Perutusan Kemerdekaan Dari Pengerusi Masjid Temerloh Jaya

 

Assalamualaikum

Kemerdekaan adalah satu anugerah yang tidak ternilai. Perjuangan menuntut kemerdekaan berlaku di seluruh pelosok dunia merentasi tamadun dan bangsa.

Menurut Hamka, kemerdekaan itu bukanlah hadiah daripada penjajah, tetapi kebebasan insan mesti diperjuangkan walaupun dengan darah dan air mata.

Sebab itulah perjuangan Nabi bukan sekadar menyebarkan dakwah, tetapi juga membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah. Akhirnya kota Mekah dan wilayah-wilayah sekitarnya dimerdekakan.
Begitulah sambutan kemerdekaan ke-68 negara kita pada hari ini, penuh dengan makna. Marilah kita bersama-sama meraikannya.

Kemerdekaan ini bukan mudah. Ia merupakan manifestasi pengorbanan darah dan air mata para pahlawan serta pemimpin terdahulu. Kita berdoa agar pengorbanan mereka diganjari dengan pahala yang tidak ternilai.

Maka, tugas kita sekarang adalah untuk mengisi kemerdekaan ini. Kita sedang menikmati nikmat keimanan, maka ayuh kita pelihara keamanan ini. Apatah lagi menjadi warga yang baik adalah anjuran besar Nabi SAW. Keamanan membolehkan perjuangan membina negara dapat dilaksanakan dengan tersusun dan teratur melalui peranan masing-masing — bermula dengan pemimpin, pembuat dasar di institusi parlimen, pasukan penjawat awam sebagai pelaksana, hinggalah dinikmati oleh rakyat jelata. Semuanya laksana satu bangunan yang tersusun kukuh, seperti yang termaktub dalam Surah As-Saff.

Akhir sekali, jangan kita lupa bahawa kemuncak kemerdekaan sebenar ialah apabila kita berjaya membebaskan diri daripada penghambaan sesama manusia, lalu turut membebaskan diri daripada belenggu dan hasutan iblis. Inilah cabaran utama kita.

Iblis tidak mahu kita menjadi orang beriman. Dia mahu menjadikan kita bangsa yang berdosa, agar masuk neraka bersamanya. Maka jauhilah tipu daya iblis ini.

Bagaimana caranya? Antaranya, dalam konteks masjid, pastikan setiap kali azan dikumandangkan, kita ketepikan bisikan iblis dengan bersegera ke masjid menunaikan solat berjemaah. Paling tidak, marilah kita pastikan jemaah penuh dan melimpah setiap kali solat, khususnya waktu Isyak dan Subuh. Tambahan pula, Nabi SAW bersabda:

"Sesungguhnya solat (berjemaah) yang paling berat bagi golongan munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh..." (HR. Bukhari dan Muslim).

Salam Merdeka

𝗗𝗥. 𝗛𝗔𝗝𝗜 𝗔𝗕𝗗𝗨𝗟𝗟𝗔𝗛 𝗕𝗜𝗡 𝗜𝗦𝗠𝗔𝗜𝗟
Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) / Masjid Temerloh Jaya

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama