4 September 2026 — Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan dan Sosial (BKS), Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ) telah menghadiri satu taklimat persiapan bagi Program Sumbangan dan Bantuan Yayasan KOSMA yang akan diadakan pada 12 September 2026.
Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Setiausaha MTTJ, Haji Zulkanain Hashim, bagi menyelaras persiapan dan perjalanan program sebelum majlis berlangsung.
Program berkenaan dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 12 September 2026, bermula jam 7.00 pagi bertempat di Foyer MTTJ.
Seramai 82 orang penerima akan menerima manfaat menerusi program tersebut. Antara bentuk sumbangan yang akan disampaikan ialah bantuan bulanan kepada asnaf terpilih, selain bantuan secara sekali beri (one-off) kepada penerima yang dikenal pasti.
Turut diberikan perhatian ialah keperluan pendidikan anak-anak daripada keluarga asnaf. Dalam program berkenaan, sumbangan komputer riba akan diberikan kepada anak asnaf yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti bagi membantu mereka menyediakan keperluan pembelajaran.
Taklimat tersebut turut memberi ruang kepada AJK BKS untuk menyelaraskan pembahagian tugas serta membuat persediaan yang diperlukan bagi memastikan urusan penerimaan dan penyampaian bantuan pada hari program dapat berjalan dengan teratur dan lancar.
Catat Ulasan