
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
05/07/2025 | Ustaz Mohd Firdaus Mohd Azmy | — |
Perkongsian pagi ini masih lagi berkisar pada Surah As-Sajdah, ayat ke-23. Ayat ini telah dikongsi sebelum ini, namun penjelasannya belum selesai. Maka pagi ini disambung kembali agar lebih jelas maksudnya.
Firman Allah SWT dalam ayat tersebut bermaksud:
"Dan demi sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, sebagaimana Kami berikan al-Quran kepada kamu, wahai Muhammad. Maka janganlah engkau ragu-ragu menerimanya. Dan Kami jadikan Kitab Taurat itu sebagai hidayah (petunjuk) bagi Bani Israel."
Ayat ini menegaskan bahawa Nabi Musa a.s. telah menerima Kitab Taurat sebagaimana Nabi Muhammad SAW menerima al-Quran. Kitab Taurat itu menjadi petunjuk kepada Bani Israel, sebagaimana al-Quran menjadi petunjuk kepada umat Islam. Ayat ini juga mengingatkan agar tidak ada keraguan dalam menerima wahyu.
Susur galur para nabi dari kalangan Bani Israel bermula daripada keturunan Nabi Yaakob a.s. Salah seorang daripada mereka ialah Nabi Yusuf a.s. Maka apabila Allah SWT menyebut kisah Nabi Musa dalam Surah As-Sajdah, ia merujuk kepada beberapa sebab:
1. Nabi Musa merupakan nabi dalam kalangan Bani Israel yang mempunyai kedudukan paling utama.
2. Baginda ialah nabi yang paling banyak menerima ujian dalam kalangan nabi Bani Israel.
3. Nabi Musa juga diiktiraf oleh Bani Israel dan golongan Nasrani.
Inilah sebab-sebab Allah SWT menyebut kisah Nabi Musa, iaitu untuk menenangkan dan menguatkan hati Nabi Muhammad SAW.
Untuk memahami lebih lanjut bentuk ujian yang dialami oleh para nabi daripada kalangan Bani Israel, perhatikan pula kisah Nabi Yusuf dalam Surah Yusuf, iaitu surah yang ke-12 dalam al-Quran. Dalam ayat ke-10, Allah SWT berfirman:
Maksudnya: "Salah seorang daripada mereka berkata, 'Jangan kamu bunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam perigi yang dalam; semoga dia dipungut oleh kafilah yang lalu, jika kamu mahu berbuat demikian.'"
Salah seorang abang Nabi Yusuf mengusulkan agar Nabi Yusuf tidak dibunuh, tetapi dicampakkan ke dalam perigi. Abang-abangnya terdiri daripada dua belas orang kesemuanya. Nabi Yaakob a.s. mempunyai empat orang isteri, dan daripada mereka lahir dua belas orang anak lelaki.
Antara nama anak-anak Nabi Yaakob ialah: Ruben, Levi, Yahudza, Sim’un, Ishakar, Zebulon, Gad, Naftali, Asyar, Yusuf dan Bunyamin. Dua yang terakhir, Yusuf dan Bunyamin, sangat disayangi oleh Nabi Yaakob a.s. Inilah yang menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan sepuluh orang abang yang lain.
Mereka bersepakat untuk menyingkirkan Yusuf. Namun, seorang daripada mereka mencadangkan agar Yusuf tidak dibunuh tetapi dibuang ke dalam perigi. Kisah ini menunjukkan ujian besar yang menimpa Nabi Yusuf sejak kecil, dan bagaimana keturunan Bani Israel juga terdiri daripada para nabi yang menerima ujian berat daripada Allah SWT.
Logiknya dapat difahami bahawa seorang anak yang ke-11 atau ke-12 dalam kalangan adik-beradik selalunya mendapat perhatian lebih. Bukan kerana ibu bapa tidak menyayangi anak-anak yang lain, tetapi kerana adik itu masih kecil. Begitu jugalah dengan kisah adik-beradik Nabi Yusuf. Disebabkan kasih sayang lebih diberikan kepada Yusuf dan Bunyamin, timbul salah faham dalam kalangan abang-abang mereka yang lain.
Akibat salah faham itu, mereka merancang sesuatu terhadap Nabi Yusuf. Dalam kisah masyhur, Nabi Yaakob keluar bersama Nabi Yusuf. Apabila pulang lewat, timbul kerisauan dalam kalangan keluarganya. Namun, yang berlaku sebenarnya ialah pengkhianatan dalam kalangan adik-beradik Yusuf sendiri. Ada yang tidak sampai hati untuk membunuh, lalu mencadangkan supaya Yusuf dicampakkan ke dalam perigi. Diharapkan jika ada kafilah dagang yang lalu, mereka akan membawa Yusuf ke Mesir. Inilah ujian pertama Nabi Yusuf — dikhianati oleh adik-beradik sendiri.
Ujian sebegini bukan hanya menimpa Nabi Yusuf, bahkan berlaku juga dalam kalangan kita hari ini. Dahulu, punca pengkhianatan ialah kasih sayang, namun kini pengkhianatan antara adik-beradik lebih banyak berpunca daripada harta. Itulah sifat sirah — ia adalah ulangan kisah yang sama, hanya watak dan pelakonnya sahaja berbeza.
Contohnya, kaum Nabi Lut melakukan maksiat luar tabii: lelaki suka kepada lelaki dan perempuan suka kepada perempuan. Hal ini kini berlaku semula, sebagai contoh di Singapura, yang pernah kecoh dengan isu perhimpunan atau debat berkenaan perkara ini. Maksiat yang dahulu berulang kembali — yang berbeza hanyalah pelakon dan watak dalam masyarakat.
Selepas ujian pertama, ujian seterusnya bagi Nabi Yusuf berlaku ketika Baginda diuji dengan fitnah isteri pembesar Mesir. Dalam Surah Yusuf, ayat 24 hingga 25, Allah SWT menyatakan bagaimana perempuan tersebut mengejar Yusuf sehingga koyak bajunya dari belakang. Ketika mereka terserempak dengan suaminya di muka pintu, perempuan itu menuduh Nabi Yusuf berniat jahat dan mencadangkan Yusuf dipenjara atau dihukum dengan azab yang berat.
Kemudian, berlaku siasatan. Dalam siasatan itu, terbukti bahawa Yusuf tidak bersalah kerana bajunya koyak dari belakang. Namun begitu, yang tidak bersalah itulah yang akhirnya dipenjara. Fenomena ini masih berlaku hari ini — yang bersalah bebas, yang tidak bersalah dipenjara. Inilah yang disebut sebagai pengulangan skrip sejarah.
Isteri pembesar Mesir tadi juga berasa malu dan tercabar kerana ejekan kawan-kawannya. Lalu dia mengadakan satu jamuan dan menjemput semua kenalannya. Ketika majlis berlangsung, dia meminta Yusuf keluar di hadapan mereka. Apabila melihat wajah Yusuf, mereka terpegun dan tanpa sedar melukai tangan sendiri dengan pisau yang diletakkan atas meja. Mereka berkata: "Ini bukan manusia, ini malaikat yang mulia." Begitulah hebatnya rupa paras Nabi Yusuf hingga menjelaskan mengapa isteri pembesar begitu tergoda.
Kembali kepada Surah As-Sajdah, ayat 24 menyatakan:
"Dan Kami jadikan dari kalangan mereka itu pemimpin-pemimpin (imam) yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, selama mereka sabar dan mereka yakin terhadap ayat-ayat Kami."
Perkataan imam di sini merujuk kepada pemimpin. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW menyebut bahawa antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat ialah imamun ‘adil — pemimpin yang adil. Imam juga boleh difahami sebagai ikutan. Contohnya, kita mengikuti mazhab Syafi‘i dan menamakan beliau sebagai Imam Syafi‘i walaupun beliau bukan seorang pemerintah, tetapi beliau menjadi ikutan umat dalam urusan agama.
Dalam Surah Yusuf, ayat 54–55, diceritakan pula bahawa Raja Mesir berkata:
"Bawalah Yusuf kepadaku. Aku hendak melantik dia sebagai orang kepercayaanku."
Setelah berbicara dengannya dan mengenal hikmah serta kebijaksanaan Yusuf, Raja berkata: "Sesungguhnya engkau pada hari ini mempunyai kedudukan tinggi dan kepercayaan di sisi kami."
Lalu Yusuf menjawab: "Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan negara. Sesungguhnya aku mengetahui bagaimana menjaganya dan mentadbirnya dengan baik."
Daripada kisah ini, dapat difahami dua syarat utama bagi seorang pemimpin: Berilmu, Bijaksana, Amanah dan Dipercayai.
Dalam Surah al-Qasas, ayat 26 pula menyebut:
"Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat dan amanah."
Ayat ini merujuk kepada Nabi Musa, yang ketika itu menjadi pengembala kambing. Maka antara ciri pemimpin menurut al-Quran ialah:
1. Bijaksana
2. berilmu.
3. Amanah
4. Jujur.
5. Kuat dari segi fizikal dan mental.
Dalam Surah al-Naml ayat 15 pula, Allah SWT menyatakan:
"Dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan ilmu kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Mereka berdua berkata: 'Segala puji bagi Allah yang memberi kelebihan kepada kami berbanding ramai hamba-Nya yang beriman.'"
Daripada 124,000 orang nabi, hanya 25 wajib diketahui. Dalam kalangan mereka, hanya dua yang menjadi raja — Nabi Daud dan anaknya, Nabi Sulaiman. Nabi Musa bukan raja, tetapi Nabi Daud diangkat sebagai raja setelah membantu Raja Talut, dan selepas itu diikuti oleh Nabi Sulaiman.
Menjadi pemimpin itu dibolehkan, tetapi hendaklah dipenuhi syarat seperti yang disebut dalam al-Quran. Namun begitu, dalam realiti hari ini, kriteria itu sering diabaikan. Kadangkala, pemilihan pemimpin dilakukan hanya berdasarkan kepentingan tertentu, bukan berpandukan ilmu, amanah dan kekuatan.
Dalam Surah al-Baqarah ayat 247, Bani Israel mempertikai perlantikan Talut sebagai raja kerana dia bukan daripada keturunan yang dihormati atau kaya. Ini menunjukkan bagaimana mereka memilih pemimpin bukan berdasarkan syariat, tetapi menurut kehendak duniawi.
Sebaliknya, Nabi Muhammad SAW ialah contoh pemimpin terbaik. Walaupun berasal daripada bangsa Arab Jahiliah yang terbelakang pada zaman itu, Baginda diangkat sebagai pemimpin utama manusia. Bahkan tokoh Barat sendiri mengiktiraf Nabi Muhammad sebagai insan paling berpengaruh dalam sejarah dunia.
Rom dan Farsi tidak mengambil peduli pun terhadap bangsa Arab. Namun selepas Nabi dilantik, dalam masa 23 tahun, Islam berkembang pesat sehingga ke hari ini. Perkembangan inilah yang menimbulkan ketakutan dalam kalangan musuh.
Antara ciri Nabi sebagai pemimpin ialah sabar. Sebagai contoh, Perang Uhud yang berlaku pada tahun ke-3 Hijrah, bersamaan 625 Masihi. Perang Uhud berlaku di Madinah dan jaraknya tidak jauh, lebih kurang 5 batu atau sekitar 180 meter sahaja. Namun sebelum keluar berperang, Nabi terlebih dahulu memanggil para sahabat untuk bermesyuarat, walaupun Baginda adalah seorang pemimpin.
Jika menjadi ketua, tidak semestinya tidak perlu bertanya atau bermesyuarat. Ada pemimpin yang hanya bertanya tetapi tidak benar-benar mendengar atau menghargai pandangan. Namun, Nabi bukan begitu. Baginda sendiri hadir dalam mesyuarat. Kehadiran Baginda dalam mesyuarat menunjukkan keterlibatan langsung dan kesungguhan mendengar pandangan sahabat.
Dalam mesyuarat tersebut, ada yang mencadangkan supaya bertahan dalam kota Madinah. Mereka berpendapat agar Madinah dijadikan kubu, dan pihak musuh dibiarkan datang menyerang. Namun, sahabat-sahabat muda yang bersemangat mencadangkan supaya keluar berperang di luar kota. Akhirnya, keputusan yang dipersetujui ialah keluar berperang di luar Madinah. Nabi tidak membantah keputusan tersebut. Bahkan Baginda memakai baju besi dan bersiap sedia.
Kemudian, setelah keputusan dibuat, ada antara sahabat yang ingin menarik semula cadangan dan mencadangkan untuk kembali kepada strategi asal. Namun Nabi tetap teguh dengan keputusan mesyuarat dan tidak berganjak. Pemimpin seperti ini menunjukkan sifat tegas dan berprinsip.
Nabi menyusun strategi dengan rapi. Namun dalam pertempuran tersebut, seramai 70 orang Islam gugur syahid, termasuk bapa saudara Baginda sendiri, yang amat disayangi. Begitulah pengorbanan yang dilalui.
Sebelum menutup perkongsian, perlu diteliti bagaimana kebijaksanaan Nabi dalam peristiwa hijrah. Ada yang menyangka hijrah itu mudah, tetapi perancangannya amat teliti dan penuh strategi. Nabi memohon bantuan Asma’ binti Abu Bakar untuk menghantar makanan ke gua tempat Baginda bersembunyi. Abu Bakar sendiri turut serta, dan mereka tidak melalui laluan biasa di utara, tetapi mengambil jalan ke selatan.
Jarak yang dilalui hampir 480 kilometer. Walaupun berat dan memenatkan, mereka tetap melaluinya. Selepas itu, mereka melalui beberapa lokasi termasuk Budaya, Juhfah, dan perkampungan Ummu Ma‘bad sebelum sampai ke Madinah.
Mengapa tidak sahaja Nabi berdoa kepada Allah agar dipindahkan terus ke Madinah seperti mukjizat para Nabi terdahulu? Sebaliknya, Nabi memilih untuk berjalan kaki secara bersembunyi selama beberapa hari. Ketika itu, umum mengetahui ada ganjaran besar kepada sesiapa yang berjaya menangkap Nabi, iaitu sebanyak 100 ekor unta. Ini menunjukkan bahawa usaha Nabi bukan usaha biasa.
Setelah Nabi tiba di Madinah dan Islam berkembang, muncul pula tokoh-tokoh besar yang menyambung perjuangan Islam. Antara tokoh tersebut ialah Sultan Muhammad al-Fatih. Ketika ingin menawan kota Konstantinopel, baginda datang bersama tiga angkatan.
Angkatan pertama menyerang melalui darat. Namun terdapat rantai besar yang menghalang kemasukan kapal ke pelabuhan. Rantai tersebut dijaga dari atas bukit yang tinggi. Angkatan kedua cuba menyerang tetapi tidak berjaya kerana rantai terletak jauh di dasar laut.
Maka muncullah strategi ketiga yang amat luar biasa. Sebanyak 70 buah kapal ditarik naik ke atas bukit. Kayu-kayu diletakkan dan disapu minyak agar licin untuk memudahkan pergerakan. Dalam masa lima jam, sebanyak 70 buah kapal berjaya ditarik sejauh 5 kilometer, merentasi daratan. Ia bukan tarikan biasa seperti menarik sampah, tetapi menarik kapal-kapal perang yang besar.
Strategi tersebut dilakukan hasil gabungan kekuatan intelek, emosi dan spiritual. Akhirnya, tembok Konstantinopel berjaya dilumpuhkan. Serangan terakhir berlaku pada 29 Mei 1453. Kota Konstantinopel ditawan oleh Sultan Muhammad al-Fatih dan tentera Islam selepas 800 tahun menunggu.
Hadis yang disebut sebelum ini merujuk kepada pemimpin yang bijak, amanah, kuat dan sabar. Tanpa kesabaran, seseorang pemimpin tidak akan mampu bertahan. Jika diuji tiga kali, mungkin sudah berundur. Tetapi dengan kesabaran, kepimpinan dapat dipertahankan.
Begitulah peringatan penting mengenai pemimpin yang berjaya dalam sejarah Islam.














Catat Ulasan