Majlis Perasmian Bomba Uniti Taman Temerloh Jaya


30 November 2024 – Majlis Perasmian Bomba Uniti Taman Temerloh Jaya telah berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Temerloh Jaya pada pagi ini. Program bermula seawal jam 8.30 pagi dengan pendaftaran peserta yang terdiri dari ahli-ahli Bomba Uniti Taman Temerloh Jaya yang sudah pun mendaftar sebelum ini, termasuk pendaftaran pada program pra pelancaran di pondok SRS, KRT Taman Temerloh Jaya Indah pada 24 September lalu. 

Tetamu kehormat, Yang Berhormat (YB) Tuan Woo Chee Wan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, tiba pada jam 9.00 pagi menandakan permulaan majlis yang dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Pahang, sebelum diteruskan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Haji Hussin Mohamed, Imam II Masjid Tengku Makhota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Temerloh Jaya (MTTJ). 

YB Woo Chee Wan, yang juga merangkap Penaung Bomba Uniti Taman Temerloh Jaya, dalam ucapannya menekankan pentingnya penubuhan Bomba Uniti di kawasan ini. Beliau memuji usaha penubuhan pasukan Bomba Uniti Taman Temerloh Jaya yang dilihat sebagai satu keperluan di kawasan ini, dengan kepadatan penduduk yang tinggi, iaitu sekitar 4,900 buah rumah. Bomba Uniti diharap dapat memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan komuniti setempat. Majlis diteruskan dengan perasmian Penubuhan Bomba Uniti Taman Temerloh Jaya oleh YB Woo Chee Wan, diikuti dengan upacara menandatangani plat perasmian. 

Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis ini ialah; Dato' Ridzuan Hazimin Ramli, Ketua UMNO Bahagian Temerloh merangkap Penasihat Bomba Uniti Taman Temerloh Jaya, PgKB II Mohamad Sobree Mohamad Salleh, Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pahang. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Dr. Haji Abdullah Ismail, Pengerusi Masjid Taman Temerloh Jaya, Sarjan Mejar Zulkifli dan ASP Tuan Mohamad Irwan Ismawi Sapawi yang mewakili IPD Temerloh, wakil-wakil Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah, Taman Temerloh Makmur, pengerusi surau Temerloh Makmur, dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat. 

Majlis dilanjutkan dengan persembahan gendang dan permainan silat yang menghangatkan suasana. Seterusnya sesi penyerahan cenderamata kepada para tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka terhadap penubuhan Bomba Uniti Taman Temerloh Jaya. 

Program ini diakhiri dengan sesi bergambar, diikuti dengan jamuan yang disediakan kepada semua yang hadir. Majlis berakhir dengan para tetamu bersurai pada sekitar jam 11.00 pagi.

 

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama