Kuliah Maghrib 3 Jun 2025, Ustaz Haji Asri Awang

Tarikh Penceramah Tajuk
03/06/2025 Ustaz Mohd Asri Awang

Nota Kuliah

Persoalan berkenaan haji — Sebagai contoh, 9 Zulhijjah dijatuhkan pada hari Jumaat menurut takwim di Malaysia, manakala di tempat lain, ia dijatuhkan pada hari Khamis. 9 Zulhijjah ialah satu peristiwa besar dalam ibadat, iaitu hari wukuf di Arafah. Maka, apabila 9 Zulhijjah jatuh pada hari Khamis di tempat wukuf, 10 Zulhijjah jatuh pada hari Jumaat. Di tempat lain, 9 Zulhijjah jatuh pada hari Jumaat, maka 10 Zulhijjah jatuh pada hari Sabtu. Persoalannya, hari manakah yang perlu diikuti untuk berpuasa Arafah? Adakah takwim tempatan atau takwim tempat wukuf?


Seluruh umat Islam yang berada di Arafah akan berwukuf pada hari Khamis. Bagi yang berada di negara seperti Indonesia atau Malaysia yang tidak berada di Arafah, dan jika jemaah haji telah wukuf pada malam haji, maka mereka tidak dapat mengikut wukuf tersebut secara langsung. Oleh itu, persoalan timbul tentang takwim yang perlu diikuti. Jika mengikut takwim tempatan, wukufnya jatuh pada hari Jumaat. Maka, puasa Arafah dilakukan pada hari tersebut, walaupun jemaah haji di Arab Saudi telah melakukannya pada hari sebelumnya.


Pandangan ulama berbeza dalam hal ini. Ada yang berpandangan bahawa setiap tempat mempunyai takwim dan rukyah masing-masing. Ini termasuk pandangan daripada Abdullah Ibnul Mubarak dan Ibn Abbas r.a., yang menyatakan bahawa setiap negara yang bertanggungjawab dengan penetapan rukyah hilal mereka sendiri boleh menetapkan tarikh masing-masing. Maka, berdasarkan pendapat ini, umat Islam di Malaysia mengikut fatwa negara sendiri, dan 9 Zulhijjah telah diisytiharkan jatuh pada hari Jumaat.


Namun, terdapat juga pandangan lain yang menyatakan bahawa seluruh umat Islam perlu mengikut rukyah yang dilakukan di Arafah. Jika Arab Saudi menetapkan 9 Zulhijjah pada hari Khamis, maka semua umat Islam di seluruh dunia sepatutnya mengikut hari tersebut untuk berpuasa Arafah. Nabi SAW tidak menyebut tarikh 9 Zulhijjah secara spesifik, sebaliknya menyebut hari wukuf di Arafah.


Majlis fatwa antarabangsa dan sebahagian besar ulama, termasuk Mazhab Maliki, berpendapat bahawa apabila telah terlihat anak bulan di satu negara, maka ia turut terpakai kepada negara lain, tanpa mengambil kira perbezaan zon masa atau kedudukan geografi.


Isu ini merupakan khilaf di kalangan ulama. Maka, sebahagian menyarankan agar umat Islam keluar daripada khilaf ini dengan berpuasa Arafah dua hari; iaitu pada hari Khamis dan Jumaat. Ini supaya puasa Arafah dilakukan sama ada mengikut waktu Arafah atau mengikut takwim tempatan. Maka, tidak timbul persoalan sesat atau tidak. Bahkan, jika hanya mampu berpuasa sehari, ia tetap diterima.


Puasa Arafah adalah puasa khusus, bukan seperti puasa sunat biasa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi SAW menyatakan bahawa puasa Arafah diharap dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Ganjaran ini lebih besar berbanding puasa Asyura.


Justeru, pada hari Jumaat yang ditetapkan sebagai 9 Zulhijjah di Malaysia, puasa Arafah dilaksanakan. Ada juga yang memilih untuk berpuasa pada hari Khamis sebagai langkah berjaga-jaga atau bertepatan dengan waktu wukuf di Arafah. Kedua-duanya diterima.


Ibadah Korban

Dalam pelaksanaan ibadat korban, terdapat beberapa isu yang sering menimbulkan kekeliruan, khususnya dalam soal pengagihan daging korban. Satu ekor lembu yang dikorbankan tidak boleh diagihkan dengan tidak adil. Setiap bahagian hendaklah sama. Terdapat bahagian seperti kulit dan kaki yang biasanya tidak termasuk dalam pembahagian biasa. Namun, jika ada permintaan terhadap kulit, maka ia perlu dirunding dengan adil.


Pengagihan daging korban adalah sunat, bukan wajib. Hukum mencukur rambut dan memotong kuku bagi yang berniat melakukan korban sebelum penyembelihan juga adalah sunat. Tidak berdosa jika ia tidak dilakukan, namun ia adalah sunnah yang dianjurkan.


Satu pertiga daging korban adalah untuk dimakan oleh orang yang berkorban, dan dua pertiga lagi adalah untuk diagihkan, khususnya kepada orang miskin. Tidak semestinya daging perlu diagihkan dalam jumlah yang sama atau berat yang tertentu seperti sekilogram. Yang penting, niat dan keikhlasan.


Daging korban hendaklah diutamakan kepada fakir miskin berbanding orang kaya. Jika seseorang memperoleh satu pertiga daging, dan ingin mengambil hanya sedikit untuk keluarganya dan mengagihkan selebihnya kepada fakir miskin, maka itu adalah sangat digalakkan. Walaupun satu pertiga itu merupakan haknya, adalah lebih baik jika diperbanyakkan sumbangan kepada golongan miskin.


Waktu penyembelihan korban yang paling afdal adalah selepas solat sunat Aidiladha dan sebelum masuk waktu Zuhur. Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW, yang berpuasa sejak subuh dan hanya makan selepas penyembelihan.


Daging korban adalah daging ibadah. Oleh itu, dalam Mazhab Syafie, ia tidak diberikan kepada bukan Islam. Namun, dalam Mazhab Hanafi dan Hanbali, ia dibenarkan. Mazhab Maliki pula memakruhkan. Untuk keluar daripada khilaf, adalah lebih baik daging korban hanya diberikan kepada Muslim.


Disarankan agar daging korban diberi kepada orang miskin yang benar-benar memerlukan, termasuk dalam komuniti sendiri. Perlu dicari mereka yang layak menerima agar mereka juga dapat merasa nikmat daging pada hari raya.


Jika korban dilakukan melalui wakil, maka wakil itu boleh sahaja pihak masjid atau organisasi. Pembayaran yang dilakukan sebagai wakil membawa maksud korban itu telah diwakilkan.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama