
Salah satu keistimewaan yang diberikan kepada umat Islam di dunia ini adalah persaudaraan di bawah kalimah La ilaha illallah. Tidak kira dari mana asalnya, Muslim dan mukmin tetap dipersaudarakan oleh pegangan yang sama. Namun, dalam menjalani kehidupan ini, perlu diingat bahawa umat Islam memiliki musuh-musuh yang berusaha menghalangi mereka dari jalan yang lurus. Jika Allah S.W.T sendiri dimusuhi oleh iblis dan orang kafir, maka umat Islam sebagai makhluk-Nya juga akan dimusuhi oleh mereka yang tidak menyukai Allah, agama, dan orang-orang beriman.
MUSUH SEBENAR
Kadang-kadang kita sendiri tidak menyedari siapa musuh-musuh kita. Menurut pandangan Imam Ahmad bin Sahl, ada tiga musuh utama bagi orang beriman, yang masing-masing memiliki pengaruh besar dan cabaran tersendiri. Musuh-musuh ini dikenal pasti sebagai dunia, syaitan, nafsu dan hawa. Memahami ketiga-tiga musuh ini adalah langkah pertama untuk melindungi diri dan tetap berada di jalan yang diredhai Allah S.W.T.
- Musuh pertama ialah dunia, senjatanya ialah makhluk (penjaranya ialah uzlah1). Dunia adalah ujian yang besar bagi umat Islam. Kita hidup di dalam dunia ini, berinteraksi dengan harta benda, kekayaan, keluarga, dan pelbagai kesenangan lain. Namun, jika kita terlalu terpaut kepada dunia, ia akan menjadi musuh yang mengalihkan perhatian kita dari akhirat. Imam Ahmad bin Sahl menyatakan bahawa dunia ini umpama senjata yang melalaikan kita, dan tempat perlindungan daripadanya ialah dalam berzuhud, iaitu bersederhana dan tidak terlalu tamak. Dunia boleh menjadi musuh kepada kita, termasuk dalam bentuk orang yang paling dekat seperti anak dan isteri, terutama jika mereka membawa kita ke arah kehancuran. Harta benda dan keluarga adalah perhiasan hidup yang indah, namun kadangkala perhiasan ini membuat kita lalai daripada mengingati Allah S.W.T.
- Musuh kedua ialah syaitan, senjatanya ialah kenyang (penjaranya ialah lapar). Syaitan adalah musuh abadi umat manusia sejak dari zaman Nabi Adam A.S. lagi. Syaitan memiliki banyak cara untuk menyesatkan manusia, dan menurut Imam Ahmad bin Sahl, senjata utama syaitan adalah kenyang, manakala penjaranya ialah lapar. Syaitan menyesatkan manusia melalui kesenangan dan kenikmatan yang berlebihan, sehingga melalaikan mereka daripada ibadah dan ketaatan kepada Allah. Jika kita mampu menahan keinginan dan tidak terlampau mengikuti hawa nafsu, kita akan lebih mampu menghindari perangkap syaitan.
- Musuh ketiga ialah nafsu, senjatanya ialah tidur (penjaranya ialah dengan berjaga malam). Nafsu adalah musuh yang paling sukar kerana ia sangat dekat dengan diri kita sendiri, seolah-olah menjadi sebahagian daripada kita. Dikatakan senjata nafsu adalah tidur, manakala penjaranya ialah berjaga malam dan melakukan ibadah tahajud. Nafsu ini terdapat dalam diri setiap manusia. Kita semua memilikinya dan perlu mengawalnya dengan bijak. Nafsu menjadi bahaya apabila ia mengatasi akal dan iman sehingga menyebabkan seseorang terjerumus dalam perbuatan yang menyalahi syariat dan menjauhkan diri daripada Allah. Salah satu ujian paling besar datang daripada nafsu yang tidak terkawal. Bukan semua nafsu itu jahat. Terdapat juga nafsu baik yang mampu mengarahkan kita ke jalan kebenaran. Namun, jika nafsu tidak dikendalikan oleh akal dan iman, ia boleh membawa kepada kebinasaan diri.
- Musuh keempat hawa, senjatanya ialah banyak bercakap (penjaranya ialah diam). Hawa menurut Imam Ahmad bin Sahl, senjatanya bercakap, dan penjaranya ialah diam. Sebagaimana sabda Nabi SAW;
"dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam".—HR.Bukhari no.6018.
PERANGKAP SYAITAN
Antara musuh manusia ialah hawa nafsu dan syaitan yang sentiasa membisikkan kemungkaran dalam hati. Dalam Islam, terdapat hadis yang mengingatkan kita tentang bahayanya syaitan yang sentiasa mencari ruang dalam kelemahan manusia untuk menyesatkan mereka. Sebagai contoh, dalam Surah Yasin, Allah mengingatkan bahawa syaitan adalah musuh yang nyata, dan kita diseru agar tidak menyembahnya. "Sembah" di sini bukan bermaksud menyembah secara fizikal tetapi menuruti bisikannya dengan mengutamakan dunia lebih dari perintah Allah.
Syaitan sering mempergunakan kelemahan manusia terhadap harta dan wang ringgit, sehinggakan ada yang sanggup melupakan kewajipan agama demi mengejar rezeki duniawi. Umat akhir zaman akan menjadikan dinar dan dirham sebagai "sembahan" mereka, ini merujuk kepada ketamakan yang menyebabkan mereka lupa untuk mendahulukan Allah dalam kehidupan seharian. Mereka sanggup meninggalkan solat, bahkan melupakan hari Jumaat semata-mata untuk mengejar harta.
Satu lagi perangkap syaitan adalah sikap melampaui batas dalam makan dan minum. Nabi SAW pernah bersabda;
"Seorang mukmin makan dengan satu perut, sementara seorang kafir makan dengan tujuh perut". — HR.Bukhari no. 4974.
Hati manusia merupakan medan pertempuran antara bisikan malaikat dan syaitan. Malaikat mengajak kepada kebaikan, sementara syaitan menanamkan benih kejahatan. Nabi SAW mengajarkan kita doa agar Allah meneguhkan hati kita. Doa ini penting kerana hati manusia mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan yang halus, sehinggakan kita mungkin tidak sedar bahawa kita telah tersasar daripada jalan yang lurus.
Sejak dari awal penciptaan Nabi Adam AS, syaitan telah menjadi musuh keturunan manusia. Ketika Adam diperintahkan untuk tidak mendekati pohon terlarang, syaitan dengan licik menggoda baginda sehingga melanggar larangan tersebut. Kisah ini menunjukkan bahawa syaitan akan terus menerus menghasut keturunan manusia untuk mengingkari Allah. Syaitan menggambarkan maksiat sebagai sesuatu yang indah dan menarik, sementara perkara baik dan halal diwarnai dengan keburukan agar manusia menjauhinya.
Dalam kehidupan moden ini, banyak perbuatan yang dulunya jelas ditegah kini dianggap biasa. Syaitan berjaya dalam misinya apabila manusia menganggap perkara yang bertentangan dengan agama sebagai sesuatu yang boleh diterima. Oleh itu, kita harus sentiasa ingat untuk menjaga hati dan melawan bisikan syaitan dengan memperbanyakkan ibadah dan mengingati Allah.
Hati yang dijaga dan disirami dengan ilmu serta amalan soleh akan menjadi benteng kukuh yang mampu menolak bisikan syaitan dan nafsu buruk. Sesungguhnya, kehidupan ini adalah medan perjuangan, dan hanya mereka yang sentiasa dekat dengan Allah akan berjaya dalam peperangan ini.
Mati tidak mengenal usia
Pada usia 40 tahun, dikatakan kehidupan sebenar baru bermula, ketika kita lebih matang dan berpengalaman. Namun, sering kali kita menangguhkan perkara penting seperti taubat dan ibadah, berharap akan ada masa yang lebih sesuai di masa depan. Namun ramai yang meninggal dunia pada hari ini bukanlah dari golongan orang-orang tua sahaja, sebaliknya ajal turut menjemput orang-orang yang lebih muda juga.
Imam Ghazali menegaskan bahawa syaitan akan sentiasa berusaha untuk menunda kita daripada bertaubat, memberi alasan bahawa masih ada masa. Untuk mengatasi bisikan ini, kita harus ingat bahawa ajal adalah ketentuan Allah, bukan syaitan, dan kematian boleh datang secara tiba-tiba, bahkan ketika tubuh masih sihat. Melihat pengurusan jenazah di masjid boleh mengingatkan kita tentang kematian dan pentingnya bertaubat segera.
Kita perlu sentiasa bersedia, bertawakal, dan bertaubat dengan sepenuh hati setiap hari, memohon keampunan Allah dan memaafkan orang lain, termasuk keluarga kita, sebelum tidur. Ini penting kerana ajal tidak mengenal waktu.
Syaitan juga mengganggu kita dengan membuat kita tergesa-gesa dalam ibadah, menjadikan solat dan bacaan Al-Quran dilakukan secara sambil lewa. Kita sering lebih memberi masa kepada urusan duniawi, seperti makan dan berbual, berbanding ibadah. Kita harus memperbaiki diri dan memberikan waktu yang seimbang untuk urusan dunia dan akhirat.
Antara tipu daya syaitan juga adalah mengabaikan nilai ibadah berjemaah, terutama solat di masjid. Syaitan akan membuat kita mengutamakan perkara dunia, seperti waktu rehat dan makan, berbanding ibadah. Berada bersama sahabat yang menjaga waktu solat adalah satu kekuatan yang patut dihargai.
Akhir sekali, syaitan akan mencemari niat kita dalam melakukan amal, menjadikan amal yang kelihatan baik, tetapi dengan niat yang tidak tulus.
1. Pengasingan diri daripada orang banyak; beruzlah mengasingkan diri










Catat Ulasan