Kuliah Maghrib 9 Disember 2024, Ustaz Ikhwan Haziq Asmuni

Tarikh Penceramah Tajuk
09/12/2024 Ustaz Ikhwan Haziq Asmuni

Nota Kuliah

MUKADIMAH

"Sesungguhnya keutamaan seorang yang berilmu dibandingkan dengan ahli ibadah adalah seperti keutamaan bulan pada malam purnama dibandingkan seluruh bintang-bintang."
— HR Abu Daud no. 3641, Ibnu Majah no.223

Orang alim lebih baik daripada ahli ibadah kerana ilmu yang dimiliki oleh orang alim dapat memberikan petunjuk dan cahaya kepada orang lain. Ahli ibadah mungkin banyak melakukan ibadah, tetapi mereka hanya mengerjakan amalan untuk diri mereka sendiri, tanpa mampu memberikan manfaat yang besar kepada umat. Dikatakan bahawa;

"Ahli ibadah seperti bintang-bintang di langit, namun orang alim adalah seperti bulan purnama, yang cahayanya menerangi alam." 

Bintang-bintang mungkin bercahaya, tetapi cahayanya tidak cukup terang untuk memberi panduan kepada orang yang berada dalam kegelapan. Sebaliknya, bulan purnama memberikan cahaya yang terang, yang dapat menerangi kegelapan malam dan memberikan petunjuk kepada mereka yang mencari jalan yang benar.

Rasulullah SAW bersabda; 
"Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Maka siapa yang mengambil ilmu tersebut, sungguh ia telah mengambil bahagian yang banyak." — HR. Abu Daud no.3641

Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang kaya, namun kekayaan yang dimilikinya tidak digunakan untuk kepentingan diri, sebaliknya beliau menyerahkan segala-galanya demi perjuangan agama. Baginda memberikan harta yang dimilikinya untuk kepentingan umat Islam dan untuk perjuangan menegakkan Islam. Bukti kekayaan Nabi dapat dilihat dalam firman Allah:

"Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan ibnu sabil..."  
— (QS. Al-Anfal: 41)

Walaupun tidak mewariskan harta kepada umat, namun Nabi telah mewariskan ilmu yang sangat berharga kepada umat Islam. Ilmu adalah salah satu harta yang paling berharga yang ditinggalkan oleh Nabi, yang harus diteruskan oleh para ulama dan orang-orang yang mencari ilmu. Ilmu yang kita pelajari hari ini adalah rentetan dari ajaran yang disampaikan oleh Nabi melalui para ulama. Oleh itu, kita perlu memiliki rasa kasih dan hormat kepada ulama, kerana mereka adalah pewaris ilmu Nabi, yang bertanggungjawab untuk menyebarkan dan menjaga ajaran Islam agar tetap benar dan murni.

Kita harus terus menuntut ilmu, dan apa yang kita lakukan kini adalah sama sebagaimana para sahabat yang menuntut ilmu langsung dari Nabi dan Imam Syafie menuntut ilmu dari Imam Malik. Walaupun kita mungkin tidak dapat menjadi ulama, mudah-mudahan dengan niat yang ikhlas dalam menuntut ilmu, Allah SWT akan mengangkat derajat kita bersama-sama dengan para ulama dan para nabi di akhirat nanti.

Rasulullah SAW bersabda; 
"Siapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti pahala haji yang sempurna hajinya" — HR. Thabrani no.7473

Betapa banyak ganjaran pahala yang Allah sediakan bagi orang-orang yang istiqamah datang ke masjid, solat berjemaah, dan mendengar ilmu. Setiap langkah yang diambil menuju masjid, setiap rakaat solat berjemaah, serta setiap ilmu yang didengari. Semoga kita semua diberikan kekuatan dan istiqamah untuk terus datang ke masjid, solat berjemaah, dan menuntut ilmu agama. Mudah-mudahan setiap amalan kita menjadi bekalan yang mencukupi untuk kita apabila berhadapan dengan Allah di hari akhirat nanti.



RUKUN-RUKUN AGAMA


Umar bin Khattab pernah menceritakan, "Dahulu kami berada di sisi Rasulullah SAW,  lalu datang seorang lelaki yang bajunya sangat putih, rambutnya sangat hitam, dan tidak tampak padanya tanda-tanda seseorang yang baru sahaja melakukan perjalanan jauh. Tidak seorang pun dari kami yang mengenalnya. Dia kemudian mendekati Nabi SAW, menyandarkan lututnya ke lutut Nabi SAW, dan berkata, 'Wahai Muhammad, beritakan kepadaku tentang Islam.' Rasulullah SAW menjawab, 'Islam itu adalah mengucapkan syahadah bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, dan menunaikan haji ke Baitullah jika engkau mampu melakukannya.' Lelaki itu berkata, 'Engkau benar.' Umar berkata, 'Kami sangat terkejut kerana dia bertanya kemudian membenarkan apa yang telah dikatakan.'Lelaki itu bertanya lagi, 'Beritakan kepadaku tentang iman.' Rasulullah SAW menjawab, 'Iman itu ialah engkau beriman kepada Allah, kepada malaikat-malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya, kepada rasul-rasul-Nya, kepada hari kiamat, dan kepada takdir yang baik dan buruk.' Lelaki itu berkata, 'Engkau benar.' Kemudian dia bertanya lagi, 'Beritakan kepadaku tentang ihsan.' Rasulullah SAW menjawab, 'Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, namun jika engkau tidak dapat melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.' Lelaki itu bertanya lagi, 'Bilakah hari kiamat itu?' Rasulullah SAW menjawab, 'Tidak ada yang lebih tahu tentangnya selain Allah.' Dia bertanya lagi, 'Apa tanda-tandanya?' Rasulullah SAW menjawab, 'Apabila seorang hamba melahirkan tuannya, dan engkau melihat orang yang tidak beralas kaki, telanjang, miskin, penggembala kambing, namun mereka bermegah-megah dalam membangun bangunan.' Kemudian lelaki itu pergi. Kami masih merasa hairan, lalu Rasulullah SAW bersabda, 'Wahai Umar, apakah engkau tahu siapa penanya itu?' Aku menjawab, 'Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.' Rasulullah SAW bersabda, 'Dia adalah Jibril, yang datang untuk mengajarkan kalian tentang agama kalian.'" — HR. Muslim no. 8 (Syarh Shahih Muslim)


Tasawuf

Asas bagi ilmu tasawuf ialah berkaitan dengan cinta, kasih dan sayang 
Rasulullah SAW bersabda, di antara doa Nabi Daud ialah; Ya Allah, aku memohon  kepada-Mu cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu, dan cinta kepada amalan yang dapat mendekatkan diriku kepada cinta-Mu — HR. Tirmidzi no.3412

Ulama tasawuf membahagikan dua martabat cinta

1) Cinta kepada Allah
Ramai orang yang mencintai Allah, dan itu adalah kewajipan bagi seorang hamba

2) Dicintai oleh Allah 
Ulama tasawuf berkata, bukanlah sesuatu yang besar untuk menjadi orang yang mencintai Allah. Namun yang besar kamu menjadi orang yang dicintai oleh Allah SWT.

Nabi bersabda dalam sebuah hadis Qudsi; 
"Tiada seorang hamba yang mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada apa yang Aku fardukan ke atasnya. Dan hamba-Ku terus-menerus mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunnah sehinggalah Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengan-Nya, penglihatannya yang dia melihat dengan-Nya, tangannya yang dia memegang dengan-Nya, dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon kepada-Ku, pasti Aku akan mengabulkan permohonannya, dan jika dia meminta perlindungan daripada-Ku, pasti Aku akan memberi perlindungan kepadanya" — HR. Bukhari no.6502

Cara Mendekatkan Diri Dengan Allah

Mendekatkan diri dengan Allah dengan amalan wajib Melaksanakan solat fardu, berpuasa, berzakat, dan segala amal ibadah lain yang diwajibkan kepada kita adalah bukti nyata kecintaan kita kepada Allah. Begitu juga meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah tanda kesungguhan kita dalam mencintai Allah. Setiap amalan wajib yang kita lakukan merupakan bentuk pengorbanan dan kesetiaan kita kepada-Nya.

Mendekatkan diri dengan Allah dengan mengamalkan amalan sunat.
Amalan sunat tidak perlu dilakukan dalam jumlah yang banyak, tetapi yang paling penting adalah istiqamah dalam melaksanakannya. Sebagai contoh, solat witir tiga rakaat setiap malam, yang dilakukan secara konsisten tanpa meninggalkan kecuali ada halangan. Begitu juga dengan solat dhuha, walaupun hanya dua rakaat, namun dilaksanakan setiap hari dengan penuh istiqamah. Amalan seperti solat sunat rawatib juga sangat dianjurkan, kerana dengan istiqamah dalam amalan-amalan ini, kita berpeluang menjadi hamba yang dicintai oleh Allah

 "Apabila Aku mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dia mendengar dengan-Nya, penglihatannya yang dia melihat dengan-Nya, tangannya yang dia memegang dengan-Nya, dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia memohon kepada-Ku, pasti Aku akan mengabulkan permohonannya, dan jika dia meminta perlindungan daripada-Ku, pasti Aku akan memberi perlindungan kepadanya"

Allah menjaga dan memelihara hamba-Nya yang berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Dalam hadis Qudsi tersebut, Allah menjelaskan bahawa apabila Dia mencintai seorang hamba, Dia akan menjaga segala anggota tubuhnya, termasuk mata, telinga, tangan, dan kaki, supaya hamba tersebut tidak digunakan untuk melakukan maksiat.

Sebagai renungan, adakah mata kita senitasa memandang perkara yang baik, begitu juga dengan telinga dan mulut kita digunakan untuk perkara kebaikan. Jika kita merasa bahawa pandangan mata, pendengaran telinga, atau kata-kata kita belum selaras dengan kebaikan yang diredhai Allah, maka sudah tiba masanya untuk kita berusaha memperbaiki diri

Kita harus menjadi orang yang mencintai Allah dan dicintai oleh Allah


WALI ALLAH
Wali Allah adalah orang-orang yang dekat dengan Allah dan mendapat cinta-Nya. Wali Allah bukanlah orang-orang yang memiliki kelebihan luar biasa seperti dapat berjalan di atas air atau terbang di angkasa, tetapi mereka adalah hamba-hamba yang sentiasa taat kepada Allah, beribadah tanpa merasa penat atau jemu, dan merasakan kenikmatan dalam setiap amal yang dilakukan.

Wali Allah adalah mereka yang dikuasai dirinya oleh Allah, dan Allah menjaga mereka dari segi pandangan mata mereka, hati mereka, serta tutur kata mereka dari segala yang dapat merosakkan iman dan mendekatkan mereka kepada maksiat.

 Sebagaimana yang terkandung dalam hadis Qudsi; 
"Sesiapa yang menyakiti wali-Ku, maka Aku isytiharkan perang terhadapnya." (HR. Bukhari no. 6502). 
Hadis ini menegaskan betapa besar perlindungan Allah terhadap wali-Nya. Oleh itu, kita harus berhati-hati dalam berkata-kata dan menjaga lisan kita terhadap semua orang, kerana kita dibimbangi termasuk dalam golongan yang diancam oleh Allah SWT jika kita menyakiti orang-orang yang dikasihi-Nya. Semoga kita dapat menjaga hubungan baik dengan Allah dan sesama hamba-Nya, serta menjauhkan diri dari tindakan yang boleh mendatangkan murka-Nya.

Kita harus menjaga lisan kita terhadap semua orang, kerana dibimbangi, kita termasuk dalam golongan yang diancam oleh Allah SWT kerana menyakiti orang-orang yang dikasihi-Nya. Sebagaimana yang disebut dalam hadis, sesiapa yang menyakiti wali Allah, Allah mengisytiharkan perang terhadap mereka.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama