
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
08/12/2024 | Ustaz Fazrul Ismail | — |
As-Saff, ayat 1
"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Mengapa bertasbih?
Jawapannya terdapat dalam ayat 30 Surah Al-Baqarah:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.' Mereka berkata: 'Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu?' Tuhan berfirman: 'Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.'"
Ayat ini menceritakan penciptaan Nabi Adam A.S. sebagai khalifah di muka bumi dan dialog antara Allah dengan para malaikat. Malaikat mengetahui bahawa makhluk yang taat kepada Allah adalah mereka yang sentiasa bertasbih, manakala makhluk yang tidak bertasbih berpotensi melakukan kerosakan dan menumpahkan darah.
Seseorang yang melakukan kerosakan akan membawa kemudaratan kepada masyarakat. Sebagai contoh, seorang jurutera yang tidak mengikut standard penyelenggaraan jalan akan menyebabkan jalan cepat rosak, mengancam nyawa pengguna. Begitu juga dengan seorang pemimpin yang tidak amanah, dia boleh merosakkan masyarakat.
Segala sesuatu di langit dan di bumi yang bertasbih kepada Allah akan mengikuti peraturan-Nya dengan tepat, seperti matahari yang sentiasa terbit dan terbenam pada waktunya.
Namun, terdapat dua makhluk yang dipersoalkan oleh malaikat kerana walaupun bertasbih, mereka masih tidak sepenuhnya taat kepada Allah, iaitu jin dan manusia.
Allah menjawab persoalan malaikat dengan menyatakan bahawa Dia mengetahui apa yang tidak diketahui oleh malaikat. Malaikat sentiasa bertasbih kerana ia adalah tugas mereka, tetapi manusia bertasbih atas pilihan mereka. Allah memuji manusia yang memilih untuk bertasbih walaupun mereka mempunyai pilihan untuk tidak melakukannya.
Ketika manusia bertasbih dalam sujud dan rukuk (di dalam solat), ia menjadi bukti kepada kebenaran firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 30: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." Perbuatan tasbih ini menjadikan manusia sebagai saksi kebenaran ayat tersebut.
Penghujung surah As-Saff, ayat 1, Allah menyatakan:
"Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" – (As-Saff, ayat 1)
Jika kita boleh bertasbih dan mengikut peraturan Allah, kita seharusnya bersyukur kerana semua itu berlaku dengan pertolongan Allah.
Sebagai contoh, matahari yang terbit dan terbenam bukanlah kerana kehebatannya sendiri, tetapi atas izin Allah.
Begitu juga, kemampuan manusia untuk bersujud dan bertasbih datang daripada Allah, bukan kerana kehebatan manusia itu sendiri. Amalan kita akan tertolak sekiranya kita menganggap perbuatan tersebut hasil daripada kehebatan kita sendiri.
Al-Aziz dan Al-Hakim
Allah mengaitkan nama-Nya Al-Aziz (Yang Maha Kuasa) bersama dengan Al-Hakim (Yang Maha Bijaksana) untuk menunjukkan kasih sayang-Nya kepada hamba-Nya.
Sebagai analogi, penguat kuasa parkir yang mempunyai kuasa untuk menyaman kenderaan kerana kelewatan membayar parkir walaupun hanya lima minit adalah berhak melakukannya. Begitu juga, Allah Yang Maha Kuasa berhak mengambil tindakan terhadap manusia yang melambatkan pelaksanaan solat dan kewajipan lain. Namun, Allah Yang Maha Bijaksana memberi peluang kepada hamba-Nya untuk bertaubat dan mengampunkan mereka yang melakukan kesilapan.
Kita harus mengambil inspirasi daripada kasih sayang Allah ini dan bersyukur atas peluang tersebut. Pada masa yang sama, kita perlu berikrar untuk melaksanakan ibadah pada waktu yang telah ditetapkan.
As-Saff, ayat 2
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya?”
Allah mengingatkan manusia bahawa orang yang tasbihnya mengikut peraturan ialah mereka yang melakukan apa yang diucapkannya.
Sebagai contoh, apabila kita bertasbih mensucikan Allah dengan mengucapkan Subhanallah, kita tidak seharusnya berfikiran buruk terhadap Allah. Ini kerana melalui tasbih tersebut, kita telah mensucikan-Nya daripada segala sifat kekurangan.
Begitu juga, jika kita menghadapi masalah berkaitan rezeki, janganlah kita memandang negatif terhadap Allah kerana hal tersebut. Sebaliknya, kita perlu terus melakukan kebaikan dengan penuh keyakinan bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana dalam menetapkan takdir hamba-Nya.
As-Saff, ayat 3
“Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”
Allah berhak murka terhadap orang yang mengucapkan Subhanallah tetapi tetap memandang negatif terhadap-Nya. Ucapan mereka tidak selari dengan perbuatan.
Sebagai contoh, seorang anak yang berjanji kepada ibu bapanya untuk melakukan sesuatu tetapi gagal melakukannya. Perbuatan seperti ini boleh menimbulkan kemarahan ibu bapa kerana ketidaktetapan antara kata-kata dan tindakan.
Semoga tiga ayat dari Surah As-Saff ini menjadi peringatan dan pemangkin untuk memperbaiki tasbih kita. Pastikan kita menjaga solat pada waktunya, dan sarankan kepada orang di bawah tanggungjawab kita untuk melakukannya juga.
Tasbih itu amat bernilai. Seorang manusia yang tidak bertasbih berpotensi untuk menjadi rosak dan juga merosakkan, seperti yang telah terjadi kepada orang-orang di I=sra.e=l yang pada hari ini banyak melakukan kerosakan.
Ibrah Untuk Guru
Antara Ibrah yang penting dalam surah ini yang dapat diambil oleh para guru adalah, dengan mengamalkan tasbih yang sebenar dalam kehidupan mereka, para guru akan dapat menunjukkan disiplin yang tinggi. Mereka akan hadir ke kelas tepat pada waktunya, menunjukkan sikap sabar dan tidak mudah marah terhadap anak murid, serta mengajar mengikut peraturan yang betul. Selain itu, guru yang mengadaptasi tasbih yang sebenar akan sentiasa mengekalkan sikap positif dan memberi teladan yang baik kepada anak murid mereka.
Akhirnya, tasbih bukan hanya sekadar ucapan di mulut atau amalan di jari, tetapi ia seharusnya diterjemahkan dalam setiap tindakan dan perbuatan kita sehari-hari. Dengan itu, tasbih akan menjadi amalan yang membawa kebaikan bukan hanya untuk diri kita, tetapi juga untuk orang lain di sekitar kita.










Catat Ulasan