
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
11/10/2025 | Ustaz Kamal Asahari | — |
1. Menjaga adab dan maruah sesama manusia. Islam menuntut umatnya menghormati hak dan privasi orang lain dengan meminta izin sebelum memasuki tempat persendirian seperti rumah atau bilik. Ini melatih sifat sopan dan menjaga kehormatan antara sesama manusia. |
2. Niat yang ikhlas menentukan nilai perbuatan. Walaupun tempat awam boleh dimasuki tanpa izin, niat seseorang tetap menjadi ukuran. Jika tujuan memasuki tempat itu untuk melakukan maksiat atau perkara tidak baik, maka perbuatan itu tetap berdosa di sisi Allah. |
3. Menundukkan pandangan sebagai tanda iman yang benar. Perintah Allah dalam Surah An-Nur ayat 30 menunjukkan bahawa lelaki beriman wajib menjaga pandangan daripada perkara haram dan memelihara maruah diri sebagai bukti ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul. |
4. Menghormati nilai kemanusiaan tanpa mengira agama. Islam menekankan agar manusia menghormati sesama insan walaupun berbeza kepercayaan, kerana setiap manusia memiliki nilai keinsanan yang perlu dijaga. Kehilangan rasa hormat terhadap kemanusiaan menjadikan manusia setaraf dengan binatang. |
5. Segera taat kepada perintah Allah tanpa berlengah. Contoh wanita Ansar yang segera menutup aurat selepas turunnya ayat menunjukkan ketaatan yang tinggi terhadap perintah Allah. Begitu juga umat Islam perlu segera melaksanakan perintah seperti menjaga pandangan dan meminta izin tanpa menangguh. |
Adab Meminta Izin di Tempat Umum
Adab meminta izin menjelaskan bahawa tidak menjadi kesalahan untuk memasuki tempat-tempat umum tanpa meminta izin, selagi tempat itu bukan kediaman peribadi dan tujuan kemasukan adalah untuk keperluan yang dibenarkan. Tempat seperti pasar, klinik, stesen bas, hotel, atau tempat rekreasi dianggap tempat awam yang boleh dimasuki tanpa perlu meminta izin, kerana ia disediakan untuk kegunaan umum dan bukan milik individu tertentu.
Namun, niat ketika memasuki tempat tersebut amat penting. Sekiranya niat seseorang adalah untuk melakukan perkara maksiat atau dosa, maka perbuatannya tetap salah di sisi Allah walaupun tempat itu bersifat umum. Allah mengetahui segala yang zahir dan tersembunyi, termasuk niat seseorang ketika berada di tempat awam.
Sementara itu, meminta izin tetap perlu apabila masuk ke rumah atau tempat persendirian yang dihuni individu tertentu, bagi menjaga maruah dan privasi penghuni. Hikmah disyariatkan adab ini ialah bagi menanam sifat berhemah, sopan, dan menjaga aurat serta kehormatan sesama manusia.
Kesimpulannya, tempat umum boleh dimasuki tanpa izin, tetapi niat dan adab tetap perlu dijaga kerana Allah sentiasa mengetahui setiap perbuatan dan tujuan seseorang.
Walaupun nampak kecil, hakikatnya perbuatan meminta izin itu mengandungi nilai besar dalam menjaga kehormatan, maruah, dan sensitiviti sesama manusia. Islam menuntut agar manusia menghormati kemanusiaan walaupun terhadap orang yang tidak beriman, asalkan mereka mempunyai nilai keinsanan. Jika manusia tidak menghormati sifat kemanusiaan, maka tiada bezanya manusia dengan binatang.
Sifat menghormati orang lain adalah bukti akhlak yang tinggi. Orang yang menjaga maruah dan keinsanan sesama manusia akan dimuliakan. Namun, manusia kini semakin hilang sifat kemanusiaan, hingga sanggup mengkhianati keluarga sendiri.
Menundukkan Pandangan Bagi Lelaki Beriman
Allah berfirman;
“Katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.”— Surah An-Nur, ayat 30
Allah tidak menyebut “wahai orang beriman” secara langsung, tetapi menggunakan perintah kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya menyampaikan kepada lelaki beriman. Ini menunjukkan perintah ini amat besar maknanya.
Nabi ialah manusia yang menjadi rasul dan penyampai wahyu. Maka, apabila Allah berfirman “katakanlah”, ia bermaksud perintah itu datang terus daripada Allah untuk disampaikan kepada manusia. Arahan ini bukan sekadar nasihat, tetapi perintah jelas kepada semua lelaki yang beriman agar menjaga pandangan daripada perkara yang haram dan memelihara maruah diri. Pelanggaran kepada arahan ini bermaksud melanggar arahan Allah dan Nabi Mumammad SAW sekaligus.
Allah menutup ayat ini dengan penegasan bahawa Dia Maha Mengetahui segala yang dilakukan manusia, baik yang zahir mahupun tersembunyi.
Diriwayatkan bahawa ketika ayat tentang menutup aurat turun, para wanita dari kalangan kaum Ansar segera menutup diri mereka tanpa berlengah. Mereka menggunakan apa sahaja kain yang ada untuk melaksanakan perintah Allah. Ini menunjukkan ketaatan yang tinggi terhadap arahan Ilahi.














Catat Ulasan