

Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
10 Disember 2024 | Ustaz Mohd Asri Awang | Fiqh Manhaji Mazhab Shafie |
MUKADIMAH
Bersyukur kepada Allah kerana menggolongkan kita dalam kalangan hamba Allah yang masih hidup. Sedangkan ada orang lain yang sudah dijemput oleh Allah.
Amalan yang dilakukan adalah perintah Allah dan Rasul-Nya, dan menjadi kewajipan untuk melaksanakannya dengan baik dan betul serta berpandukan kepada apa yang diajarkan oleh Nabi SAW. Barulah ibadah itu dikira sebagai ibadah yang berkualiti.
Di masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), hampir setiap hari ada solat jenazah. Kita tidak tahu esok hari siapa pula yang akan dijemput oleh Allah.
Maka, sebelum kita dijemput oleh Allah, sebaiknya kita berbuat baik kepada Allah kerana nyawa kita berada di tangan-Nya. Jangan sombong. Jangan hanya ingat Allah ketika sakit, tetapi lupa kepada-Nya saat kita senang.
Nabi SAW bersabda;
"Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang."— HR. Bukhari no. 5933
Manusia sering alpa menggunakan nikmat kesihatan untuk menghadirkan diri ke masjid, memanfaatkan waktu sihat untuk belajar, menunaikan solat, dan membaca al-Quran. Manusia juga sering lupa walau sesibuk mana sekalipun, Allah sentiasa memberikan kita masa lapang.
Nabi Muhammad SAW, merupakan manusia yang paling sibuk, tetapi baginda tetap meluangkan masa untuk ke masjid. Baginda bukan sahaja menunaikan solat fardu, malah solat malam sehingga bengkak kakinya, sebagai tanda syukur atas nikmat Allah, meskipun baginda sudah dijamin syurga.
Dengan saki-baki usia yang masih berbaki, kita harus berusaha mendekatkan diri kepada Allah dan memperbaiki hubungan dengan-Nya. Allah amat menyukai hamba-Nya yang sentiasa mengingati-Nya dan melakukan amal soleh. Allah juga mencintai mereka yang melangkahkan kaki ke masjid. Mudah-mudahan kita semua dibimbing oleh Allah untuk istiqamah ke masjid dan menjauhi solat bersendirian.
Bagi lelaki, solat berjemaah di masjid adalah tanggungjawab utama, bukan di rumah. Isteri yang meredai suaminya ke masjid turut mendapat ganjaran pahala berjemaah, meskipun dia solat bersendirian di rumah. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menghidupkan sunnah ini dalam kehidupan.
Janganlah kita hanya datang ke masjid apabila ada kematian, atau lebih malang, hanya hadir ke masjid ketika diusung sebagai jenazah. Malulah kepada Allah Taala jika hal demikian berlaku.
Sebelum nyawa diambil, ketika tubuh masih sihat dan masa lapang masih ada, datanglah ke masjid dan dekati rumah Allah. Jadikan masjid tempat mendekatkan diri kepada-Nya sebelum tiba saat kematian. Mudah-mudahan iktibar dari kematian boleh menjadi bekal keinsafan, mengingatkan kita akan detik menghadapi sakaratul maut. Renungilah, kerana setiap dari kita pasti akan menempuhnya. Jadikanlah solat terakhir hidup kita adalah solat secara berjemaah, dan dilakukan di rumah Allah. Orang yang solat berjemaah, tidak akan rugi buat selama-lamanya.
Bertaubatlah kepada Allah atas kelekaan dan kesalahan yang pernah kita lakukan di masa yang lalu. Kerana perintah meminta ampun adalah perintah Allah.
وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa." — Ali Imran, ayat 133
Salah satu tanda orang yang ingin meminta ampun (taubat) kepada Allah ialah dengan menghadirkan diri ke masjid.
KADAR BUNYI SEBUTAN DALAM SOLAT
Kita solat ikut Nabi, solat tidak boleh direka-reka, sebagaimana sabda baginda
"Solatlah sebagaimana kamu lihat aku solat."— HR. Bukhari no.631
Dalil bacaan kuat:
Nabi menyaringkan suara ketika solat jahar (Maghrib, Isyak, Subuh)
Dalil: Jubair bin Nufair berkata: ‘Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah At-Thur dalam solat Maghrib.’ — HR. Muslim No.747
Dalil bacaan perlahan:
Dari Khabbab bin al-Aratt RA, beliau berkata: "Kami pernah solat bersama Nabi SAW ketika Baginda berada di Mekah, dan kami tidak mendengar apa-apa bacaan selain pergerakan janggut Baginda yang bergerak perlahan dalam solat Zohor dan Asar. Baginda membaca dengan perlahan sehingga tidak terdengar bacaan Baginda kecuali pada janggutnya."— HR. Bukhari no.733
Pengajaran
Sebahagian makmum hari ini membaca bacaan solat dengan suara yang kuat, yang kadangkala mengganggu konsentrasi orang di sebelah mereka. Hal ini berbeza dengan amalan Nabi Muhammad SAW yang membaca bacaan solat Zohor dan Asar dengan suara perlahan (israr) sehingga hanya Baginda sahaja yang mendengarnya. Sahabat hanya mengetahui Nabi membaca ayat di dalam solat berpandukan pergerakan janggut baginda.
Ulama mensyaratkan bahawa bacaan perlahan adalah apabila seseorang membaca dengan suara yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri (maksudnya: mulut baca, telinga menghayati). Jika bacaan tersebut dapat didengari oleh orang di sebelah, maka ia dianggap sebagai bacaan yang kuat dan hukumnya makruh, serta harus dielakkan dalam solat. Jika gangguan tersebut sangat kuat sehingga mengganggu orang lain, maka hukumnya menjadi haram.
Kadar bacaan paling ringan menurut ulama' ialah menggerakkan lidah dan bibir tanpa mengeluarkan bunyi yang bacaan yang kuat hingga orang sebelah tidak tahu kita membaca ayat di dalam solat. Tetapi jika lidah, bibir atau mulut tidak bergerak perbuatan itu akan membatalkan solat.

























Catat Ulasan