Waktu Solat Temerloh Jaya

1 Ramadan

--- hari lagi

1 Syawal

--- hari lagi

1 Muharam

--- hari lagi

Maulid Nabi

--- hari lagi

Pengerusi MTTJ Dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang, Bergelar Dato'


1 Ogos 2026 – Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), Dr. Haji Abdullah Ismail, telah dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.


Istiadat Pengurniaan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Pahang berlangsung di Istana Abdulaziz, Pekan pada 1 Ogos 2026, selepas sesi raptai yang diadakan pada 30 Julai 2026. Pengurniaan tersebut telah disempurnakan sendiri oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.


Dr. Haji Abdullah Ismail merupakan antara 18 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato'. Beliau menerima pengiktirafan tersebut atas jasa serta sumbangan yang diberikan kepada masyarakat dan pembangunan institusi masjid.


Di bawah kepimpinan beliau, Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah terus berkembang sebagai sebuah institusi yang aktif dengan pelbagai program keagamaan, pendidikan, kebajikan dan kemasyarakatan. Komitmen yang berterusan serta pengurusan yang sistematik telah menjadikan MTTJ dikenali di seluruh negara sebagai antara masjid yang berjaya mengimarahkan solat berjemaah dan pelbagai aktiviti untuk masyarakat.


Kejayaan tersebut turut memberi impak positif kepada daerah Temerloh apabila MTTJ sering menerima kehadiran jemaah dari pelbagai negeri di Malaysia, malah dari luar negara, yang hadir untuk menyaksikan sendiri suasana pengimarahan masjid serta menyertai program-program yang dianjurkan.


Pihak pengurusan, kakitangan, Ahli Jawatankuasa dan seluruh warga MTTJ merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YBhg. Dato' Dr. Haji Abdullah Ismail atas pengurniaan darjah kebesaran tersebut.


Semoga pengiktirafan yang diterima menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh usaha memakmurkan rumah Allah serta memperluaskan lagi khidmat bakti kepada agama, masyarakat dan negeri Pahang.

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama