
Kuliah | Butiran |
---|---|
Tarikh | 30 November 2024 (Sabtu) |
Penceramah | Ustaz Mohd Firdaus Mohd Azmy |
Tajuk | - |
Nota Kuliah
TADABUR
Surah Al-Baqarah
(Ayat 13)
"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab: "Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?" Ketahuilah! Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Orang-orang beriman yang disebut dalam ayat di atas merujuk
kepada para sahabat Nabi. Antara ciri-ciri orang munafik ialah suka
memberi gelaran dan melabel orang lain dengan sikap yang tidak
wajar. Malah, Nabi sendiri tidak pernah menggelarkan individu seperti
Abu Jahal dengan istilah seperti 'kafir' sewaktu berdakwah kepada
mereka. Tindakan Nabi ini turut dicontohi oleh para sahabat, yang
mengelakkan diri daripada memberi gelaran tertentu kepada orang
lain.
Dalam ayat di atas juga, Allah sendiri mengatakan bahawa merekalah
orang-orang (orang munafik) yang bodoh.
(Ayat 14)
"Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
Ayat ini merujuk kepada sifat orang munafik yang sering berpura-pura
dalam keimanan mereka. Ketika berhadapan dengan orang-orang
beriman, mereka mendakwa diri mereka juga beriman. Namun,
apabila mereka kembali kepada puak yang alin atau sekutu mereka
yang jahat (dalam ayat ini dirujuk sebagai "syaitan-syaitan mereka"),
mereka dengan bangga mengakui bahawa mereka tidak benar-benar
beriman, malah hanya mempermainkan orang-orang mukmin. Dalam
istilah mudah sifat mereka ialah 'cakap tidak serupa bikin'.
Perkataan syaitan berasal dari bahasa Arab شَيْطَان (shayṭān),
bermaksud "makhluk yang menyimpang" atau "yang jauh daripada
rahmat Allah." Ia berakar daripada kata شَطَنَ (shaṭana), yang
membawa maksud "menyimpang" atau "jauh." Dalam Islam, syaitan
merujuk kepada makhluk yang menghasut manusia dan jin ke arah
kejahatan serta menyesatkan dari jalan kebenaran.
Suran Al-An'am (112):
"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh dari kalangan syaitan-syaitan manusia dan jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain kata-kata indah untuk memperdaya (manusia). Jika Tuhanmu menghendaki, niscaya mereka tidak akan melakukannya, maka biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan."
Jin
Jin Jahat = Iblis
Dalil:
"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam,' maka mereka pun bersujud kecuali Iblis. Dia adalah daripada golongan jin, lalu dia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedangkan mereka adalah musuh kamu? Amat buruklah pertukaran itu bagi orang-orang yang zalim." Berdasarkan ayat ini Iblis berasal dari golongan jin. "Dan sesungguhnya ada di antara kami (golongan jin) yang berserah diri (muslim) dan ada pula di antara kami yang menyimpang. Maka barang siapa yang berserah diri, mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus."
Dalam ayat ini menyatakan, Jin terbahagi kepada dua, iaitu Jin Islam
dan Jin Kafir
SIRAH
Tahun ke-6 Hijrah- Berlakunya Perang Bani Mustaliq (6 Hijrah) Peranan orang munafik dalam perang ini yang membuat fitnah memecahbelahkan tentera Islam.
- Turun Ayat Tentang Wuduk & Tayamum
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat, maka basuhlah wajahmu dan tanganmu hingga ke siku, dan sapulah kepala kamu, dan basuhlah kaki kamu hingga ke buku lali. Dan jika kamu junub, maka mandilah. Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air, atau kamu menyentuh wanita, maka jika kamu tidak memperoleh air, maka bertayamumlah dengan tanah yang bersih, sapulah wajah dan tangan kamu dengannya. Allah tidak mahu menyusahkan kamu, tetapi Dia mahu membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur".— Surah Al-Maidah, Ayat 61
3) Perjanjian Hudaibiyah Pada tahun ke-6 Hijrah,
Nabi Muhammad SAW dan para sahabat memutuskan untuk menunaikan umrah (ibadah ziarah ke Makkah) selepas peristiwa Perang Uhud dan beberapa peperangan lain. Mereka tidak berniat untuk berperang, tetapi hanya ingin melakukan ibadah umrah, yang merupakan salah satu rukun Islam. Oleh itu, Nabi bersama kira-kira 1,500 orang (sebahagian pendapat 1,400 orang) sahabat berangkat dari Madinah menuju Makkah.
Perjalanan ini berdasarkan mimpi Nabi SAW yang berjaya memasuki Mekah dalam keadaan selamat. Berita ini mengembirakan para sahabat (di Madinah) yang merindui kampung asal mereka iaitu Mekah. Namun dalam perjalanan ke Mekah, rombongan Nabi dan para sabahat telah menghalang mereka daripada memasuki kota untuk menunaikan umrah. Mereka bimbang akan ancaman peperangan jika umat Islam masuk ke Makkah, walaupun Nabi Muhammad SAW dan para sahabat datang dengan niat damai tanpa membawa sebarang senjata perang.
Rasulullah SAW ingin menjelaskan tujuan kedatangan umat Islam yang bersifat damai dan bukan untuk berperang. Untuk tujuan ini, baginda mengutus Saidina Uthman bin Affan, seorang yang dihormati oleh Quraisy, bagi berunding dengan mereka. Namun, apabila Saidina Uthman tidak kembali ke kem umat Islam dalam tempoh yang lama, tersebar khabar angin bahawa beliau telah dibunuh oleh Quraisy.
Berita ini menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam, yang bersedia untuk berjuang demi mempertahankan maruah dan kehormatan mereka. Sebagai tindak balas, Rasulullah SAW mengadakan Baiah Ridhwan, di mana para sahabat bersumpah setia untuk berjuang bersama baginda jika peperangan berlaku. Namun tidak lama kemudian keadaan reda apabila Saidina Uthman kembali semula dari rundingan.
Sementara itu, orang Quraisy menghantar Suhail bin Amru untuk berunding dengan rombongan Nabi, dan hasilnya berlakulah perjanjian Hudaibiyah.
Perjanjian Hudaibiyah menetapkan gencatan senjata selama 10 tahun, memberi kebebasan kepada suku-suku Arab untuk memilih pihak tanpa gangguan, serta membolehkan individu Quraisy menyertai Islam, tetapi melarang pengembalian umat Islam yang berpihak kepada Quraisy. Perjanjian ini dilihat sebagai berat sebelah oleh para Sahabat. Allah merakamkan peristiwa tersebut di dalam firmannya;
"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata." ( Al-Fath ayat 1).
Maksudnya ialah Allah membuka jalan kemenangan yang seterusnya merintis pembukaan kota Mekah (Fathul Makkah) yang kemudiannya berlaku pada tahun ke-8 Hijrah.
Selepas perjanjian tersebut, Nabi SAW memfokuskan kepada memperkukuhkan hubungan dengan kerajaan-kerajaan berdekatan dan jauh. Nabi Muhammad SAW mengutuskan beberapa utusan ke pelbagai kerajaan di sekitar Semenanjung Arab dan wilayah sekitarnya untuk menyampaikan mesej Islam. Langkah ini bertujuan untuk memperkenalkan Islam kepada pemimpin-pemimpin luar dan mengajak mereka menerima dakwah Islam. Antara untusan yang dihantar ialah kepada;
1) Raja Habsyah Najasyi (Masuk Islam)
2) Raja Mesir Muqawqis (Tidak masuk Islam tetapi hormat perutusan Nabi)
3) Raja Parsi Kisra (Menolak Islam dan menghina utusan Nabi dan mengoyakkan surat Nabi)
4) Raja Rom Heraclius (Tidak masuk Islam tetapi tidak menghina utusan Nabi) 5) Raja Oman 2 beradik (Kedua-duanya memeluk Islam)
6) Raja Damsyik (Menolak dan mengugut untuk menyerang Nabi)













Catat Ulasan