Kuliah Maghrib 14 Oktober 2025, Ustaz Mohd Asri Awang

Tarikh Penceramah Tajuk
14/10/2025 Ustaz Mohd Asri Awang

Nota Kuliah

Allah mengecam, yakni Allah membenci orang-orang yang suka berburuk sangka. Allah tidak meredai perbuatan tersebut sebagaimana disebut dalam al-Quran:


“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan. Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.”
(QS. Al-Hujurat [49]:12)

 

Maksudnya, Allah menyuruh agar kita menjauhkan diri daripada sangkaan buruk. Janganlah membuat sangkaan yang tidak benar, kerana sebahagian daripada sangkaan itu merupakan dosa yang besar.

Firman Allah lagi:


“Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.”
(QS. Al-Hujurat [49]:12)

 

Kita ini sering mencari kesalahan orang lain, sedangkan kesalahan kita sendiri banyak tetapi kita tidak nampak. Bahkan, kita gemar mencari-cari kesalahan orang lain sehingga perkara itu menjadi kebiasaan.

Firman Allah juga:


“Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu jijik kepadanya.”
(QS. Al-Hujurat [49]:12)

 

Cukup banyak peringatan daripada Allah tentang hal ini. Maknanya, banyak manusia yang telah melakukan dosa mengumpat. Jika diberi pilihan antara memakan bangkai haiwan atau bangkai manusia, sudah tentu kita memilih haiwan, kerana bangkai manusia itu sangat menjijikkan.


Allah memberi perumpamaan bahawa orang yang mengumpat sama seperti memakan daging saudara sendiri yang telah mati. Maka bertakwalah kepada Allah. Maksud bertakwa ialah mengamalkan segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah. Salah satu larangan besar ialah mengumpat dan mencari kesalahan orang lain.

Allah berfirman lagi:


“Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”
(QS. Al-Hujurat [49]:12)

 

Allah menyuruh kita berhenti daripada mengumpat, kemudian memohon keampunan-Nya. Allah menyediakan keampunan bagi orang yang bertaubat.


Ingatlah untuk diri sendiri juga — jika terlupa, nasihatlah. Kadangkala kita terleka, namun bukan menjadi kebiasaan. Itu masih boleh diperbaiki. Tetapi apabila perbuatan mengumpat menjadi amalan setiap pagi, petang, siang, dan malam, itu menunjukkan bahawa hati sudah terbiasa dengan dosa yang sangat jijik di sisi Allah SWT.


Mudah-mudahan kita mendapat sedikit pengajaran daripada peringatan ini. Ingatlah, mengumpat diumpamakan seperti memakan daging manusia yang telah mati.


Menyebut hal orang lain tanpa sebab yang dibenarkan adalah mengumpat. Jika perkara yang disebut itu tidak disukai oleh orang yang diperkatakan, maka itu termasuk dalam kategori mengumpat. Allah tidak menyukai perbuatan itu kerana Dia ingin memberi kepada kita hati yang bersih. Hati yang bersih bukan mudah untuk dijaga, tetapi bukan juga mustahil untuk dicapai jika kita berusaha menjauhi perkara yang jijik di sisi Allah.


Berburuk sangka dan mencari kesalahan orang lain menjadikan hati kotor. Oleh itu, jika mendengar sesuatu, cukuplah tidak menambahnya. Jangan sibuk membicarakan hal orang lain.


Allah memberi perumpamaan bahawa manusia tidak akan memakan daging manusia melainkan orang yang hilang akal. Ini menunjukkan betapa jijiknya perbuatan mengumpat. Maka Allah menyamakan perbuatan mengumpat dengan memakan daging saudara sendiri — suatu perbuatan yang sangat kejam dan hina.


Kesan daripada mengumpat ialah menghapuskan pahala amal dan kebaikan orang yang melakukannya. Pahala amalan dan sedekah akan diambil oleh orang yang diumpat.


Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda:

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?”
Sahabat menjawab, “Orang yang tidak mempunyai dirham dan tidak mempunyai harta.”
Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, pahala puasa, dan pahala zakat, tetapi dia telah mencaci, menuduh, memakan harta orang tanpa hak, menumpahkan darah, dan memukul orang lain. Maka segala kebaikannya akan diberikan kepada orang yang dizaliminya. Jika pahala itu habis sebelum selesai, dosa orang yang dizalimi akan dipindahkan kepadanya, lalu dia dicampakkan ke dalam neraka.” — (Hadis Riwayat Muslim, no. 2581)

 

Demikianlah orang yang muflis. Orang yang suka mengumpat akan kehilangan pahala amalannya. Pahala yang dikumpulkan selama bertahun-tahun boleh hilang begitu sahaja kerana dosa lidah.


Apabila pahala seseorang habis, sedangkan tuntutan orang yang dizalimi belum selesai, maka dosa orang itu akan dipindahkan kepadanya. Dosa orang lain ditanggung oleh pengumpat.


Kita tidak nampak dosa itu di dunia, tetapi di akhirat barulah jelas segala akibatnya. Di dunia kita seronok bercerita hal orang, tetapi di akhirat nanti kita akan menyesal. Dalam hadis, Rasulullah SAW menyebut bahawa orang yang suka mengumpat akan diberikan dosanya kepada orang yang diumpat, manakala pahala amalnya dipindahkan kepada orang yang dizalimi.


Sebab itu di akhirat nanti, ramai orang akan terkejut apabila melihat amalannya kosong, tiada pahala yang tersisa, kerana semuanya telah berpindah kepada orang yang pernah diumpat.


Orang yang suka mengumpat tidak akan mendapat ketenangan, bahkan akan dibenci oleh orang lain. Mengumpat juga menyebabkan hati menjadi hitam. Setiap kali seseorang mengumpat, satu titik hitam akan muncul di hatinya.


Perbuatan ini sangat mudah dilakukan — di mana-mana sahaja. Di masjid, di pejabat, di rumah. Kadangkala isteri mengumpat jiran, kadangkala suami bercerita hal orang lain. Kadang-kadang hanya kerana perkara kecil seperti makanan, timbul umpatan dan perbandingan.


Kita tidak sedar bahawa setiap perkataan yang keluar itu boleh menjadi dosa besar di sisi Allah.


Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk menjauhkan diri daripada perbuatan mengumpat. Kita bimbang, di akhirat kelak, amal yang dikumpul hilang begitu sahaja kerana dosa lidah. Mudah-mudahan Allah menjauhkan kita daripada golongan yang suka mengumpat, dan menjadikan kita termasuk dalam golongan orang yang berkata baik serta menjaga lidahnya sepanjang kehidupan.


Itulah yang Nabi sebut: iaitulah muflis. Sehingga sahabat pun sukar membayangkannya. Nabi bertanya, “Wahai sahabat, tahukah kamu siapa orang yang muflis?” Orang yang muflis ialah orang yang mempunyai amalan, dia bersembahyang, dia berpuasa, dia bersedekah, tetapi dia tidak selamat kerana perbuatannya yang lain. Dia mempunyai segala-galanya dari segi amalan, tetapi dia telah melakukan perkara yang sangat dikeji sehingga pahala itu tidak membawa manfaat.


Perbuatan yang dibenci itu ialah mencari-cari cela dan kesalahan orang lain serta mengumpat. Ini bukan perkara remeh; ada orang yang kuat melakukan perbuatan ini sehingga ia bagaikan memakan daging saudara yang telah mati. Hati orang yang melakukan demikian menjadi hitam dengan titik-titik dosa.


Tidak mustahil perkara ini berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk suami atau isteri; tidak ada jaminan untuk terhindar kecuali dengan takwa. Untuk mencegah perbuatan buruk tersebut, elakkan berkata-kata yang tidak baik dan banyakkan mengingati nama Allah. Dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang; tambah amalan, sedikit pun jika istiqamah, lebih baik daripada amalan yang sedikit tetapi sia-sia.


Mengubah hati dan menghapus kebiasaan buruk bukan sesuatu yang sekejap. Solat sunat dua minit atau amalan ringkas boleh memberi perubahan, tetapi yang lebih penting ialah hati yang dibaiki sehingga hilang dengki, iri hati, dan perasaan buruk terhadap orang lain. Kadangkala kita sangat iri hati dengan kelebihan orang lain; untuk melihat keadaan hidup sebenar, lihatlah kepada orang fakir. Dengan melihat cara hidup orang miskin, kita sedar bahawa harta dunia tidak menjamin ketenangan hati. Bandingkan diri kita dengan orang yang benar-benar kekurangan, dan syukurilah nikmat yang Allah kurniakan.


Apabila kita melakukan perkara yang Allah larang, seperti mengumpat atau mencari keaiban orang lain, ia menimbulkan dendam dan memutuskan hubungan. Perbuatan itu menjadikan orang lain sensitif dan merosakkan keharmonian hubungan. Oleh itu, apabila berhadapan dengan perkara yang tidak kena, lebih baik menegur secara baik kepada orang tersebut daripada menceritakannya kepada orang lain. Bertemu dan bercakap terus dengan orang itu adalah penyelesaian yang lebih baik.


Rasulullah SAW mengingatkan bahawa sesiapa yang mencari keaiban saudaranya, nescaya Allah akan dedahkan keaibatannya sendiri. Walaupun seseorang itu berada di dalam rumah, keaiban boleh terbongkar. Maka jangan sibuk mencari kelemahan orang lain; lebih baik kita membetulkan kelemahan diri sendiri.


Hati yang sering mengumpat akan menjadi gelap; apabila hati gelap, hidup jadi gelisah. Orang yang baik pun dilihat buruk oleh mereka yang hatinya gelap. Hati yang diliputi titik-titik dosa tidak akan mendapat ketenangan dan kasih sayang Allah. Iman yang diucapkan tetapi tidak membasah hati adalah iman yang belum sempurna; iman sebenar ialah pengakuan yang disertai oleh hati yang ikhlas dan amal yang betul.


Jika kita melihat sesuatu yang tidak betul terhadap saudara, lebih baik berjumpa dan menegur dengan cara yang baik daripada menceritakan kepada orang lain. Teguran yang disampaikan dengan hikmah adalah lebih berkesan. Jangan terus menghukum atau menghebahkan kekurangan orang tanpa usaha memperbaiki secara peribadi.


Semoga Allah mengurniakan kita hati yang bersih, menjauhkan kita daripada sifat mengumpat dan mencari-cari kesalahan orang lain, serta memelihara kita daripada menjadi muflis pada hari pembalasan. Semoga Allah membantu kita membersihkan akhlak dan menjadikan kita orang yang bertanggungjawab dalam menjaga hubungan sesama Islam.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama