

2 Jun 2025 — Selaras dengan perkembangan pesat teknologi media sosial masa kini, Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), atau lebih dikenali sebagai Masjid Temerloh Jaya, telah melakar satu lagi pencapaian dalam usaha mendekati masyarakat dengan melancarkan akaun TikTok rasmi masjid.
Langkah proaktif ini merupakan satu inisiatif strategik MTTJ dalam memperluas capaian dakwah serta membina hubungan yang lebih erat dengan komuniti, khususnya dalam kalangan generasi muda. Menerusi pendekatan kandungan kreatif yang bermanfaat dan berpaksikan nilai-nilai Islam, yang mana MTTJ berhasrat menjadikan platform ini sebagai wadah penyatuan ummah yang lebih inklusif dan mesra digital.
Selaras dengan dasar keterlihatan yang ditekankan oleh pihak masjid, pelancaran akaun TikTok rasmi ini juga mengambil kira hakikat bahawa TikTok merupakan antara platform media sosial paling popular dan berpengaruh pada masa kini, khususnya dalam kalangan generasi muda. Justeru, langkah ini dilihat sebagai usaha berani dan relevan untuk memastikan mesej dakwah serta informasi berkaitan aktiviti masjid dapat disampaikan secara lebih meluas, pantas, dan berkesan kepada khalayak yang lebih pelbagai.
Sebelum ini, MTTJ telah memanfaatkan Facebook dan WhatsApp sebagai saluran utama penyampaian maklumat kepada jemaah. Pada Jun tahun lalu, sebuah blog rasmi turut dibangunkan bagi tujuan dokumentasi dan pengarkiban pelbagai aktiviti serta program masjid secara sistematik untuk rujukan dan bahan sejarah yang mudah diakses masa hadapan.
Platform TikTok ini dibangunkan dengan kerjasama Alang.Gajah, seorang pempengaruh media sosial yang cukup dikenali di Temerloh. Kerjasama ini terjalin hasil daripada satu sesi perbincangan rasmi yang telah diadakan antara pihak MTTJ dan pasukan Alang.Gajah pada 22 Mei lalu.
Akaun TikTok rasmi MTTJ akan menampilkan pelbagai kandungan yang merangkumi sesi siaran langsung aktiviti masjid, serta video dakwah santai dan ringan yang dirangka secara kreatif dan informatif, sesuai untuk tontonan semua peringkat umur. MTTJ yakin bahawa pendekatan ini mampu memperkukuh misi masjid sebagai pusat pembangunan rohani yang progresif, inklusif, dan responsif terhadap kehendak semasa masyarakat.
TikTok MTJJ boleh diakses melalui pautan https://vt.tiktok.com/ZSkF4U37A/








Catat Ulasan