Program Korban Perdana Masjid Temerloh Jaya


7 Jun 2025 — 10 Zulhijjah 1446H – Sebanyak 11 ekor lembu dikorbankan pada hari ini sempena Program Korban Perdana Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ) di Taman Temerloh Jaya.


Program tahunan yang dilaksanakan selepas solat sunat Aidiladha itu berlangsung di kawasan parkir MTTJ. Proses penyembelihan dilakukan oleh Ustaz Ubaidillah dengan melibatkan kerjasama petugas-petugas masjid dan para sukarelawan.


Daging-daging korban kemudiannya diagihkan kepada peserta korban, ahli kariah, serta golongan asnaf dalam kalangan ahli kariah masjid. Proses pengagihan dibuat menggunakan sistem kupon bagi memastikan kelancaran proses agihan.


Sementara itu, Penyelaras program korban MTTJ 2026, En. Safri Harun, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan yang bertungkus lumus sejak awal pagi, termasuk pasukan penumbang, pelapah, kru Muslimat, kru remaja, serta orang awam yang hadir membantu. Tidak dilupakan juga kru dari Kem Batu Tiga dan Kampung Tualang yang turut menyumbang tenaga.


Menurutnya lagi, beliau sangat menghargai sumbangan Dr. Haji Abdullah Ismail, Pengerusi MTTJ, yang banyak memberi idea dan pandangan bagi memastikan kelancaran penganjuran program. Idea dan cadangan yang dikemukakan ternyata sangat membantu pihak penganjur dalam merancang dan melaksanakan program dengan lebih teratur dan sistematik.


Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pembantu Tadbir MTTJ, Puan Norsiah Luchman, yang berpengalaman dalam pengurusan agihan daging korban serta memainkan peranan penting dalam memastikan proses pengagihan berjalan lancar, teratur dan menyeluruh.


Imam 1 MTTJ, Ustaz Haji Mohd Asri Awang, yang turut sama turun padang membantu sejak awal hingga akhir, juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program korban kali ini yang dilihat sangat teratur dan terancang. 


Aktiviti menumbang, menyembelih, melapah serta mengagihkan daging korban pada pagi ini berjalan lancar sebagaimana yang telah dirancang. Proses penyembelihan selesai sepenuhnya sekitar jam 11.00 pagi, manakala aktiviti melapah dan agihan daging korban berjaya diselesaikan sekitar jam 12.00 tengah hari.


Kecekapan petugas, kerjasama sukarelawan, dan penyusunan kerja yang sistematik memainkan peranan penting dalam memastikan segala urusan dapat disempurnakan dalam tempoh masa yang singkat namun berkesan.


Pelaksanaan program ini dilihat sebagai satu usaha berterusan MTTJ dalam menyemarakkan ibadah korban serta memperkukuh silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.


0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama