Kuliah Maghrib Khas 29 Oktober 2025, Ustaz Mohd Zulkarnain Samsudin

Tarikh Penceramah Tajuk
29/10/2025 Ustaz Mohd Zulkarnain Samsudin Khas

Nota Kuliah


Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 102:


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu beragama Islam.”


Ayat ini dibaca pada khutbah kedua yang wajib dibaca. Bukan sekadar cukup syarat khutbah semata-mata, tetapi jika tidak dibaca, maka tiadalah peringatan mengenai “Ittaqullah” pada khutbah tersebut.


Ayat ini mengandungi dua perintah Allah SWT. Selama ini kita sering terdedah dengan perintah mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan sebagainya. Namun dua perkara dalam ayat ini adalah perkara pokok yang sangat perlu diberi perhatian.


Yang pertama, Allah Ta‘ala memulakan ayat dengan seruan “ÙŠَا Ø£َÙŠُّÙ‡َا الَّذِينَ آمَÙ†ُوا اتَّÙ‚ُوا اللَّÙ‡َ Ø­َÙ‚َّ تُÙ‚َاتِÙ‡ِ”.


Apabila disebut “ÙŠَا Ø£َÙŠُّÙ‡َا الَّذِينَ آمَÙ†ُوا”, ia ditujukan khusus kepada orang beriman — mereka yang telah melafazkan syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat, dan menunaikan haji jika berkemampuan.


Ayat ini boleh dipecahkan kepada dua bahagian. Pertama, perintah Allah SWT untuk bertakwa. Kedua, larangan agar tidak mati melainkan dalam keadaan Islam.


Makna “bertaqwalah kepada Allah” ini dijelaskan oleh para ulama;


Apakah itu taqwa?

Definisinya banyak, namun intinya ialah ketaatan kepada Allah dalam segala keadaan. Dalam taqwa itulah terletaknya kebaikan dunia dan akhirat. Taqwa menahan diri daripada maksiat dan menjadi pendorong untuk melakukan kebaikan.


Sayidina ‘Ali bin Abi Talib RA menjelaskan empat ciri orang bertaqwa:

1. Al-Khawf bil-Janin – Takut kepada Allah dalam semua keadaan, ketika senang mahupun susah.

2. Al-‘Amalu bi Tanzil – Beramal dengan ajaran al-Quran dan sunnah, bukan sekadar membacanya.

3. Ar-Ridha bil-Qalil – Reda dengan pemberian yang sedikit, tidak mengeluh atas ketentuan Allah.

4. Al-Isti‘dad lil-Maut – Sentiasa bersedia untuk mati bila-bila masa.


Orang bertaqwa bukan hanya banyak amal zahir seperti solat dan zikir, tetapi hatinya juga bersih daripada sifat mazmumah seperti riya’, ujub, dan hasad dengki.


Para ulama menyebut, taqwa ialah menuruti perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya zahir dan batin. Bukan hanya taqwa zahir seperti solat dan berzikir, tetapi juga taqwa batin, menjaga hati daripada sangka buruk, riya’, dan ujub.


Sebab itu, ibadah zahir perlu disertai dengan latihan hati. Solat, misalnya, bukan sekadar bacaan tetapi menghadirkan hati kepada Allah. Untuk membersihkan diri daripada sifat mazmumah, perlu latihan berterusan.


Para mufassir membahagikan ayat “Ittaqullah haqqa tuqatih” kepada tiga pandangan:


1. Pertama: Allah mesti ditaati, tidak dimaksiati, diingati, tidak dilupakan, disyukuri, dan tidak dikufuri.


2. Kedua: Ayat ini dimansuhkan dengan ayat “Fattaqullah mastata‘tum” — “bertaqwalah sekadar kemampuanmu”.


3. Ketiga: Ayat ini bukan dimansuhkan tetapi dilengkapi dengan ayat tersebut. Pandangan ketiga inilah yang lebih lunak bagi orang awam kerana tahap taqwa setiap orang berbeza-beza.


Untuk kita semua memperoleh takwa, maka apabila mendengar Allah menyebut tentang takwa, seharusnya kita memahami bahawa maknanya ialah kita perlu membersihkan diri daripada segala perbuatan yang sahih dan batil. Kita mesti melatih diri supaya sentiasa mengingati Allah, tidak memaksiati-Nya, dan bersyukur kepada-Nya tanpa terikat dengan tempat dan masa.


Bukan hanya dalam masjid kita bersyukur, bukan hanya ketika senang kita mengingati Allah, dan bukan pula ketika susah kita melupakan-Nya. Kita hendaklah sentiasa berada dalam ruang syukur dan zikir kepada Allah, serta menjauhi maksiat terhadap-Nya.


Malaikat yang diciptakan oleh Allah SWT pula sentiasa tunduk dan sujud kepada-Nya hingga hari kiamat. Mereka diciptakan untuk bertasbih dan memuji Allah tanpa henti. Namun apabila tiba hari kiamat, mereka akan berkata:


“Maha Suci Engkau, ya Allah, dan bagi-Mu segala pujian. Kami tidak mengenali-Mu dengan sebenar-benar pengenalan, dan kami tidak beribadat kepada-Mu dengan sebenar-benar ibadat.”


Sedangkan malaikat yang tidak pernah bermaksiat dan tidak pernah melanggar perintah Allah pun mengakui bahawa ibadat mereka belum mencapai tahap sebenar-benar ibadat. Maka bagaimana pula dengan manusia yang setiap hari tidak terlepas daripada dosa? Ini menggambarkan betapa besarnya hak Allah terhadap kita, namun sering kali kita dihalangi daripada menyedarinya kerana terhijab oleh kekotoran dosa.


Itulah hak Allah yang sangat besar kepada kita semua.


Allah SWT berfirman agar kita tidak mati melainkan dalam keadaan berserah diri sepenuhnya kepada Allah, iaitu sebagai seorang Islam. Persoalannya, siapakah antara kita yang mampu menjamin bahawa kita akan mati sebagai seorang Islam? Kita lahir dalam Islam, membesar dalam Islam, dan hidup hingga kini sebagai seorang Islam. Namun adakah kita benar-benar pasti kita akan mati dalam Islam?. Kebanyakan manusia bimbang tentang rezeki, kesihatan, dan masa depan, tetapi jarang yang benar-benar bimbang apakah kata-kata terakhir yang akan keluar dari mulutnya ialah syahadah. Tiada siapa yang mampu memberi jaminan.


Sebab itu Allah berfirman: “Jangan kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”


Kerana hanya satu agama yang diterima oleh Allah, iaitu Islam. Segala ibadah dan kebaikan tidak akan diterima jika dilakukan di luar Islam, dan pada hari akhirat kelak, mereka akan termasuk dalam golongan yang rugi.


Dalam Surah Yusuf, Nabi Yusuf a.s. berdoa agar Allah mematikan baginda dalam Islam dan mengumpulkan baginda bersama orang-orang yang soleh. Kita juga perlu berdoa seperti itu:


“Ya Allah, matikanlah aku dalam Islam, tetapkanlah hatiku di atas Islam, dan kumpulkanlah aku bersama orang-orang yang soleh.”

 

Jika Nabi sendiri berdoa begitu, maka ia satu isyarat bahawa kita juga mesti mempunyai cita-cita untuk mati dalam Islam. Kita boleh bercita-cita untuk berjaya di dunia, tetapi cita-cita untuk mati dalam Islam jauh lebih utama.


Apabila seseorang meninggal dunia dalam Islam, itu adalah kurniaan besar daripada Allah. Namun jika sebaliknya, hanya Allah yang mengetahui hakikat sebenar, kerana ketika roh hendak berpisah daripada jasad, syaitan akan datang dalam pelbagai rupa untuk menyesatkan manusia.


Diceritakan bahawa suatu ketika, Sayyid Abdul Qadir al-Jilani berjalan dan bertemu seorang lelaki mabuk di tepi jalan yang meminta pertolongan. Lelaki itu berkata, “Aku sering mabuk dan belum sempat bertaubat.” Sayyid Abdul Qadir kemudian berdoa, dan dengan izin Allah, lelaki itu meninggal dunia dalam keadaan diampunkan oleh Allah SWT.


Kisah ini menunjukkan bahawa rahmat Allah amat luas. Seseorang masih boleh mendapat keampunan-Nya walaupun di saat akhir, asalkan bergantung harap kepada Allah SWT. Namun jangan sesekali merasa terlalu yakin hingga lalai daripada beramal, kerana pergantungan sebenar mestilah disertai dengan usaha dan ketaatan.


Nabi SAW bersabda bahawa ada orang yang beramal seperti ahli syurga sepanjang hidupnya, tetapi di akhir hayatnya beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia masuk ke dalamnya. Dan ada pula orang yang beramal seperti ahli neraka, tetapi akhirnya beramal dengan amalan ahli syurga, lalu dia masuk ke dalamnya.


Hadis ini mengingatkan bahawa tiada jaminan bagi sesiapa pun. Sebab itu kita mesti sentiasa memohon kepada Allah agar mengekalkan hati kita di atas jalan yang benar sehingga akhir hayat.


Semoga kita semua dikurniakan kematian dalam agama Islam dan diakhiri dengan kalimah Lailaha illallah.


Dalam kehidupan seharian, perbanyakkanlah solat, doa, dan zikir, serta bangunlah di waktu malam untuk bermunajat kepada Allah. Mudah-mudahan dengan amalan itu, Allah meneguhkan hati kita hingga saat terakhir nanti, dan kita semua dikumpulkan dalam kalangan orang-orang yang beriman


Betapa gembiranya seseorang yang dikurniakan keberkatan oleh Allah apabila mati dalam Islam.


Dikisahkan bahawa seseorang pernah berkata ketika menghadapi kematian:

“Jika engkau dapati aku mati sebagai seorang Islam, maka ambillah segala harta yang ada padaku — sama ada hutang, barang pinjaman, atau harta peninggalan — sebagai usaha untuk manfaat umat Islam. Tetapi jika engkau dapati aku mati dalam keadaan belum pasti sebagai seorang Islam, maka khabarkanlah kepada mereka supaya mengambil iktibar daripada keadaan diriku.”

Lalu dikatakan bahawa apabila jasadnya dikebumikan, wajahnya berseri-seri dan berwarna putih. Maka jelaslah bahawa dia meninggal dunia sebagai seorang Islam. Dengan penuh kesyukuran, segala harta yang ada disedekahkan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin.


Kisah ini menggambarkan betapa kuatnya kegelisahan seseorang hamba yang benar-benar takut akan akhir hayatnya. Walaupun dia seorang ahli ibadah dan sangat hampir dengan para ulama serta orang soleh, tetap wujud perasaan bimbang dan takut andai mati bukan sebagai seorang Islam.


Diajarkan kepada kita bahawa ada beberapa usaha dan ikhtiar untuk mati dalam Islam, iaitu melaksanakan segala kewajipan yang Allah perintahkan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Namun melaksanakan perintah ini bukanlah sesuatu yang mudah.


Sebagai kesimpulan, kita perlu memahami bahawa tujuan utama ialah memperoleh takwa, kerana kedudukan seseorang di sisi Allah bukan diukur pada rupa, pangkat, atau harta, tetapi pada takwa yang ada dalam hati.


Kita mesti memohon kepada Allah agar meneguhkan iman dan hati kita di atas jalan yang benar, hingga kita kembali kepada-Nya dengan hati yang sejahtera. Biarlah hati dan jiwa kita dipenuhi dengan cinta kepada Allah.


Jika Nabi Yusuf a.s., seorang nabi pun memohon agar diwafatkan dalam Islam dan digolongkan bersama orang soleh, apatah lagi kita sebagai umat akhir zaman yang penuh dengan dosa dan kelalaian.


Oleh itu, kita hendaklah memerhatikan anak dan isteri, serta memastikan mereka juga dibimbing di jalan ketaatan. Dalam zaman yang penuh fitnah dan kebodohan ini, banyak perkara yang boleh menjerumuskan manusia kepada dosa. Kadang-kadang dosa dilakukan dalam keadaan sangat jahil, tanpa sedar atau dengan alasan yang remeh.


Kita perlu berhati-hati agar tidak mati dalam keadaan su’ul khatimah (kesudahan yang buruk), sebaliknya berusaha agar beroleh husnul khatimah (kesudahan yang baik).


Dikatakan bahawa antara golongan yang sering menghadapi su’ul khatimah ialah:

  1. Mereka yang tidak pernah berusaha memperbaiki diri.

  2. Mereka yang terlalu banyak melakukan dosa kecil dan besar tanpa taubat.

  3. Mereka yang suka menjaga tepi kain orang — bukan kerana ingin menasihati, tetapi untuk mencari aib dan menyebarkan keburukan orang lain.

  4. Mereka yang berdendam dan suka menjatuhkan sesama manusia.

  5. Mereka yang tidak jujur dalam perniagaan, suka menipu dan memperdaya orang lain.


Golongan seperti ini sering disebut sebagai mereka yang berisiko mati dalam keadaan su’ul khatimah.


Marilah bersama-sama berusaha beramal dengan ikhlas, meneguhkan iman, dan memohon kepada Allah agar kita dimatikan dalam Islam serta dikurniakan kesudahan yang baik.



Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama