Kuliah Subuh 25 Januari 2025, Ustaz Zakaria Mat Dilu

Tarikh Penceramah Tajuk
25/01/2025 Ustaz Zakaria Mat Dilu

Nota Kuliah

Nikmat umur yang Allah berikan kepada setiap manusia adalah sesuatu yang tidak dapat diganti dengan wang ringgit. Apabila tiba masanya, setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada Penciptanya. Kehidupan ini hanyalah pinjaman daripada Allah SWT, dan mereka yang menghargainya akan menggunakan setiap nikmat pinjaman ini dengan sebaik-baiknya, termasuk masa, kesihatan, dan rezeki.


Kehidupan yang diberkati adalah kehidupan yang digunakan untuk ketaatan kepada Allah SWT. Walaupun umur seseorang pendek, jika digunakan untuk mencari keberkatan dan kebaikan, ia akan membawa manfaat besar di dunia dan akhirat. Begitu juga dengan harta, walaupun sedikit, jika digunakan untuk kebaikan seperti menyumbang kepada masjid atau membantu orang yang memerlukan, ia akan menjadi berkat. Namun, jika harta atau nikmat Allah digunakan untuk perkara maksiat, keberkatannya akan hilang.


Sifat Allah yang Maha Sempurna
Allah SWT memiliki sifat-sifat yang tiada bandingan dengan makhluk. Sebagai contoh, dalam ilmu tauhid, sifat mukhalafah lil hawadith menegaskan bahawa Allah tidak serupa dengan makhluk, dan makhluk tidak serupa dengan Allah dalam apa jua zat atau sifat-Nya. Firman Allah dalam surah Al-Ikhlas;

"Katakanlah (wahai Muhammad): Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat bergantung segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Nya." — Surah Al-Ikhlas: 1-4

 

Sifat Allah SWT tidak serupa dengan makhluk, baik pada zat-Nya mahupun perbuatan-Nya. Setiap kejadian alam seperti siang dan malam adalah bukti kekuasaan dan kebesaran Allah. Segala sesuatu berada dalam kekuasaan dan kehendak-Nya. Sebagai hamba-Nya, manusia harus menghindari sifat sombong dan angkuh seperti Firaun, kerana seluruh alam ini adalah milik Allah. Sifat angkuh hanya akan mengundang kemurkaan Allah, dan mereka yang bersikap demikian pasti akan menerima balasan sama ada cepat atau lambat.


Sifat Allah yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah
Antara sifat Allah adalah Ar-Rahim (Maha Penyayang) dan As-Syakur (Maha Berterima Kasih). Walaupun manusia juga memiliki sifat syukur, sifat syukur Allah jauh berbeza dengan makhluk-Nya. Allah SWT membalas ketaatan hamba-Nya dengan melimpahkan nikmat dan keampunan.

Sebagai contoh, dalam satu hadis, Rasulullah SAW menceritakan;


"Pada suatu ketika, ada seorang lelaki berjalan dan merasa sangat dahaga. Dia menemukan sebuah perigi, lalu turun ke dalamnya dan minum. Setelah itu, dia melihat seekor anjing menjelirkan lidahnya menjilat-jilat tanah basah kerana sangat kehausan. Lelaki itu berkata (dalam hatinya), 'Anjing ini sedang kehausan seperti aku tadi.' Maka dia turun semula ke perigi, mengisi kasutnya dengan air, lalu naik ke atas sambil menggigit kasut tersebut (dengan mulutnya) dan memberi minum kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya."— HR.Bukhari no.174


Sifat syukur manusia pula adalah dengan mentaati Allah, mensyukuri nikmat yang diberikan, dan tidak menggunakannya untuk dosa dan maksiat. Kita perlu ingat bahawa, segala nikmat yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya, walaupun halal, akan tetap dipersoalkan di akhirat kelak. 


Terima kasih Allah kepada manusia tidak memerlukan imbalan, contohnya Allah menyediakan syurga buat hamba-hambanya yang taat tanpa sebarang manfaat kepada Allah, kerana Allah Maha Kaya dan memiliki segalanya.


Sebaliknya terima kasih hamba kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan menuntut kepada hamba itu ketaatan, meninggalkan larangan dan kemaksiatan kepada Allah, dan menggunakan pula nikmat-nikmat yang diberikan kearah kebaikan.


Sebagai manusia, kita harus menghargai setiap nikmat yang Allah kurniakan dengan menggunakannya ke arah ketaatan kepada-Nya. Jangan salah guna nikmat Allah untuk kemaksiatan. Kehidupan ini adalah pinjaman, dan setiap pinjaman itu akan dihisab. Bersyukurlah kepada Allah agar kita kembali kepada-Nya dengan membawa amal kebaikan yang melayakkan kita untuk menikmati syurga-Nya.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama