Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
24/01/2025 | Ustaz Mohd Firdaus Mohd Azmy | — |
Israk
Merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW pada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Peristiwa ini dirakamkan dalam Surah Al-Isra' (17:1):
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Mikraj
Merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Aqsa naik ke langit yang tinggi hingga ke Sidratul Muntaha (tempat tertinggi yang tidak dapat dicapai oleh makhluk lain). Peristiwa ini dirakamkan dalam Surah An-Najm (53:11-14):
"Hatinya (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya.""Maka apakah kamu hendak membantahnya tentang apa yang telah dilihatnya itu?""Dan sesungguhnya dia telah melihatnya (Jibril) pada waktu yang lain.""Di Sidratul Muntaha."
Israk berlaku pada masa Nabi Muhammad SAW menghadapi kesedihan yang mendalam selepas kewafatan orang terdekat Baginda, seperti isteri tercinta, Khadijah binti Khuwailid, dan bapa saudaranya, Abu Thalib. Dengan ujian bertubi-tubi ini, moral dan semangat Nabi menurun. Maka Allah SWT menghadiahkan peristiwa Israk dan Mikraj. Berikut adalah beberapa peristiwa yang mendorong berlakunya peristiwa Israk Mikraj;
1. Kewafatan Khadijah
Sayyidatina Khadijah binti Khuwailid merupakan isteri pertama Rasulullah SAW yang menjadi pendukung utama Baginda dalam dakwah. Wafatnya Khadijah menimbulkan kesedihan mendalam kepada Baginda. Walaupun selepas itu Nabi berkahwin dengan Saudah binti Zam'ah, Baginda tetap mengingati Khadijah.
"Tidak pernah aku cemburu kepada mana-mana isteri Nabi sebagaimana aku cemburu kepada Khadijah, walaupun aku tidak pernah melihatnya. Rasulullah sering menyebutnya, dan Baginda sering menyembelih kambing lalu mengirimkannya kepada kenalan Khadijah. Aku berkata kepada Baginda, 'Seolah-olah di dunia ini tiada wanita lain selain Khadijah.' Maka Baginda menjawab, 'Dia beriman kepadaku saat manusia mengingkariku, dia membenarkanku saat manusia mendustakanku, dia memberiku harta saat manusia tidak memberiku apa-apa, dan Allah mengurniakanku anak-anak darinya.'"— HR. Bukhari no.3938
2. Kewafatan Abu Thalib
Abu Thalib, bapa saudara Nabi, adalah pelindung utama Baginda daripada ancaman Quraisy. Selepas kewafatan Abu Thalib, tekanan terhadap Rasulullah SAW meningkat. Antara bentuk penghinaan ialah ketika musyrikin meletakkan kotoran perut unta ke atas belakang Baginda semasa Baginda sujud.
3. Sekatan Ekonomi kepada Bani Hashim
Kaum Quraisy mengenakan sekatan ekonomi selama tiga tahun kepada Bani Hashim, termasuk Rasulullah SAW dan pengikutnya. Mereka dilarang berjual beli atau berinteraksi dengan sesiapa. Peristiwa ini berlaku di Syi'ib Abi Talib, kawasan sempit di Mekah, menyebabkan kesengsaraan besar kepada umat Islam.
4. Dakwah di Thaif Ditolak
Ketika Rasulullah SAW pergi ke Thaif untuk berdakwah, Baginda bukan sahaja ditolak, malah dihina dan dilempar dengan batu sehingga Baginda terluka. Peristiwa ini sangat menyedihkan Baginda. Nabi pernah menyebut bahawa peristiwa di Thaif lebih berat daripada Perang Uhud.
Dalam peristiwa Israk, Nabi Muhammad SAW diperjalankan oleh Allah dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Baitul Maqdis) dalam satu malam. Ini dirakamkan dalam Surah Al-Isra' (17:1):
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Sebelum memulakan perjalanan Israk, hati dan jiwa Nabi Muhammad SAW perlu bersih dan suci. Oleh itu, peristiwa ini dimulakan dengan ayat tasbih, iaitu Subhana yang menunjukkan kesucian dan keagungan Allah SWT, seperti yang disebut dalam Surah Al-Isra' (17:1):
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa..."
Dalam hal ini, tasbih menjadi simbolik kepada pembersihan hati dan pengakuan kebesaran Allah SWT, seperti juga digambarkan dalam Surah Az-Zukhruf (43:13):
"Supaya kamu duduk dengan tegak di atasnya, kemudian kamu mengingati nikmat Tuhanmu apabila kamu telah duduk di atasnya, dan hendaklah kamu mengucapkan: 'Maha Suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini untuk kami, padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya.'"
Ayat ini mengingatkan kita bahawa walaupun kita menggunakan kenderaan atau alat, hakikatnya Allah-lah yang menundukkan dan memudahkan segalanya untuk kita. Kenderaan hanyalah wasilah (alat), manakala hakikat kemudahan datang daripada Allah SWT.
Perasaan Kehambaan dan Perjalanan Malam
Pengajaran yang boleh diambil ialah untuk bertemu Allah SWT, kita perlu memiliki rasa kehambaan yang mendalam, penuh dengan kesedaran bahawa kita ini lemah dan bergantung sepenuhnya kepada Allah. Kehambaan inilah yang menjadi asas hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. Dalam konteks perjalanan Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW menunjukkan contoh kehambaan yang sempurna, seperti disebut dalam Surah Al-Isra' (17:1):
"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa..."
Allah menyebut Rasulullah sebagai hamba-Nya (عَبْدِÙ‡ِ), bukan dengan gelaran lain seperti Nabi atau Rasul, untuk menekankan sifat kehambaan ini. Kehambaan adalah kedudukan paling mulia di sisi Allah.
Selain itu, perjalanan malam ini boleh dijadikan iktibar kerana waktu malam adalah waktu yang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, terutama dalam keadaan tenang, sunyi, dan jauh dari gangguan dunia.
Keistimewaan Dua Masjid
Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa adalah dua tempat suci yang memiliki kedudukan istimewa dalam Islam. Masjidil Haram, yang terletak di Mekah, menjadi lokasi Kaabah, iaitu kiblat solat umat Islam. Kaabah merupakan rumah ibadah pertama yang dibina untuk manusia dan berfungsi sebagai petunjuk bagi seluruh alam. Sementara itu, Masjidil Aqsa pernah menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum Allah SWT memerintahkan agar kiblat diubah ke arah Kaabah di Masjidil Haram.
Perjalanan Mikraj dan Pertemuan dengan Nabi-Nabi
Langit Pertama:Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Adam AS, nabi pertama. Nabi Adam menyambut salam Nabi Muhammad SAW dan membalasnya.
Langit Kedua:
Di langit kedua, Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS. Mereka berdua menyambut salam Nabi Muhammad SAW.
Langit Ketiga:
Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Yusuf AS.
Langit Keempat:
Di langit keempat, Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Idris AS.
Langit Kelima:
Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Harun AS.
Langit Keenam:
Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Musa AS.
Langit Ketujuh:
Di langit ketujuh, Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Ibrahim AS. Baginda sedang bersandar di Sidratul Muntaha, di sana pokok yang sangat besar, di mana daun-daunnya sebesar telinga gajah dan buahnya sebesar tempayan.
Perintah Solat.
- Di Sidratul Muntaha, Nabi Muhammad SAW juga melihat Baitul Makmur di langit.
- Nabi Muhammad SAW menerima perintah dari Allah untuk solat sebanyak lima waktu sehari semalam, yang pada asalnya diwajibkan sebanyak lima puluh waktu. Namun, setelah beberapa kali menghadap Allah, jumlahnya dikurangkan kepada lima waktu solat sahaja.
Kisah di Makkah Setelah Mikraj
Setelah turun dari perjalanan Mikraj, Nabi Muhammad SAW bimbang bagaimana untuk memberitahu orang Makkah mengenai peristiwa yang luar biasa ini. Baginda menceritakan pengalaman tersebut kepada Abu Jahal dan orang-orang Makkah.
Abu Jahal dan beberapa orang Makkah yang mendengarnya tidak percaya. Ada yang memperlekeh dan ada yang menjadi murtad kerana tidak mempercayainya.
Peniaga Makkah yang sering pergi ke Baitul Maqdis kemudian menguji Nabi Muhammad SAW dengan pertanyaan mengenai Baitul Maqdis. Nabi Muhammad SAW menjawab dengan tepat dan lancar dan para peniaga ini membenarkan jawapan Nabi.
1. Jangan Jadikan Masjid Tempat Berpecah Belah (Surah At-Taubah 9:107)
- Masjid adalah tempat penyatuan umat Islam, bukan tempat perpecahan. Peristiwa Israk Mikraj menunjukkan penghormatan terhadap masjid, di mana Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa adalah tempat yang sangat mulia. Umat Islam disarankan untuk menjadikan masjid sebagai tempat beribadah, berkumpul, dan bersatu dalam kebaikan dan perjuangan agama.
- Surah At-Taubah 9:107 menegaskan pentingnya menjaga kesatuan dan menghindari perselisihan dalam masjid:
"Dan (ada juga) orang-orang yang membangun masjid untuk mendatangkan kemudaratan, kekafiran, perpecahan di antara orang-orang mukmin dan untuk mempersiapkan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka bersumpah bahwa kami hanya menginginkan kebaikan, tetapi Allah menjadi saksi bahwa mereka itu adalah pendusta."
- Umat Islam harus menjaga keharmonian dalam masjid dan mempergunakan tempat itu untuk kebaikan bersama.
2. Kasih Sayang Sesama Orang Beriman (Surah Al-Maidah 5:54)
- Kasih sayang dan persaudaraan sesama umat Islam adalah asas dalam Islam. Surah Al-Maidah 5:54 mengingatkan umat Islam untuk salim dan mendukung satu sama lain dalam kebaikan.
"Wahai orang-orang yang beriman! Barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia cinta kepada mereka dan mereka pun cinta kepada-Nya, yang bersikap lembut terhadap orang-orang beriman, tegas terhadap orang-orang kafir, yang berjuang di jalan Allah dan tidak takut terhadap celaan orang yang suka mencela."
- Israk dan Mikraj menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya untuk saling mengasihi dan menjaga persaudaraan. Umat Islam harus bersatu hati.
3. Tegas dengan Orang Kafir (Peristiwa Perang Mu'tah dan Bani Qainuqa)
- Dalam peristiwa Perang Mu'tah, Nabi Muhammad SAW menunjukkan ketegasan ketika duta Islam dibunuh oleh pihak kafir. Nabi tidak membiarkan kezaliman ini berlalu tanpa tindakan dan mengarahkan tentera Islam untuk berperang, yang akhirnya menunjukkan kekuatan dan ketegasan umat Islam terhadap orang kafir yang menzalimi.
- Begitu juga dalam kisah Bani Qainuqa, di mana seorang wanita Muslimah dihina oleh kaum Yahudi yang mendedahkan auratnya. Nabi Muhammad SAW bertindak tegas, menghantar tentera untuk memberikan pengajaran kepada mereka atas kezaliman yang dilakukan terhadap umat Islam.
- Umat Islam perlu tegas dalam mempertahankan agama dan hak-hak umat Islam apabila berhadapan dengan pihak yang menzalimi atau merendahkan agama Islam.













Catat Ulasan