Kuliah Subuh 8 Mac 2025, Ustaz Dr. Abd Bakar Jaafar

Tarikh Penceramah Tajuk
08/03/2025 Ustaz Dr. Abd Bakar Jaafar

Nota Kuliah
Matlamat berpuasa adalah untuk mencapai ketakwaan. Bagi merealisasikan matlamat tersebut, peranan hati amat penting kerana hati menjadi penentu sama ada amalan kita diterima atau ditolak. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma'idah (5:27):

"Ketika mereka berdua mempersembahkan korban, maka (korban) salah seorang daripada mereka diterima dan (korban) yang seorang lagi tidak diterima. Lalu dia (yang tidak diterima korbannya) berkata: ‘Aku pasti membunuhmu!’ (Jawab saudaranya): ‘Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.’"


Rasulullah SAW bersabda;
"Puasa itu adalah perisai, maka janganlah seseorang berkata keji dan janganlah ia bertindak bodoh. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya, hendaklah ia berkata: 'Sesungguhnya aku sedang berpuasa.'" (sebanyak dua kali).— HR. Bukhari, no.1894, Muslim no.1151

Manusia sememangnya berhajat kepada perkara sebegitu kerana syaitan sentiasa menghasut dan membisikkan godaan ke dalam hati. Namun, perbuatan-perbuatan tersebut boleh merosakkan puasa.

Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menyebut dalam kitabnya bahawa puasa itu adalah perisai daripada neraka. Oleh itu, kita perlu menjaga kata-kata, menghindari perkara yang tidak bermanfaat, serta mengelakkan percakapan yang berlebihan dan tidak perlu, kerana ia boleh mendatangkan penyakit hati. Firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi;

"Setiap amal kebaikan anak Adam akan dilipatgandakan pahalanya sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda. Allah berfirman: 'Kecuali puasa, kerana ia untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan membalasnya...'"— HR. Ahmad no.8391

Menurut Ibnu Hajar, Puasa merupakan suatu ibadah yang hebat kerana tidak melibatkan riak, berbanding ibadah lain. Dalam amalan puasa, tidak ada unsur riak kerana ia dilakukan secara tersembunyi antara hamba dan Tuhannya.


Amalan puasa tidak diberitahu ganjarannya oleh oleh, ganjarannya hanya Allah sahaja yang tahu. Amalan puasa juga paling disukai oleh Allah. Disebutkan dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda;

"Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada dalam genggaman-Nya, sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi."— HR.Bukhari no.1894

Perbuatan menahan diri daripada makan dan minum dapat mendekatkan seseorang kepada Allah. Ia juga digambarkan seolah-olah menyerupai sifat malaikat yang tidak memerlukan makanan dan minuman.


Ibadah puasa turut memberikan manfaat kepada kesihatan manusia dari sudut pandang sains.


Selain daripada beribadah kepada Allah, manusia tidak pernah berpuasa untuk tujuan lain. Seseorang tidak akan sanggup menahan diri daripada lapar serta menghindari perkara-perkara yang membatalkan puasa semata-mata untuk tujuan selain daripada Allah. Manusia hanya mampu berpuasa selama sebulan kerana keikhlasan kepada Allah SWT, sesuatu yang mustahil dilakukan untuk kepentingan lain.


Pahala puasa tidak boleh diambil oleh orang lain. Di akhirat kelak, seseorang yang dizalimi boleh menuntut pahala daripada orang yang menzaliminya. Namun, pahala puasa tetap terpelihara kerana ia adalah hak milik Allah bagi hamba-Nya yang berpuasa.


Pahala berpuasa juga tidak diketahui oleh malaikat yang mencatat amalan. Berbeza dengan pahala ibadah lain yang dijelaskan manfaatnya dalam hadis, pahala puasa hanya diketahui oleh Allah sahaja.


Oleh itu, untuk memperoleh ganjaran yang dijanjikan, kita hendaklah menahan diri daripada berkata perkara yang tidak elok, mengucapkan kata-kata keji, serta melakukan perbuatan yang tidak memberi manfaat. Apabila kita melakukan perkara yang sia-sia, ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada kita.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama