
13 Jun 2026 – Seramai 35 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 dari kariah Taman Temerloh Jaya diraikan dalam majlis penghargaan kecemerlangan akademik bertempat di Bilik Seminar Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ).
Majlis yang berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 4.00 petang itu dianjurkan oleh Biro Pendidikan dan Sahsiah Remaja di bawah kendalian Penyelaras Program, Pn. Nurazreen bt Abdul Aziz, dengan En. Irwan bin Ismail bertindak sebagai pengacara majlis bagi meraikan kejayaan para pelajar yang memperoleh keputusan 6A ke atas dalam peperiksaan SPM 2025.
Perasmian majlis disempurnakan oleh Pengerusi Masjid, Dr. Haji Abdullah bin Ismail dengan kehadiran para pelajar cemerlang bersama ibu bapa serta ahli keluarga mereka. Turut hadir ialah Pengerusi Biro Pendidikan dan Sahsiah Remaja, Cikgu Mohd Zulfaka Sabri serta Setiausaha Masjid, Haji Zulkanain Haji Hashim.
Sementara itu, Dr. Haji Abdullah dalam ucapannya menitipkan pesanan agar para pelajar yang akan melangkah ke menara gading untuk terus bersemangat menempuh persaingan sengit di universiti dengan sikap lebih berani, proaktif, dan kompetitif. Beliau turut menekankan kepentingan menjaga hubungan dengan Tuhan melalui pengimarahan masjid dan pemeliharaan solat berjemaah di kampus, selain menuntut para pelajar sentiasa menghargai jasa ibu bapa sebagai tulang belakang kejayaan mereka. Akhir sekali, majlis ini diharapkan mampu menjadi suntikan semangat buat anak kariah lain untuk turut berusaha gigih demi kecemerlangan masa hadapan.
Catat Ulasan