
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
08/12/2024 | Ustaz Ramizul Amin | — |
MUSIM HUJAN
Adab Ketika Hujan
- Bersyukur kerana hujan adalah rezeki dan rahmat dari Allah
- Berdoa memohon perlindungan. Antara doanya ialah;
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا (“Ya Allah Kau jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.”) — HR. Bukhari no.1032.
Doa ini dibaca ketika hujan rintik-rintik mula turun.
- Jangan mencela hujan kerana ia dari Allah dan ia adalah rezeki
- Dianjurkan berwuduk atau mengenakan tubuh kepada hujan. Perbuatan ini adalah berdasarkan sebuah hadis;
"Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa ketika mereka bersama Rasulullah SAW, hujan turun. Baginda SAW lalu membuka sebagian pakaiannya agar terkena air hujan. Para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, mengapa engkau melakukan ini?" Baginda menjawab, "Kerana ia baru sahaja datang dari Tuhannya." — HR. Muslim no.898
Perbuatan ini menunjukkan penghormatan terhadap rahmat yang datang dari Allah.
SOLAT JUMAAT BATAL DI NEGERI SEMBILAN
Tular baru-baru ini apabila solat Jumaat di Negeri Sembilan, di beberapa buah masjid dianggap tidak sah apabila khutbah tidak menyebut 'takwa kepada Allah' dalam bahasa Arab. Ini kerana, menurut mazhab Syafie, setiap rukun khutbah wajib dibaca dalam bahasa Arab untuk kesahihannya.
Pengajaran: Pihak masjid perlu lebih berhati-hati dalam meneliti teks khutbah agar ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, sekaligus memastikan solat Jumaat yang dilaksanakan sah dan diterima.
KEBIASAAN SELEPAS SOLAT
Di antara amalan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW selepas solat adalah mengucapkan Subhanallah, Alhamdulillah, dan Allahu Akbar. Amalan ini bukan sahaja membawa keberkatan, tetapi juga pengampunan dosa. Rasulullah SAW bersabda;
"Barang siapa bertasbih kepada Allah (mengucapkan Subhanallah) sebanyak 33 kali, bertahmid kepada Allah (mengucapkan Alhamdulillah) sebanyak 33 kali, dan bertakbir kepada Allah (mengucapkan Allahu Akbar) sebanyak 33 kali selepas setiap solat, lalu menyempurnakannya menjadi 100 dengan membaca: 'La ilaha illallah wahdahu la syarika lah, lahul-mulk wa lahul-hamd wa huwa 'ala kulli shai'in qadir', maka diampuni dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan." — HR. Muslim no.597
Selain itu, dalam hukum fiqh, kita hendaklah mengutamakan yang lebih utama. Sebagai contoh, majlis tahlil seharusnya diadakan selepas Isyak, bukan selepas Maghrib. Kita perlu mendahulukan yang lebih utama dalam amalan kita. Rasulullah SAW bersabda;
"Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati." — HR. Nasa’i no.9848
Amalan membaca ayat Kursi selepas solat fardhu ini adalah janji yang besar dari Allah SWT, di mana orang yang mengamalkannya akan dijamin syurga.
DOA
Rasulullah SAW telah bersabda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Allah SWT berfirman:
"Wahai anak Adam, selama engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku, Aku akan mengampuni dosamu, walau sebesar apa pun dosamu, dan Aku tidak peduli." "Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu mencapai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, Aku akan mengampuni dosamu." "Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa sebesar bumi, tetapi engkau tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan sebesar itu juga." — HR. Tirmizi no. 3540
Hadis ini memberikan motivasi kepada setiap Muslim untuk tidak berputus asa dari rahmat Allah, walau sebanyak atau sebesar mana pun dosa yang dilakukan. Kita harus terus berharap kepada Allah dan takut kepada siksaan-Nya, kerana Allah akan menutup aib kita dan mengampunkan dosa-dosa kita, baik dosa kecil mahupun besar.
Bagaimana Mendapat Keampunan
- Doa yang disertai dengan penuh harapan agar dikabulkan:
"Berdoalah kepada-Ku, niscaya Aku akan mengabulkan bagimu." — Surah Ghafir, 40:60.
Sebaik-baik doa adalah dalam bahasa Arab, namun boleh menggunakan bahasa Melayu juga untuk menghayati doa dengan lebih mendalam. - Barang siapa diberikan taufik untuk berdoa, akan diberikan padanya penerimaan doanya: Allah membuka pintu doa, dan pada masa yang sama membuka pintu penerimaan doa tersebut. Apabila mendapat ilham atau semangat untuk berdoa, itu adalah tanda Allah hendak mendengar dan memakbulkan doa kita. Bersyukurlah apabila diberikan kesempatan untuk berdoa.
- Penumpuan hati ketika berdoa, dan yakin Allah akan menerima doa:
Sebagaimana hadis Nabi SAW:
"Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kalian yakin bahawa doa itu akan dikabulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa dari hati yang lalai dan alpa." — HR. Tirmidzi no. 3479 dan Ibnu Majah no. 3836
- Jangan berputus asa dan meninggalkan doa:
Jangan menyangka bahawa Allah tidak akan memakbulkan doa walau sudah banyak kali berdoa.
Rasulullah SAW bersabda;
"Doa seorang hamba akan dikabulkan selama dia tidak berdoa untuk perkara dosa atau memutuskan silaturahim, dan selama dia tidak berputus asa." Para sahabat bertanya: “Apa maksud berputus asa?” Baginda menjawab: "Dia berkata: Aku telah berdoa dan berdoa, tetapi aku tidak melihat doaku dikabulkan, lalu dia merasa kecewa dan berhenti berdoa." — HR. Bukhari no. 6340 dan Muslim no. 2735 - Rezeki yang halal: Kita perlu memakan makanan dari sumber rezeki yang halal agar doa mudah dimakbulkan. Contohnya, apabila ada jamuan di masjid, ambil makanan secukupnya sahaja, jangan berlebihan tanpa memikirkan jemaah yang lain. Begitu juga dengan halnya apabila ada orang menyumbang makanan, kita seharusnya tidak mengambil lebih daripada yang sepatutnya, kerana ia boleh mengganggu hak jemaah lain.







Catat Ulasan