Khutbah Jumaat MTTJ 29 November 2024

Maklumat Khutbah Butiran
Tarikh 2- November 2024 (Jumaat)
Khatib Ustaz Asri Awang (Imam 1 MTTJ)
Tajuk -


Intisari

KHUTBAH PERTAMA

Galakan untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, dengan mengerjakan segala perintah Allah dan segala amalan yang diwajibkan oleh Allah, dan berusaha menjauhkan diri dari perkara yang mungkar dan maksiat. Mudah-mudahan orang-orang yang melakukan ketaatan kepada Allah akan mendapat keberuntungan di dunia dan akhirat kelak.


Khatib seterusnya menyentuh tentang isu semasa yang berlaku di dalam negara kini, iaitu hujan dan banjir yang sudahpun melanda di beberapa buah negeri.


Allah SWT boleh mendatangkan bencana banjir dan ujian yang lebih dasyat dari itu jika Allah mengkehendaki. Musibah yang menimpa kaum muslimin pada hari ini merupakan satu penderitaan dan kesulitan, ia disebabkan oleh maksiat-maksiat yang dilakukan oleh manusia di atas muka bumi ini. Meninggalkan kewajipan dan syariat Allah.


Dalam surah Asy-Syura ayat 30; Allah berfirman: "Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka itu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri; dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)".


Dalam firman Allah yang lain, di dalam surah An-Nisa' ayat 79; "Apa saja kebaikan (nikmat) yang kamu peroleh itu datangnya dari Allah, dan apa saja keburukan (bencana) yang menimpamu, maka itu dari (kesalahan) dirimu sendiri".


Allah berfirman dalam surah Surah Ar-Rum ayat 41 ; "Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)".


Bersyukurlah atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, termasuk nikmat kesihatan dan masa yang diberi. Kesihatan adalah peluang untuk melakukan kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah. Gunakan masa yang Allah anugerahkan dengan sebaik-baiknya, seperti menunaikan solat berjemaah di masjid atau surau.


Kita harus bersyukur kerana menjadi umat terbaik, iaitu umat Nabi Muhammad SAW. Allah tidak menimpakan kebinasaan yang menyeluruh kepada umat ini sekaligus, sebagaimana yang pernah berlaku kepada kaum-kaum terdahulu seperti kaum Aad, Tsamud, dan Lut.


Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa, Saad bin Abi Waqas berkata: "Suatu hari, Rasulullah SAW melewati Masjid Bani Muawiyah, lalu baginda masuk dan mendirikan solat dua rakaat. Kami pun turut solat bersama baginda. Setelah selesai, Rasulullah SAW menghadap kepada kami dan berkata; 'Saya telah memohon kepada Allah tiga hal, dua di antaranya dikabulkan dan satu ditolak. Saya memohon kepada Allah agar tidak membinasakan umatku dengan kekeringan atau kelaparan, dan Allah mengabulkannya. Saya juga memohon agar umatku tidak dibinasakan dengan tenggelam, dan Allah mengabulkannya. Namun saya memohon agar umatku tidak berpecah belah dan tidak terjatuh dalam fitnah, tetapi Allah tidak mengabulkannya". — HR. Muslim no.753


Sebagai seorang yang beriman dan mempercayai kepada ayat-ayat Al-Quran serta membenarkan hadis-hadis shahih, kita seharusnya sentiasa merenung dan menghayati isi kandungannya.


Allah berfirman dalam surah Az-Zumar, ayat 15; "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri sendiri dan keluarga mereka pada Hari Kiamat.' Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang nyata."



KHUTBAH KEDUA


Bertakwalah dan kembali kepada Allah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, melaksanakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah.


Kita harus berusaha untuk mengelakkan diri kita dan keluarga dari dihumban ke dalam api neraka. Kita harus menjauhi segala tegahan yang dilarang oleh Allah SWT, mudah-mudahan kita dikurniakan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat kelak.


Sebelum bencana demi bencana datang menimpa kita, maka kita haruslah kembali dan bertaubat kepada Allah atas segala dosa yang telah kita lakukan. Kembalilah kepada Allah, kerana Islam adalah jalan yang selamat, jadikan Al-Quran dan hadis sebagai panduan dalam kehidupan, mudah-mudahan kita akan dilindungi oleh Allah sewaktu di dunia dan akhirat kekal.


Perbanyakkan juga selawat ke atas Nabi SAW, sebagai tanda kasih sayang dan ingatan kepada junjungan mulia, Nabi kita. Malah, Allah sendiri memerintahkan kepada manusia untuk berselawat kepada Nabi sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Ahzab ayat 56;


"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya".

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama