
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
02/06/2025 | Ustaz Muhammad Faiz Syahmi Shahabuddin | — |
Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Jangan sekali-kali mati melainkan dalam keadaan Islam. Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu. Daripada diri yang satu itu diciptakan pasangannya, dan dari kedua-duanya berkembang biak lelaki dan perempuan. Bertakwalah kepada Allah, yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kalian.
Syukur kepada Allah SWT kerana telah memberikan petunjuk dan hidayah untuk beramal pada hari-hari yang besar ganjarannya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Fajr: “Demi waktu subuh.” Jika Allah bersumpah dengan sesuatu makhluk, maka makhluk itu pasti makhluk yang agung. Berdasarkan ayat-ayat seterusnya, seperti “dan malam-malam yang sepuluh”, para ulama mentafsirkan maksudnya sebagai sepuluh hari awal Zulhijjah. Walaupun diterjemahkan sebagai malam, ia membawa maksud hari-hari siang kerana dalam Islam hari bermula dari waktu maghrib.
Kemudian disebut pula “demi yang genap dan ganjil”. Ulama mengatakan yang genap ialah Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tashrik, manakala yang ganjil ialah Hari Arafah, iaitu 9 Zulhijjah. Maka, ayat pertama merujuk kepada waktu subuh pada 10 Zulhijjah, iaitu Hari Raya Aidiladha. Ini menunjukkan betapa agungnya Aidiladha dalam Islam, melebihi Aidilfitri. Namun, sambutannya tidak semeriah Aidilfitri.
Tentang Hari Arafah, keutamaannya sangat besar. Puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Pengampunan bagi dosa akan datang bermaksud Allah memberikan hidayah agar seseorang itu tidak melakukan dosa.
Ketika Nabi SAW menunaikan haji, turunlah ayat dalam Surah al-Ma’idah ayat 3: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu...” Seorang ulama Yahudi berkata kepada Umar Al-Khattab bahawa jika ayat ini diturunkan kepada kaum mereka, nescaya mereka akan menjadikan hari tersebut sebagai hari raya. Umar bertanya ayat mana yang dimaksudkan, lalu disebut ayat tadi. Ayat ini menunjukkan bahawa agama Islam telah sempurna. Abu Bakar RA menangis apabila mendengar ayat ini, kerana mengetahui bahawa apabila agama telah sempurna, maka tugas Nabi telah selesai, dan Baginda akan kembali kepada Penciptanya.
Sepuluh hari awal Zulhijjah mempunyai amalan yang khusus. Nabi SAW bersabda agar memperbanyakkan tahlil, takbir, dan tahmid. Tahlil di sini bermaksud melafazkan “Laa ilaaha illallah”, takbir dengan “Allahu akbar”, dan tahmid dengan “Alhamdulillah”. Digalakkan untuk membaca takbir raya sepanjang hari, secara individu atau berkumpulan. Ia termasuk dalam takbir mutlak, iaitu takbir yang tidak terikat dengan solat. Manakala takbir muqayyad ialah takbir selepas solat fardu, bermula Subuh Hari Arafah hingga Asar hari Tashrik terakhir.
Amalan ini lebih besar nilainya jika dilakukan tanpa suasana yang menggalakkan, berbanding Ramadan yang suasananya memang penuh ibadah. Dalam hadis riwayat al-Bukhari, disebut bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah keluar ke pasar untuk bertakbir, lalu manusia lain turut bertakbir bersama mereka. Ini menunjukkan sunnah menghidupkan suasana takbir dalam kehidupan harian.
Nabi SAW menyebut bahawa sepuluh hari awal Zulhijjah merupakan hari-hari yang paling utama dalam dunia. Baginda juga berpuasa daripada 1 hingga 9 Zulhijjah. Dalam pandangan Ibnu Hajar al-Asqalani, kelebihan hari-hari ini adalah kerana terkumpul semua bentuk ibadah utama: sedekah (dalam bentuk korban), solat (solat sunat Aidiladha), puasa (terutama Hari Arafah), dan haji. Bahkan dalam sepuluh hari ini, berhimpun semua rukun Islam – dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat (melalui korban), dan haji.
Perkara yang boleh membatalkan amalan juga disebutkan, antaranya ialah mengungkit pemberian. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 264 menyebut bahawa sedekah boleh terbatal jika disertai dengan ungkitan atau menyakiti hati orang. Contohnya menyebut jasa yang telah dibuat atau mengherdik orang selepas bersedekah. Maka lidah perlu dijaga daripada ungkapan yang boleh membatalkan pahala.
Perkara lain yang membatalkan amalan ialah melakukan ibadah tidak mengikut cara yang diajar Nabi SAW. Hadis menyebut bahawa amalan yang tidak bersumberkan ajaran Nabi adalah tertolak. Oleh itu, penting untuk belajar ilmu fikah agar mengetahui mana yang sah dan mana yang batal.
Disebut juga tentang kepercayaan kaum Quraisy yang menyimpang dalam menunaikan haji – mereka keluar rumah melalui pintu depan tetapi masuk semula melalui pintu belakang, kerana menyangka pintu depan telah menjadi "pintu dosa". Allah menegur mereka melalui Surah al-Baqarah: 189. Mereka juga enggan wukuf di Arafah dan memilih wukuf di Muzdalifah, yang juga ditegur oleh Allah dalam Surah al-Baqarah: 199.
Perkataan Arafah berasal daripada:
-
I‘tiraf – bermaksud pengakuan. Ahli neraka akan mengakui dosa mereka sendiri, sebagaimana disebut dalam Surah al-Mulk.
-
Yata‘ārafūn – berkenalan-kenalan, seperti dalam Surah al-Hujurat: “Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu saling mengenali.”
-
‘Ārifah – membawa maksud ketinggian dan kemuliaan.
Nabi SAW menunjukkan puncak kehambaan di Arafah dengan berdoa dari waktu Zuhur hingga Asar tanpa henti. Ini menunjukkan betapa tinggi darjat kehambaan Baginda kepada Allah SWT.
Seterusnya dibincangkan tentang salah faham terhadap takdir, yang juga boleh membatalkan amalan. Dalam rukun iman, beriman kepada qada’ dan qadar adalah wajib. Barang siapa yang tidak memahami takdir dengan betul, maka amalan seperti sedekah sebesar Gunung Uhud pun tidak diterima. Dua golongan yang sesat dalam memahami takdir ialah:
-
Jabariyyah – menganggap manusia tidak mempunyai kehendak langsung.
-
Qadariyyah – menganggap semua perbuatan manusia ditentukan oleh kehendak sendiri, bukan takdir Allah.
Ahli Sunnah wal Jamaah berada di tengah. Manusia mempunyai kehendak dan pilihan, tetapi semuanya berlaku dengan izin Allah. Oleh itu, setiap kali ingin melakukan sesuatu perkara yang belum berlaku, sebutlah “insyaAllah”. Jika sesuatu itu tidak ada campur tangan langsung daripada manusia, maka sebut “biiznillah”.
Segala kebaikan adalah daripada Allah SWT, dan segala kekurangan daripada kelemahan diri sendiri. Moga segala amalan diterima dan diberkati oleh Allah SWT.















Catat Ulasan