Kuliah Maghrib 20 Mei 2025, Ustaz Haji Mohd Asri Awang

Tarikh Penceramah Tajuk
20/05/2025 Ustaz Mohd Asri Awang

Nota Kuliah


Mukaddimah


Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat sihat dan masa yang masih diberi pada ketika ini. Namun, esok belum tentu, malam nanti pun belum tentu—barangkali datang sakit, barangkali datang ajal. Tiada seorang manusia pun yang tahu akan masa hadapan. Manusia hanya mampu merasa dan bercerita tentang apa yang telah berlaku, tetapi tiada daya untuk menjamin kehidupan esok hari. Jika telah sampai takdir Allah, maka tiada daya upaya untuk menolak kematian.


Sementara masih diberi masa oleh Allah, bukan sekadar waktu, bahkan dikurniakan juga kesihatan. Ada yang diberi masa tetapi dalam keadaan sakit, tidak mampu bergerak, tidak boleh menunaikan solat. Ada pula yang sihat, tetapi masanya sempit, terikat dengan urusan dunia hingga tidak sempat melakukan amal ibadah. Begitulah hakikat kehidupan yang tidak menentu.


Masjid menjadi tempat ketenangan bagi sesiapa yang biasa mengunjunginya. Tiada yang dibawa ke akhirat kelak melainkan amalan dan keikhlasan. Pangkat, jawatan, dan harta tidak dipandang oleh Allah. Hanya hati dan amalan yang menjadi nilaian.


Mudah-mudahan amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan menjadi bekalan di akhirat kelak, dan pahala yang dituai di sana. Tiada ruang untuk sombong terhadap Allah. Siapa yang bersungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka Allah akan dekatkan dirinya kepada-Nya.


Aktiviti seperti ini menjadi medan untuk memperkukuh iman dan taqwa, terutama dari segi hubungan dengan Allah. Perbincangan diteruskan dengan tajuk berkaitan hukum keluarga susuan. Ramai yang keliru tentang perkara ini kerana ia kadangkala melibatkan ahli keluarga atau saudara terdekat yang menyusu anak orang lain.



Hubungan Susuan

Contoh situasi: seorang bayi menyusu dengan seorang wanita selain ibunya. Susu itu pula berasal daripada hasil perkahwinan suami isteri yang sah. Maka, bayi itu menjadi anak susuan kepada wanita tersebut dan juga suaminya, menjadikan mereka sebagai ibu dan bapa susuan.


Apabila seorang anak menyusu dengan wanita itu sebelum mencapai umur dua tahun dan mencukupi syarat kenyang, maka status anak susuan pun terikat. Anak-anak kandung kepada ibu dan bapa susuan tersebut menjadi adik-beradik susuan. Hukum antara adik-beradik susuan ini adalah sama seperti adik-beradik kandung: haram berkahwin, boleh bersalaman, tiada aurat antara mereka sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak.


Jika Ibu susuan mempunyai adik-beradik. Maka timbul persoalan, apakah hukum perhubungan antara anak susuan dan adik beradik kepada ibu susuan itu?. Maka adik beradik perempuan atau lelaki akan menjadi status sebagai ibu/bapa saudara dan haram dikahwini oleh anak susuan.


Terdapat sebuah hadis berkenaan hubungan Saidina Hamzah dan Nabi SAW. Hamzah ialah bapa saudara Nabi SAW, tetapu kedua-duanya disusukan oleh wanita yang sama. Maka, mereka menjadi saudara susuan. Anak perempuan Sayyidina Hamzah tidak boleh dinikahi oleh Nabi SAW kerana telah menjadi anak saudara susuan. Nabi menyebut bahawa apa yang haram kerana kelahiran, menjadi haram juga kerana susuan.


Kesimpulannya, siapa sahaja yang menjadi anak susuan kepada sepasang suami isteri, maka seluruh hubungan mahram terpakai terhadap mereka sebagaimana anak kandung. Ibu susuan dianggap sebagai ibu kandung, ayah susuan sebagai ayah kandung. Namun, jika anak susuan itu mempunyai adik-beradik yang tidak menyusu kepada ibu susuan tersebut, maka mereka tidak tiada kena mengena. Hukum mahram hanya terpakai kepada yang menyusu sahaja.


Dalam bahasa mudah, anak susu adalah anak berstatus anak benar. Namun mereka tidak boleh menjadi wali dan tidak berhak terhadap pewarisan harta.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama