MTTJ Rai Ustazah Afiza Atas Kejayaan di Kejohanan Memanah Peringkat Negeri Pahang


30 Mei 2025 – Ustazah Afiza binti Akmal Hidzri, ahli Kelab Memanah Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (KMMTTJ), telah dirai dalam satu majlis penghargaan berikutan kejayaannya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Memanah Peringkat Negeri Pahang baru-baru ini.


Majlis tersebut diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ) dan disempurnakan oleh Pengerusi MTTJ, Dr. Haji Abdullah Ismail, yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Ustazah Afiza.


Dalam ucapannya, Dr. Haji Abdullah Ismail, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ustazah Afiza binti Akmal Hidzri atas pencapaian cemerlang beliau meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Memanah Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung baru-baru ini.


Beliau turut menegaskan bahawa MTTJ amat menitikberatkan kejayaan dalam pelbagai aspek yang berkaitan dengan masjid, termasuk pendidikan seperti KAFA — yang kini antara yang terbaik di daerah Temerloh — serta penglibatan dalam bidang sukan seperti memanah. Jelas beliau, masjid akan sentiasa menyokong penyertaan dan pembangunan bakat ahli-ahli dalam bidang ini.


Turut hadir dalam majlis keraian ini ialah; En. Abdul Azim  Ahmad Salleh, suami Ustazah Afiza; En. Zulhanee Mohamed, Timbalan Setiausaha MTTJ; En. Ab. Manaff Safien, Timbalan Pengerusi KMMTTJ dan En. Nasran Hussin, Setiausaha KMMTTJ, serta wakil Media MTTJ En. Fendi Ismail.


Pada 17 Mei lalu, Ustazah Afiza telah menyertai Kejohanan Memanah Peringkat Negeri Pahang di Kota Gelanggi 3, Jerantut. Pencapaian beliau meraih tempat ketiga dianggap luar biasa memandangkan beliau masih baru dalam sukan memanah dan baru sahaja menyertai KMMTTJ tersebut.


Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada ahli kelab lain untuk terus aktif dalam sukan memanah serta meningkatkan prestasi di peringkat yang lebih tinggi.


0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama