```html
INFO
Sedang memuatkan jadual terkini...
```

Waktu Solat Temerloh Jaya

1 Ramadan

--- hari lagi

1 Syawal

--- hari lagi

10 Zulhijjah

--- hari lagi

Maulid Nabi

--- hari lagi

Kuliah Maghrib 17 Disember 2024, Ustaz Mohd Asri Awang

Tarikh Penceramah Tajuk
17/12/2024 Ustaz Mohd Asri Awang

Nota Kuliah

Adab-Adab Dengan Masjid


Imam Nawawi menegaskan beberapa adab yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam berkaitan masjid:


1. Haram bagi mereka yang berhadas besar, wanita dalam haid, atau nifas untuk memasuki masjid. Namun, ulama Mazhab Syafi'i dan Hanbali membolehkan mereka yang berhadas besar atau wanita dalam haid/nifas untuk melalui masjid dengan syarat mereka tidak berhenti. Jika ada keperluan seperti mengambil barang yang tertinggal, hukumnya harus, asalkan segera keluar selepas mengambil barang tanpa melakukan aktiviti lain.

 

Sebagai contoh, seorang wanita Muslimah yang berada dalam keadaan suci menghadiri kuliah agama tetapi kemudian mendapati dirinya dalam keadaan haid dan keluar dari masjid. Jika dia perlu kembali masuk untuk mengambil barangnya, dia boleh berbuat demikian tanpa melanggar hukum syarak, asalkan tidak duduk atau berhenti lama, kerana ia adalah satu keperluan yang dibolehkan.

 

2. Orang yang berhadas kecil boleh duduk di dalam masjid. Hukum ini membolehkan seseorang yang berhadas kecil untuk berada di masjid bagi tujuan keagamaan seperti mendengar kuliah, belajar ilmu, atau beriktikaf. Jika seseorang yang tidak mempunyai wuduk duduk di masjid tanpa sebarang tujuan tertentu, hukumnya tetap harus dan tidak berdosa. Sebagai contoh, menghadiri majlis ilmu atau beriktikaf akan memberikan pahala, iaitu pahala iktifak dan pahala berada di dalam majlis ilmu.

 

3. Hukum tidur di dalam masjid. Menurut ulama Mazhab Syafi'i, tidur di masjid adalah dibolehkan berdasarkan amalan para sahabat dan ahli suffah (golongan fakir yang tinggal di masjid Nabi). Tidur di masjid pernah dilakukan oleh sahabat seperti Abdullah Ibn Umar. Rombongan musafir juga dibenarkan tidur di masjid jika ada keperluan.

 

4. Makan di dalam masjid. Makan dan minum di dalam masjid adalah dibolehkan, seperti yang dapat dilihat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, di mana orang ramai berbuka puasa di dalam masjid, terutama pada hari Isnin dan Khamis, serta sepanjang bulan Ramadan. Namun, ia harus dilakukan dengan syarat tidak mengotorkan masjid dan menjaga kebersihannya.

 

Namun, adalah makruh bagi mereka yang memakan bawang putih, bawang besar, daun saderi, atau apa sahaja makanan yang mempunyai bau yang busuk dan ia tidak menghilangkan baunya sehingga memasuki masjid. Nabi SAW bersabda:

 

“Sesiapa yang makan dari pohon ini - iaitu bawang putih - maka janganlah dia mendekati masjid kami.” — HR. Bukhari no.853

 

Makanan seperti bawang putih, bawang besar, petai, dan durian perlu dielakkan jika seseorang hendak hadir berjemaah, melainkan dia telah membersihkan mulut atau bau tersebut telah hilang. Sama seperti makanan berbau kuat, bau rokok yang melekat juga boleh mengganggu keselesaan orang lain. Oleh itu, dianjurkan supaya orang yang merokok membersihkan diri terlebih dahulu sebelum hadir ke masjid, kerana hukumnya adalah makruh (bau).

 

5. Makruh membuat bising di dalam masjid. Masjid adalah tempat ibadah, zikir, dan pembelajaran. Oleh itu, menjaga ketenangan di masjid adalah amat penting. Berbuat bising seperti bercakap kuat atau bergelak ketawa boleh mengganggu mereka yang sedang beribadah atau mendengar kuliah agama.

 

6. Membawa binatang adalah ditegah.

 

7. Keberadaan Orang Gila di dalam masjid. Mereka yang berpenyakit jiwa bimbang membawa kekotoran atau najis.

 

8. Hukum Membawa Anak-Anak ke Masjid. Menurut Imam Nawawi, membawa kanak-kanak yang belum mumaiyiz (belum mencapai usia matang, bawah 7 tahun) ke masjid adalah makruh, kecuali jika kanak-kanak itu dijaga dengan baik oleh penjaga mereka. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan gangguan atau kekotoran yang mungkin dibawa oleh mereka. Jika kanak-kanak tersebut membuat bising atau berlari-lari sehingga mengganggu jemaah lain, maka adalah lebih baik mereka tidak dibawa ke masjid. Sebahagian ulama mengatakan bahawa anak-anak kecil haruslah diletakkan di sebelah penjaga dan bukan dibiarkan bebas. Contohnya, pada hari ini, ada ibu bapa yang membenarkan anak kecil ke masjid, tetapi dalam masa sama mereka sendiri tidak hadir ke masjid.

 

Namun, ada riwayat yang menunjukkan Rasulullah SAW membawa cucu baginda ke masjid. Perkara ini menunjukkan bahawa membawa kanak-kanak ke masjid dibenarkan jika keadaannya terkawal dan tidak menimbulkan masalah.

 

9. Mengikut sunnah, orang yang ingin masuk ke masjid perlulah memastikan pakaian dan kasut bebas dari kekotoran. Sebelum masuk ke masjid, periksa dahulu tapak kasut atau selipar agar tiada najis yang dibawa masuk. Di tandas masjid pula, seeloknya sediakan alas kaki/selipar untuk mengelakkan najis dari terbawa ke kawasan wuduk atau masjid.


Apabila memasuki masjid, disunatkan untuk membaca doa masuk masjid:

 

اللهم افتح لي أبواب رحمتك 

“Allahumma iftah li abwaba rahmatik” 

“Maksudnya: Ya Allah, bukakanlah untukku pintu-pintu rahmat-Mu”. HR. Muslim no. 713

 

Orang yang duduk dalam masjid menunggu solat juga mendapat keutamaan besar. Dalam sebuah hadis, disebutkan bahawa malaikat akan mendoakan keampunan dan rahmat bagi mereka yang menunggu waktu solat di masjid, berdasarkan hadis dari Nabi SAW:

 

“Para malaikat akan mendoakan salah seorang diantara kalian selama ia masih di tempat solatnya, mereka , memohon: Ya Allah ampunilah dia, Ya Allah rahmatilah dia sebelum ia belum berhadas. Salah seorang diantara kalian dihitung dalam solat selagi mana ia menunggu waktu solat.'” HR. Muslim no. 649

 

Terdapat juga hadis yang menyebutkan tentang keutamaan pergi ke masjid dan balasan yang Allah sediakan di akhirat bagi mereka yang melakukannya, seperti yang dirujuk dalam sabda Rasulullah SAW:

 

“Barang siapa yang pergi ke masjid pada waktu pagi atau petang, maka Allah akan menyediakan baginya tempat persinggahan di syurga setiap kali dia pergi pagi atau petang.” — HR.Bukhari, no. 631, dan Muslim, no. 669)



Pengajaran Lain

  • Nabi SAW sangat menjaga solat sunat sebelum Subuh.
  • Waktu terbaik untuk bangun malam beribadah ialah sekitar 1 hingga 2 jam sebelum Subuh.
  • Masjid bukanlah seperti rumah kita sendiri, tempat kita bebas melakukan apa sahaja. Sebaliknya, ia adalah rumah Allah yang perlu dijaga adab dan kesuciannya.
  • Dinding masjid, baik luar mahupun dalam, mempunyai hukum yang sama dari segi kewajipan untuk dihormati. Ini termasuk juga bahagian atas masjid dan beranda masjid. Oleh itu, solat tahyatul masjid boleh dilakukan di tempat-tempat tersebut.
  • Makruh memasuki masjid tanpa melakukan solat sunat tahyatul masjid.
  • Secara sukarela, membersihkan sampah atau kotoran di dalam masjid adalah satu usaha yang baik untuk menjaga kesucian rumah Allah SWT.
Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama