
25 Mei 2025 – Seorang peserta memanah dari Kelab Memanah Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Temerloh Jaya (KMMTTJ), Ustazah Afiza binti Akmal Hidzri, 52, mencuri tumpuan apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Memanah Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kota FELDA Kota Gelanggi 3, Jerantut, meskipun berdepan pelbagai kekangan.
Meskipun baru menyertai KMMTTJ pada 27 Jun 2024 dengan nombor keahlian 061, Ustazah Afiza telah menunjukkan semangat dan komitmen yang luar biasa apabila mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung pada 17 Mei yang lalu. Penyertaannya didorong oleh minat yang mendalam terhadap sukan sunnah ini, selain sokongan padu daripada suami dan keluarga yang menjadi pemangkin utama semangatnya.
“Saya tidak mempunyai sebarang latar belakang dalam sukan lain, dan ketika mula berjinak-jinak dengan memanah, saya tidak memiliki peralatan sendiri. Namun begitu, minat dan azam yang kuat mendorong saya untuk terus melangkah ke hadapan,” ujar beliau.
Ketika ditanya mengenai rutin latihan sebelum kejohanan, Ustazah Afiza menjelaskan bahawa beliau hanya sempat menjalani dua sesi latihan — di Padang Bukit Lada dan Lapang Sasar KMMTTJ — dan itu pun dalam jarak dekat. Tiada tempat latihan jarak jauh yang tersedia, namun cabaran tersebut tidak mematahkan semangat beliau.
“Saya sedar pertandingan ini menghimpunkan ramai pemanah berpengalaman dari seluruh daerah negeri Pahang. Walaupun latihan saya tidak mencukupi, saya cabar diri sendiri dan tampil dengan semangat yang tinggi,” katanya.
Ustazah Afiza menyatakan bahawa beliau tidak meletakkan sebarang harapan besar untuk menang, namun tetap hadir dengan kekuatan mental dan fizikal bagi melakukan yang terbaik. Ternyata, hasil tidak mengkhianati usaha apabila beliau diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam kejohanan tersebut.
Mengulas lanjut tentang pengalaman bertanding, beliau menyifatkan suasana pertandingan sangat positif dan tidak menekan. Malah, katanya, keyakinan beliau semakin meningkat ketika bersaing dengan peserta lain.
“Kejayaan ini sangat berharga buat saya. Ia menjadi bukti bahawa minat dan kesungguhan boleh membawa kepada kejayaan sebenar. Saya kini lebih yakin untuk terus melangkah lebih jauh dalam dunia memanah,” tambah beliau.
Ustazah Afiza turut menyatakan hasrat untuk menyertai lebih banyak kejohanan, termasuk di peringkat kebangsaan jika diberi peluang. Beliau juga berharap agar pihak KMMTTJ dapat menaik taraf kemudahan lapang sasar dan menganjurkan pertandingan berkala seperti bulanan atau kejohanan berskala besar.
Sebagai pesanan kepada rakan sebaya, beliau menyarankan agar sukan memanah dicuba kerana menurutnya, sukan sunnah ini memberikan pelbagai impak positif, termasuk dari segi kekuatan fizikal, ketajaman fokus dan pembangunan keyakinan diri.
“Saya akan terus menyertai setiap kejohanan yang diadakan sama ada dalam atau luar negeri Pahang, insya-Allah,” katanya mengakhiri temubual.









Catat Ulasan