
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
25/05/2025 | Ustaz Hairulazam Abd Rahman | — |
Surah Maryam (Ayat ke 73—75)
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang kafir kepada orang-orang yang beriman: "Puak yang manakah (dari kami dan kamu) yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis perhimpunannya?. (73)
Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka, kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok alat-alat kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata.(74)
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, - sama ada azab sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya." (75)
Berapa banyak umat yang telah dibinasakan sebelum mereka, sedangkan mereka adalah lebih bagus alat rumah tangganya dan lebih sedap dipandang mata.
Dalam ayat ini, Allah SWT telah menjelaskan tentang salah satu hujah yang digunakan oleh orang-orang kafir sejak zaman-zaman dahulu. Hal ini berlaku pada zaman Nabi SAW. Mereka menilai kebenaran berdasarkan unsur-unsur kebendaan.
Allah SWT menyebut bahawa antara hujah orang-orang kafir Quraisy ialah mereka menyatakan bahawa mereka lebih benar. Mereka berkata: "Ayul fariqayni khairun maqaman wa ahsanu nadiyya?" — "Antara dua golongan ini, kami atau mereka (orang Islam Mekah), siapa yang lebih baik tempat tinggalnya, tempat perhimpunannya?"
Perkataan “nadiyya” dalam bahasa Arab merujuk kepada tempat perhimpunan. Jika dizahirkan pada zaman sekarang, “nadiyya” ialah kelab — kelab bola sepak misalnya. Oleh sebab itu, orang Arab sekarang gila bola sepak, terutama di Arab Saudi, yang membawa bintang-bintang bola sepak dunia ke situ. Maka terdapatlah kelab seperti Nadhi Hilal, kelab bola sepak. Maka digunakanlah perkataan “nadhi”.
Begitulah juga seperti di tempat lain, tidak kira Arab atau bukan, kelab malam misalnya — tempat orang menari dan menyanyi. Tulisan jawi menyebut "kelab malam" dengan gaya tulisan jauh. Maka, istilah “club” itu telah dipinjam dan digunakan untuk tempat perhimpunan.
Orang Quraisy berhujah bukan sahaja pada zaman sekarang, malah sejak dahulu lagi. Mereka menyatakan bahawa mereka lebih mulia, lebih banyak harta, dan mempunyai tempat perhimpunan yang hebat. Adapun orang Islam pada zaman Nabi SAW hanyalah berhimpun di rumah sahabat seperti di rumah Al-Arqam bin Abil Arqam, yang tiada apa-apa keistimewaan. Sedangkan Quraisy memiliki tempat-tempat yang megah.
Itulah yang menjadi hujah mereka. Mereka juga berkata: "Apakah kami akan beriman kepadamu sedangkan yang mengikuti kamu adalah orang-orang yang hina dan lemah?"
Mereka menyatakan bahawa pengikut Nabi SAW hanyalah golongan miskin dan hamba sahaya. Maka mereka memandang rendah kepada Islam.
Allah SWT menjawab dengan menyebut bahawa Dia telah membinasakan umat-umat terdahulu yang memiliki kemewahan dan kelengkapan yang jauh lebih hebat daripada kaum Quraisy, seperti kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh, Firaun, dan sebagainya. Semua mereka ini dibinasakan bukan kerana miskin, tetapi kerana kesyirikan, kekufuran dan kezaliman mereka.
Dalam ayat ini, Allah ingin mendidik manusia bahawa penilaian di sisi-Nya bukan berdasarkan kebendaan tetapi berdasarkan iman dan amal soleh. Kebendaan tidak dinafikan penting, tetapi bukan matlamat hidup.
Para sahabat Nabi SAW seperti Zubair bin Al-Awwam adalah orang yang sangat kaya. Dalam hadis sahih riwayat Bukhari, disebutkan bahawa Zubair meninggalkan harta lebih 50 juta dinar. Seorang dinar bersamaan kira-kira 4 gram emas. Anaknya, Abdullah bin Zubair, mengambil masa empat tahun untuk menyelesaikan agihan harta peninggalan ayahnya, kerana terlalu banyak aset dalam dan luar negara Islam.
Namun begitu, mereka tidak bermewah-mewahan. Mereka memahami bahawa harta hanyalah alat untuk mendapatkan pahala di sisi Allah. Mereka gunakan harta untuk membantu orang lain, seperti Zubair bin Al-Awwam yang menjadi tempat masyarakat berhutang tanpa jaminan.
Manusia hari ini pula, apabila melihat orang kaya, maka mereka hormat. Jika tidak berharta, mereka pandang rendah. Inilah satu penyakit dalam masyarakat. Dihormati kerana harta, bukan kerana akhlak atau iman.
Lihat sahaja di negara-negara Arab. Mereka banyak melabur di negara-negara Barat. Pelaburan mereka di Amerika sahaja mencecah 300 trilion dolar. Sepatutnya Amerika tunduk kepada kekuatan ekonomi umat Islam. Namun, apabila umat Islam terlalu bergantung kepada kuasa Barat, akhirnya menjadi lemah dan tidak berdikari.
Isu ini bukan berpunca daripada agama Islam yang melarang duniawi, tetapi kerana umat Islam meninggalkan prinsip-prinsip agama dalam membina kekuatan ekonomi.
Sifat orang beriman ialah mereka tidak menjadikan dunia sebagai matlamat. Rasulullah SAW sendiri mengingatkan agar umat Islam jangan jadi umat yang suka meminta-minta. Lebih baik meninggalkan anak-anak dalam keadaan berharta daripada membiarkan mereka miskin dan meminta-minta.
Namun begitu, ada manusia yang menilai manusia lain berdasarkan gaji, kereta, rumah, dan penampilan. Anak yang memberi wang dihormati, yang tidak memberi dipandang rendah, sedangkan nilai sebenar ialah pada iman dan akhlak.
Ada juga yang sanggup merompak demi mendapatkan wang. Ini semua berpunca daripada masyarakat yang meletakkan nilai berdasarkan kebendaan. Maka manusia berebut-rebutkan dunia sehingga sanggup melanggar hukum.
Rasulullah SAW mendidik sahabat supaya tidak mengharapkan pujian. Mereka beramal kerana Allah, bukan kerana ingin dihargai manusia.
Contoh Uwais al-Qarni yang sangat mulia. Rasulullah SAW menyebut bahawa jika Umar al-Khattab berjumpa dengan Uwais, mintalah doa daripadanya. Uwais tidak dikenali di dunia tetapi tinggi di sisi Allah. Begitulah sifat orang-orang soleh dahulu. Mereka tidak ingin dikenali manusia. Penilaian mereka hanya kepada keredaan Allah SWT.
Semoga kita tidak bersikap seperti orang kafir yang menjadikan kebendaan sebagai asas penilaian. Allah tidak menilai rupa, pangkat atau harta. Allah menilai iman dan amal soleh.
Semoga Allah mengampunkan dosa kita, menerima korban kita, dan memberikan kita sifat ikhlas dalam beramal.
Wallahu a‘lam.












Catat Ulasan