
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
21/05/2025 | Ustaz Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham | — |
Dalam peristiwa pertembungan Nabi Musa A.S dengan ahli-ahli sihir Firaun, mereka semua tunduk kepada kebenaran. Mereka beriman kepada Nabi Musa setelah melihat mukjizat baginda. Namun, Firaun tidak berpuas hati. Dia arahkan agar semua ahli sihir dihukum kerana tidak menyokongnya. Firaun seorang diktator, namun kadangkala menunjukkan wajah demokrasi—dia minta pandangan rakyat. Ini bukan kerana dia benar-benar mahu mendengar suara rakyat, tetapi sekadar berpura-pura. Watak musuh Islam, seperti Firaun, sering dilihat keras tetapi berubah nada apabila bertemu dengan kuasa besar atau keperluan politik. Begitulah sikap Firaun. Dia seorang diktator yang licik. Apabila hampir tenggelam di Laut Merah, dia mengaku beriman kepada Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil. Namun Allah menolak taubatnya kerana keimanan itu datang ketika nyawa sudah di kerongkong.
Allah berfirman dalam Surah Yunus bahawa Dia menyelamatkan jasad Firaun agar menjadi tanda peringatan kepada generasi selepasnya. Sebab itu hari ini, kita masih boleh melihat jasad Firaun yang diawet dalam bentuk mumia dan dipamerkan di muzium Mesir. Jasadnya kekal sebagai bukti kekuasaan Allah dan pelajaran buat manusia yang sombong.
Kisah Nabi Musa A.S bukan sekadar peristiwa sejarah. Ia mengajar kita tentang tawakkal, kepimpinan, strategi, dan kebergantungan penuh kepada Allah. Nabi Musa tidak gentar walau diburu. Baginda berkata: “Sesungguhnya bersamaku adalah Tuhanku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku.”
Demikian juga Rasulullah SAW ketika di Gua Thur bersama Abu Bakar. Baginda tenang dan menyebut: “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” Perkataan ini menandakan konsep ma’iyyatullah — kebersamaan dengan Allah — yang menjadi sumber kekuatan sebenar orang beriman.
Dalam perjalanan Bani Israil, mereka menghadapi pelbagai ujian. Setelah mereka diselamatkan daripada Firaun, Allah uji mereka dengan kehausan, kelaparan, dan ketandusan. Mereka mula memberontak, mempersoalkan kepimpinan Nabi Musa. Jiwa mereka masih lemah walau telah melihat mukjizat besar. Mereka lebih rela menjadi hamba dengan makanan terjamin, daripada bebas tetapi harus berjuang dalam kehidupan yang mencabar.
Mereka membawa banyak barang, termasuk emas dan perhiasan dari Mesir. Namun sebahagiannya kemudian digunakan untuk membuat patung anak lembu ketika Nabi Musa pergi bermunajat di Bukit Thur. Ini menunjukkan betapa cepat manusia lupa kepada nikmat dan bimbingan Ilahi.
Akhirnya, apabila Nabi Musa dan kaumnya sampai di Laut Merah, Allah perintahkan baginda memukul tongkat ke laut, lalu laut terbelah menjadi dua. Bani Israil melintas dengan selamat, namun Firaun dan tenteranya tenggelam. Ketika itu, Firaun mengaku beriman—namun sudah terlambat.
















Catat Ulasan