu. Dalam kebanyakan kes, hadis mutawatir ialah hadis yang sahih atau hasan. Bukan sekadar sahih, bahkan diriwayatkan oleh ramai perawi.
Antara perkara yang termasuk dalam hadis mutawatir ialah berkaitan al-Quran itu sendiri. Bacaan al-Quran adalah mutawatir, ia tidak berubah walau di mana sahaja umat Islam berada. Turut termasuk dalam kategori mutawatir ialah perkara berkaitan dengan akhir zaman, seperti berlakunya kiamat, kematian seluruh makhluk, dan peristiwa kebangkitan semula.
Menurut ayat 65 Surah Az-Zumar, akan ditiupkan sangkakala. Tiupan pertama itu akan menyebabkan semua makhluk yang bernyawa mati, kecuali yang dikehendaki Allah. Sebelum tiupan yang mematikan itu, terdapat pandangan yang menyatakan bahawa akan berlaku satu lagi tiupan mengejutkan yang tidak mematikan, seolah-olah menjadi tanda awal berlakunya kiamat. Tiupan ini mungkin berbentuk bunyi atau gegaran, sebagai isyarat bermulanya kehancuran.
Segala yang ada di bumi akan rosak dan hancur, termasuk gunung-ganang, bukit-bukau dan struktur bumi, tetapi bukanlah hancur tanpa sisa. Masih ada unsur bumi yang akan digunakan semula sebagai Mahsyar. Allah SWT akan memutarkan dan mengubah bentuk bumi itu, menjadikannya rata dan datar, tanpa tanda, bukit atau lurah, sepertimana disebut dalam hadis. Namun demikian, bumi itu tetap mengandungi jejak asal, termasuk DNA dan zarah makhluk yang pernah mendiami dunia.
Ketika semua makhluk telah mati, malaikat-malaikat utama juga akan menemui ajal. Malaikat terakhir yang mencabut nyawa ialah Izrail, termasuk mencabut nyawa Jibril, Mikail, Israfil dan para malaikat pemikul Arasy. Setelah Izrail mencabut nyawa makhluk terakhir, termasuk dirinya sendiri, tinggallah alam dalam keadaan sunyi dan dalam kekuasaan mutlak Allah SWT. Allah akan berfirman: "Kepunyaan siapakah kerajaan pada hari ini?" Lalu dijawab sendiri: "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa."
Pada tiupan kedua sangkakala, seluruh makhluk akan dihidupkan semula. Proses kebangkitan itu menurut Ibn Kathir dalam Al-Bidayah wa al-Nihayah berlaku melalui turunnya hujan yang berat ke atas bumi. Hujan itu menyentuh tanah yang telah hancur, dan pada saat itu tumbuhlah kembali tubuh manusia dari satu bahagian tubuh yang tidak hancur — iaitu ‘Ajbuz-Zanab yang terletak di bahagian tulang belakang. Bahagian itu tidak hancur walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Setelah itu, manusia akan keluar dari tanah menuju ke Mahsyar. Perjalanan ke Mahsyar sangat panjang dan menakutkan, jauh lebih lama daripada kehidupan dunia. Di Mahsyar, manusia akan dikumpulkan untuk menerima perhitungan amal. Keadaan mereka bergantung pada keadaan mereka sewaktu mati. Sekiranya mati dalam keadaan beriman, maka Mahsyar akan menjadi tempat yang lebih ringan. Jika mati dalam keadaan derhaka, Mahsyar itu sendiri akan menjadi seperti neraka bagi mereka.
Mahsyar, sepertimana alam barzakh, mempunyai keadaan seperti syurga atau neraka. Tetapi belum lagi menjadi tempat pembalasan yang hakiki. Ia hanyalah tempat menunggu keputusan. Oleh itu, apa yang penting bukan hanya permulaan hidup, tetapi bagaimana pengakhiran seseorang itu. Husnul khatimah adalah penentu sebenar.
Ada insan yang kehidupannya dipenuhi ketaatan sejak awal, namun di hujung hayat, ia berpaling daripada Allah. Ada pula yang hidup dalam kejahatan, tetapi berubah dan kembali kepada Allah pada saat akhir. Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa mengubah takdir seseorang.
Antara punca manusia tidak mendapat hidayah ialah kerana sifat sombong dan pentingkan diri. Ada yang tidak mahu berubah kerana takut kehilangan kedudukan atau pengaruh dalam masyarakat. Ada yang berpegang pada tradisi tanpa mahu menerima kebenaran. Hidayah memerlukan pengorbanan dan keikhlasan, bukan sekadar pengakuan lisan.
Ayat-ayat al-Quran banyak menyentuh tentang keadaan Mahsyar. Antaranya Surah Qaf ayat 47 dan Surah al-Waqi‘ah ayat 49–50. Hadis sahih juga menjelaskan bahawa bumi Mahsyar ialah bumi yang putih kemerah-merahan, seperti sebiji roti gandum yang baru dibakar. Bumi itu rata, suci, dan tidak pernah diduduki oleh sesiapa.
Harta yang ditinggalkan tidak lagi milik si mati. Jika sewaktu hidup tidak pernah bersedekah, maka sukar untuk mendapatkan pahala melalui sedekah anak-anak kecuali anak itu sendiri berniat dan bertindak atas dasar ajaran dan didikan yang baik. Firman Allah: “Dan bahawa sesungguhnya seseorang manusia tidak akan memperoleh selain apa yang diusahakannya.” (An-Najm: 39)
Namun, jika ibu bapa pernah mengajar kebaikan, mengajak bersedekah, memberi ilmu, dan anak-anak meneruskannya, maka insya-Allah pahala itu sampai sebagai saham kebaikan. Tetapi jika ibu bapa sendiri tidak pernah mengajarkan nilai-nilai itu, sukar untuk mereka menerima limpahan manfaat daripada amalan anak-anak.
Tanggungjawab mendidik anak adalah besar. Seorang bapa boleh dianggap berdosa atau ‘terlaknat’ jika gagal menunaikan tanggungjawabnya — antaranya tidak memilih pasangan yang baik untuk dijadikan ibu kepada anak-anak, tidak memberi nama yang baik, dan tidak mengajarkan ilmu agama yang mencakupi ibadah dan akhlak.
Apabila ketiga-tiga perkara ini tidak dilaksanakan, anak-anak mungkin menyalahkan ibu bapa atas kejahilan dan kesesatan mereka. Maka penting bagi ibu bapa untuk mengambil berat sejak awal — bermula dengan pemilihan pasangan hidup, pemberian nama, hinggalah kepada pendidikan agama dan akhlak anak-anak.

















Catat Ulasan