
28 Mei 2025 — Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) telah dipilih sebagai lokasi penganjuran Program Mega Little Hajj Malaysia 2025 bagi peringkat negeri Pahang.
Program berskala besar yang diadakan serentak di seluruh negara ini berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi dan melibatkan seramai 99 orang peserta daripada beberapa cawangan tadika Little Caliphs di seluruh negeri Pahang, termasuk dari Temerloh, Mentakab, Jerantut, Jengka, Raub dan Lipis. Menariknya, program ini diadakan serentak oleh semua cawangan Little Caliph di seluruh negara.
Mega Little Hajj merupakan kesinambungan kepada program tahunan “Little Hajj” yang telah dilaksanakan sejak tahun 2016. Program ini mengadaptasi pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek (Project-Based Learning - PBL) yang menekankan pengalaman langsung dan praktikal. Dalam program ini, para peserta cilik bukan sahaja mempelajari ibadah haji secara teori, bahkan turut melaksanakan sendiri amalan-amalan utama haji seperti memakai ihram, tawaf mengelilingi replika Kaabah, sa’i antara Bukit Safa dan Marwah, wuquf di Arafah, melontar jamrah, serta bertahallul.
Program sebegini dilihat dapat memupuk kefahaman yang mendalam terhadap ibadah haji, di samping menyemai nilai-nilai murni seperti disiplin, kesabaran, kerjasama dan kecintaan terhadap agama Islam dalam kalangan kanak-kanak seawal usia 6 tahun.
Sebelum ini, iaitu pada 18 Mei lalu MTTJ turut dijadikan lokasi program simulai haji cilik untuk tadika Al-Baghdadi Temerloh.
Sementara itu, Pengerusi MTTJ, Dr. Haji Abdullah Ismail, merakamkan ucapan tahniah kepada pihak Little Caliphs atas kejayaan menganjurkan program tersebut, serta ucapan terima kasih atas pemilihan MTTJ sebagai lokasi penganjuran. Beliau turut menegaskan bahawa MTTJ bukan sahaja berperanan sebagai rumah ibadat, malah turut berfungsi sebagai pusat komuniti yang sentiasa terbuka untuk pelaksanaan program-program bermanfaat seperti ini.















































Catat Ulasan