Kuliah Maghrib 1 Jun 2025, Ustaz Ikhwan Haziq Asmuni

Tarikh Penceramah Tajuk
01/06/2025 Ustaz Ikhwan Haziq Asmuni

Nota Kuliah

Segala puji bagi Allah yang mengurniakan nikmat dan peluang untuk berada dalam rumah-Nya. Sesungguhnya berada dalam rumah Allah adalah satu anugerah besar yang tidak semua orang diberikan. Allah menakdirkan hamba-Nya untuk duduk di dalam rumah-Nya, dalam keadaan sihat tubuh badan dan sempurna nikmat.


Persyariatan ibadah korban bermula daripada zaman Nabi Adam A.S. hingga kepada Nabi Muhammad SAW. Bila disebut syariat, maka ia adalah hukum yang berasal daripada Allah dan disampaikan melalui Rasul-Nya. Syariat korban telah diturunkan dan disyariatkan kepada Nabi Muhammad SAW, dan berdasarkan kefahaman majoriti ulama, ibadah korban ini hukumnya adalah sunat muakkad – satu amalan sunat yang sangat dituntut.


Dalam sesebuah keluarga, apabila seorang ahli keluarga telah melaksanakan ibadah korban, maka yang lainnya tidak lagi dituntut melaksanakannya. Namun, ia tidak bermakna ahli keluarga yang lain berdosa jika tidak melakukannya. Konsep ini dikenali sebagai sunat kifayah dalam sesetengah perbahasan mazhab.


Pensyariatan korban pertama berlaku pada zaman Nabi Adam A.S. berdasarkan kisah dalam Surah Al-Ma'idah ayat 27. Ketika itu, dua anak Nabi Adam, Qabil dan Habil, diperintahkan untuk mempersembahkan korban. Qabil, seorang petani, mempersembahkan hasil tanaman yang buruk. Habil, seorang penternak, mempersembahkan kambing terbaik miliknya. Allah menerima korban Habil dan tidak menerima korban Qabil. Pada waktu itu, tanda penerimaan korban ialah apabila api dari langit turun dan membakar persembahan tersebut.


Disebabkan hasad dengki, Qabil membunuh Habil. Ini merupakan pembunuhan pertama dalam sejarah manusia. Qabil tidak tahu bagaimana menguruskan jenazah adiknya sehingga Allah mengutuskan seekor burung gagak untuk menunjukkan cara menguburkan mayat. Selepas melihat gagak tersebut, Qabil menyedari kejahilannya dan menyesal. Qabil menjadi manusia pertama yang menunjukkan contoh pembunuhan, dan sesiapa yang membunuh selepas itu akan tetap mendapat saham dosanya.


Kemudian, kisah beralih kepada Nabi Ibrahim A.S. yang menghadapi lima bentuk pengorbanan: pengorbanan harta, masa, tubuh, perasaan dan nyawa. Kisah pertama pengorbanan Nabi Ibrahim ialah ketika berhadapan dengan Raja Namrud. Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api yang besar. Allah memerintahkan api tersebut agar menjadi sejuk dan menyelamatkan. Nabi Ibrahim tidak mengalami sebarang kecederaan bahkan berada dalam keadaan sejahtera selama 40 hari 40 malam. Dalam tempoh itu, beliau menikmati makanan dan minuman dari syurga.


Selepas itu, Nabi Ibrahim berhijrah ke Syam dan kemudian ke Mesir bersama isterinya, Sarah. Sarah adalah wanita yang sangat cantik. Apabila ditanya oleh Raja Mesir, beliau mengaku sebagai saudara Nabi Ibrahim kerana bimbang akan keselamatan dirinya. Dengan izin Allah, raja tersebut tidak mampu menyentuh Sarah, dan akhirnya menghadiahkan seorang hamba bernama Hajar kepada Sarah.


Sarah tidak mampu melahirkan anak sehingga usianya lanjut, lalu Hajar dikahwini oleh Nabi Ibrahim dan melahirkan Nabi Ismail A.S. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk meninggalkan Hajar dan Ismail di satu lembah yang kering dan tiada penduduk. Hajar bertanya kepada Nabi Ibrahim apakah ini perintah Allah, lalu dijawab bahawa itu adalah perintah Allah. Maka Hajar menerima ketentuan tersebut dengan yakin bahawa Allah tidak akan mensia-siakan mereka.


Kemudian, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail A.S. Nabi Ismail menerima perintah tersebut dengan patuh dan reda. Ketika Nabi Ibrahim hampir menyembelih anaknya, Allah menggantikan dengan seekor kibas dari syurga. Kibas tersebut adalah binatang korban milik Habil yang telah disimpan di syurga.


Seterusnya, dalam zaman Nabi Muhammad SAW, Baginda melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih dua ekor kambing – satu untuk dirinya dan ahli keluarganya, dan satu lagi untuk umatnya yang tidak mampu melakukan korban. Dalam satu peristiwa lain, Baginda menyembelih 60 ekor unta sendiri dan selebihnya diserahkan kepada Saidina Ali untuk dikorbankan bagi pihaknya.


Kesimpulannya, sejarah pengorbanan ini amat panjang dan penuh dengan pengajaran. Kisah-kisah Nabi terdahulu menunjukkan semangat pengorbanan yang sangat tinggi terhadap perintah Allah. Semoga dengan menghayati kisah-kisah ini, dapat membangkitkan semangat untuk berkorban dan taat kepada perintah Allah dengan penuh keikhlasan.



Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama