27 Mei 2026 – Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), Taman Temerloh Jaya, bergema dengan laungan takbir raya apabila ribuan jemaah hadir memenuhi ruang masjid bagi menunaikan Solat Sunat Aidiladha 1447H yang berlangsung pada pagi ini.
Semarak sambutan Aidiladha di MTTJ kali ini diteruskan lagi dengan pelaksanaan Program Ibadah Korban yang melibatkan penyembelihan sebanyak 15 ekor lembu. Pihak MTTJ turut menerima sumbangan istimewa seekor lembu korban daripada Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, serta seekor lagi sumbangan daripada Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).
Bagi memastikan kelancaran dan pengurusan yang lebih teratur, pihak masjid mengambil pendekatan untuk tidak melakukan proses penyembelihan di kawasan masjid pada tahun ini. Sebaliknya, urusan penyembelihan tersebut telah dilaksanakan di dua pusat penyembelihan luar iaitu di Peragap dan Padang Lalang, Paya Pulai. Setelah selesai di kedua-dua lokasi berkenaan, kesemua daging korban dibawa semula ke MTTJ untuk urusan memotong, menimbang, merincih, dan seterusnya diagihkan kepada para peserta, golongan asnaf, serta orang awam yang telah menerima kupon lebih awal.
Komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta dan petugas yang berganding bahu sepanjang program berlangsung membolehkan keseluruhan aktiviti ibadah korban tersebut diselesaikan sepenuhnya sebelum masuk waktu solat Asar. Pihak pengurusan masjid menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas pengorbanan tenaga semua pihak yang terlibat.

Catat Ulasan